BM 中文 English

Pakatan Harapan akan bina semula Perak

Rakyat Perak amat kecewa melihat kedudukan negeri itu jauh ketinggalan berbanding dengan negeri-negeri lain. Pada suatu ketika dahulu Perak merupakan negeri yang paling unggul. Sumber bumi seperti bijih timah telah meletakkan negeri Perak pada tangga teratas dari segi pencapaian ekonomi. Sumber-sumber pertanian seperti getah dan kelapa sawit juga diusahakan secara giat di Negeri Perak. Banyak lagi aktiviti seperti perikanan dan perindustrian juga membantu mengekalkan Negeri Perak sebagai negeri yang cemerlang yang sentiasa menjadi kebanggaan rakyatnya.

Hari ini, suasana sudah berubah. Setelah lebih 60 tahun Barisan Nasional memerintah Negeri Perak, rakyatnya tidak boleh berbangga lagi. Ekonomi Negeri Perak amat lembab kerana pentadbiran kerajaan yang lemah dan pengurusan dana yang tidak cekap. Akhirnya Negeri Perak diisythiharkan sebagai negeri kedua termiskin di Malaysia. Rakyat Perak bukan sahaja berasa malu tetapi teramat kecewa dengan kerajaan Barisan Nasional yang memundurkan negeri itu.

Banyak kilang-kilang ditutup di merata Negeri Perak. Banyak juga perniagaan-perniagaan di sekitar Perak terpaksa mengulung tikar kerana keruntuhan ekonomi yang keterlaluan sejak beberapa tahun yang lalu. Ini juga menyebabkan ramai yang kehilangan pekerjaan. Justeru, kadar pengangguran semakin meningkat di negeri itu. Akibatnya, ramai dari kalangan tenaga muda dan tenaga pakar terpaksa berpindah ke negeri lain untuk mencari rezeki. Lantaran itu, Perak mengalami masalah ‘brain drain’ yang amat serius. Tetapi, Kerajaan Barisan Nasional tidak mengambil peduli mengenai hal ini.

Kita perlu selamatkan Negeri Perak daripada pemimpin-pemimpin yang tidak mempunyai visi atau arah tuju pembangunan yang terancang. Kita tidak boleh membiarkan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional dan kroni-kroninya membolot kekayaan Negeri.

Sekali lagi rakyat Perak akan diuji dalam PRU14. Apakah pilihan mereka, Batisan Nasional yang Pakatan Harapan? Saya percaya, rakyat Perak akan mengulangi sokongan seperti PRU12. Pakatan Harapan akan membetuk kerajaan baru di Negeri Perak selepas PRU14.

Kemenangan Pakatan Harapan di Negeri Perak adalah perlu dan penting untuk membolehkan rakyatnya terus maju ke hadapan seperti di Selangor dan Pulau Pinang. Kita tidak mahu melihat rakyat Negeri Perak ketinggalan dalam perjalanan menuju mercu kemajuan dan pembangunan.

Timbalan Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Batu Gajah
Kenyataan media oleh V. Sivakumar di Menglembu, Ipoh pada hari Isnin, 12 Mac 2018