BM 中文 English

Harapan bersedia tawan Perak dalam PRU14

Rakyat Perak mahu perubahan. Percubaan untuk menukar kerajaan pada tahun 2008 telah berjaya tanpa disangka. Barisan Nasional buat pertama kali kalah di Negeri Perak dalam PRU12. DAP, PAS dan PKR telah memenangi 31 kerusi di DUN Perak berbanding dengan 28 kerusi yang dimenangi oleh Barisan Nasional. Kelebihan 3 kerusi itu telah memberi peluang kepada ketiga-tiga parti pembangkang bergabung di bawah Pakatan Rakyat dan kemudiaanya menubuhkan kerajaan di Negeri Perak.

Walau bagaimanapun, kerajaan Pakatan Rakyat yang rapuh itu telah mudah dirampas oleh Barisan Nasional di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak. Tiga orang ADUN yang lebih dikenali sebagai ‘katak’ telah melompat keluar daripada Pakatan Rakyat dan berjinak dengan Barisan Nasional. Kerajaan Pakatan yang dipilih dan diberi mandat oleh rakyat Perak tumbang setelah dirampas kuasa oleh ketua kerajaan Barisan Nasional yang rakus.

Percubaan kali kedua, iaitu dalam PRU13, Pakatan Rakyat Perak gagal merampas kembali Negeri Perak walaupun berjaya memperolehi 54% undi populariti. Barisan Nasional menang 31 kerusi manakala Pakatan Rakyat pula hanya memperolehi 28 kerusi. Kekalahan tipis ini menyebabkan rakyat Negeri Perak terpaksa menderita selama 5 tahun.

Negeri Perak telah jauh ketinggalan berbanding dengan negeri-negari di bawah Pakatan Harapan hari ini. Pulau Pinang dan Selangor di bawah Pakatan Harapan telah memperkenakan pelbagai polisi yang amat menguntungkan rakyatnya. Tetapi, Negeri Perak tidak ada apa-apa polisi yang boleh dibanggakan sejak 9 tahun yang lalu di bawah kerajaan Barisan Nasional.

Masa sudah tiba, sekali lagi rakyat Negeri Perak akan diberi peluang untuk keluar mengundi dalam PRU14. Saya cukup yakin rakyat Negeri Perak akan membuat keputusan yang bijaksana untuk memilih Pakatan Harapan demi masa hadapan dan pembangunan negeri yang tercinta.

Kali ini, gabungan empat parti iaitu DAP, PKR, Amanah dan PPBM akan menentang Barisan Nasional di Perak. Kekuatan pakatan pembangkang telah bertambah kuat. Saya percaya Pakatan Harapan bukan sekadar menang, malah akan menang besar dengan jumlah kerusi yang banyak dan undi populariti yang jauh lebih tinggi berbanding dengan PRU12 dan PRU13.

Timbalan Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Batu Gajah
Kenyataan media oleh V. Sivakumar di Falim, Ipoh pada hari Khamis, 11 Januari 2018