BM 中文 English

Perlu subsidi untuk tambang bas sekolah

Kos sara hidup rakyat semakin meningkat. Setiap hari kita mendengar berita kenaikan harga barangan. Pendapatan rakyat tidak berubah. Pendapatan boleh guna sebenarnya jatuh kerana penurunan nilai Ringgit. Ramai juga telah hilang pekerjaan kerana penutupan kilang dan perniagaan.

Dalam keadaan yang tertekan ini satu lagi berita buruk untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Kemungkinan besar tambang bas sekolah akan dinaikkan pada bulan Januari 2018.

Pada masa ini tambang bas sekolah di kawasan bandar adalah di antara RM80 hingga RM120 bagi seorang murid. Di kawasan luar bandar pula tambang bas sekolah adalah dalam lingkungan RM60 hingga RM80 bagi seorang murid.

Tambang bas sekolah ini adalah besar bagi golongan miskin. Jika 3 orang anak menaiki bas sekolah, belanja yang perlu ditanggung oleh ibubapa adalah lebih kurang RM240 hingga RM 300 sebulan.

Dikatakan bahawa tambang bulanan bas sekolah ini akan dinaikkan RM10 hingga RM20 seorang murid mulai bulan Januari 2018. Ini disebabkan oleh kenaikan harga petrol dan diesel. Selain daripada itu barang-barang gantian (spare parts) bas juga telah menjadi semakin mahal akibat penurunan nilai Ringgit. Ditambah lagi pelbagai caj dan bayaran yang dikenakan oleh kerajaan meningkatkan kos operasi.

Jika tambang bulanan bas sekolah meningkat lagi, ini akan membebankan rakyat kita terutamanya golongan miskin yang amat bergantung kepada perkhidmatan ini. Apakah tindakan kerajaan untuk mengatasi masalah kenaikan tambang bas sekolah.

Saya mencadangkan supaya kerajaan menanggung kos peningkatan tambang bas sekolah ini dengan memberi subsidi. Setiap murid yang menggunakan khidmat bas sekolah perlu diberi subsidi sekurang-kurangnya RM 20 seorang.

Pemberian subsidi secara bersasar ini akan membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Kerajaan harus campurtangan dan menyelesaikan masalah ini dengan segera. Keprihatinan kerajaan dalam isu ini dinanti-nanti oleh golongan yang memerlukan.

Timbalan Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Batu Gajah
Kenyataan media oleh V. Sivakumar di Bukit Merah, Menglembu pada hari Rabu, 6 Disember 2017