BM 中文 English

Kerajaan dan pihak Universiti tidak patut campur tangan dalam hal ehwal urusan pentadbiran dan aktiviti-aktiviti mahasiswa dan sebaliknya harus mengembalikan kebebasan berhimpun mahasiswa

Kerajaan dan pihak Universiti tidak patut campur tangan dalam hal ehwal urusan pentadbiran dan aktiviti-aktiviti mahasiswa dan sebaliknya harus mengembalikan kebebasan berhimpun mahasiswa. Ini adalah intipati yang paling asas dalam menghormati otonomi mahasiswa dalam Kampus.

Tindakan UM melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Malaya (HEP) serta Pejabat Naib Canselor yang membuat keputusan Penggantungan Mesyuarat Agung Tahunan dan Program/Aktiviti Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) sehingga 17 Disember 2017 serta Persatuan Bahasa Cina Universiti Malaya (PBCUM) bagi seluruh Semester 1 Sesi 2017/2018 adalah oppresif dan berniat jahat untuk menzalimi suara keramat mahasiswa serta mencabuli hak perlembagaan mahasiswa serta staf kampus. Tindakan sebegini harus dikecam.

Ketelusan pentadbiran dan hormat kepada kebebasan bersuara mahasiswa akan menjamin kredibiliti sesebuah universiti. Sebagai contoh, di United Kingdom, universiti-universiti tidak pernah campur tangan dalam kegiatan dan aktiviti-aktiviti mahasiswa, dan segala urusan kewangan dan aktiviti-aktiviti adalah diselenggara sepenuhnya oleh Persatuan Mahasiswa.

Pada masa yang sama, Persatuan Mahasiswa juga mempunyai perwakilan dalam Senate, dan boleh bersuara untuk mahasiswa dalam polisi dan keputusan yang dibahaskan.

Setelah keputusan penggantungan diumumkan oleh pihak UM, pihak PBCUM adalah jelas telah melaksanakan segala usaha untuk berinteraksi dengan pihak UM untuk mengetepikan penggantungan tersebut. Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) Universiti Malaya (UM), Profesor Datuk Dr. Rohana Yusof, turut nampaknya bertindak prejudis terhadap PBCUM dan PMIUM dan mengenakan hukuman yang tidak setimpal terhadap kedua-dua persatuan tersebut.

DAPSY berpendapat bahawa tindakan UM baru-baru ini telah melemahkan lagi kredibiliti UM yang sepatutnya merupakan universiti terunggul di negara kita. Maka, DAPSY pada hari ini telah menyerahkan satu Memorandum yang diendorskan oleh 35 orang Ahli Parlimen DAP supaya pihak universiti menarik balik keputusan yang tidak menghormati semangat kebebasan akademik serta Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, antaranya:

(i) Keputusan Penggantungan Persatuan Bahasa Cina Universiti Malaya (PBCUM).

(ii) Keputusan Penggantungan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM).

(iii) Peringatan daripada Pejabat Naib Canselor melalui emel kepada seluruh warga kampus khususnya staf/kakitangan universiti untuk tidak membuat sebarang kenyataan awam.

Wong Kah Woh
Ketua DAPSY Kebangsaan & ADUN Canning
Kenyataan media oleh Wong Kah Woh di Kuala Lumpur pada hari Khamis, 7 Disember 2017