BM 中文 English

Kerajaan Persekutuan hanya berikan RM5.6 juta kepada 22,534 atau RM250 setiap ketua isi rumah (KIR) yang terlibat dalam kejadian angin ribut dan banjir terburuk dalam sejarah negeri Pulau Pinang

Kerajaan Persekutuan hanya berikan RM5.6 juta kepada 22,534 atau RM250 setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang terlibat dalam kejadian angin ribut dan banjir terburuk dalam sejarah Negeri Pulau Pinang. Kerajaan Negeri berasa hampa apabila hanya RM250 diberikan kepada setiap mangsa banjir di negeri ini apabila Kerajaan Persekutuan berjanji untuk mempertimbangkan bayaran bantuan mangsa banjir maksima RM500 akan diberikan. Ini menimbulkan persoalan mengapa dalam banjir terburuk dalam sejarah Negeri Pulau Pinang, setiap mangsa banjir (KIR) hanya diberikan RM250 sedangkan di negeri-negeri lain yang mengalami banjir yang sama teruk, mangsa banjirnya boleh menerima RM500 setiap Ketua Isi Rumah (KIR).

Kerajaan Negeri tidak mengharapkan Kerajaan Persekutuan membayar RM700 kepada setiap mangsa banjir sepertimana yang dibayar oleh Kerajaan Negeri sebanyak RM36,647,100 kepada 52,353 mangsa banjir di negeri ini. Kerajaan Negeri hanya mengharapkan bayaran sama diberikan sepertimana yang diterima oleh rakyat Malaysia di negeri-negeri lain. Ini perlu supaya tidak timbul persepsi negatif bahawa rakyat Pulau Pinang didiskriminasikan. Kerajaan Negeri berharap bahawa apabila pembayaran dibuat pada pertengahan bulan Mac ini, jumlah bayaran bantuan mangsa banjir boleh dinaikkan daripada RM250 kepada RM500 setiap Ketua Isi Rumah (KIR) banjir.

Jawapan Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri kepada soalan saya (Soalan Lisan) di Parlimen pada 12 Mac 2018 adalah seperti berikut:

NO. SOALAN : 38

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT

PERTANYAAN : LISAN

DARIPADA : YB LIM GUAN ENG (BAGAN)

TARIKH : 12 MAC 2018 (ISNIN)

SOALAN :

Tuan Lim Guan Eng [Bagan] minta PERDANA MENTERI menyatakan status projek tebatan banjir bernilai RM1 bilion kepada Pulau Pinang sebagaimana dijanjikan pada lawatannya ke negeri tersebut selepas bencana ribut dan banjir terburuk pada 4 dan 5 November 2017. Bilakah rakyat Pulau Pinang akan mendapat bantuan wang bencana banjir sebanyak RM500 setiap mangsa. Apakah sebab mangsa-mangsa banjir di Pulau Pinang hanya menerima RM35,000 daripada keseluruhan jumlah RM235 juta yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan kepada mangsa banjir sejak 2013.

JAWAPAN : YB DATO’ SERI DR. SHAHIDAN BIN KASSIM

MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI

Tuan Yang Di-Pertua,

Hujan lebat dan angin kencang pada 4 November 2017 bermula pukul 2 petang dan berlarutan sehingga 5 pagi pada 5 November 2017 selama 16 jam di kawasan Pulau Pinang dan Kedah, telah menyaksikan hampir keseluruhan kawasan rendah di Pulau Pinang dinaiki air. Ratusan pokok tumbang, beberapa kawasan mengalami kejadian tanah runtuh dan Pulau Pinang ketika itu lumpuh selepas puluhan jalan ditutup setelah negeri itu dilanda banjir berikutan hujan lebat lebih 16 jam. Paras air sungai meningkat dengan cepat kerana bertembung dengan kejadian air pasang mengakibatkan limpahan air berlaku dengan pantas meliputi sebahagian besar kawasan Seberang Prai.

Susulan kejadian banjir itu, satu jawatankuasa telah ditubuhkan melibatkan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar bersama dengan Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Pulau Pinang (ICU Pulau Pinang). Jawatankuasa ini telah bermesyuarat dan bertanggungjawab untuk meneliti secara terperinci cadangan pelaksanaan 13 projek Mitigasi Banjir di Pulau Pinang dengan anggaran kos RM1.0 bilion seperti yang telah dibentangkan semasa lawatan YAB Perdana Menteri pada 7 November 2017. Cadangan projek tersebut memerlukan kajian menyeluruh dan holistik dengan mengambil kira impak pembangunan di lembangan bagi memastikan masalah banjir buruk di Pulau Pinang dapat diatasi dengan berkesan dan tidak akan berulang lagi.

Di samping itu, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar melalui Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia telah membelanjakan sejumlah RM1.254 bilion untuk projek-projek tebatan banjir bagi menaik taraf sistem saliran di bandar Pulau Pinang sejak RMKe-5 sehingga RMKe-10. Selain itu, dalam RMKe-11, sebanyak RM150 juta telah diperuntukkan bagi Rancangan Tebatan Banjir Lembangan Sungai Pinang.

Tuan Yang Di-Pertua,

Kerajaan bercadang untuk menyampaikan agihan bantuan wang ihsan menerusi Tabung Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) kepada mangsa bencana banjir negeri Pulau Pinang bagi kejadian banjir sepanjang tahun 2017 pada pertengahan bulan Mac 2018 ini. Bantuan wang ihsan Kerajaan Persekutuan kepada keseluruhan mangsa banjir negeri ini akan diagihkan kepada sejumlah 22,534 Ketua Isi Rumah (KIR) yang melibatkan peruntukan berjumlah RM5,633,500.00.

Sejak tahun 2013 sehingga 2016, negeri Pulau Pinang telah menerima sejumlah RM35,000 agihan wang ihsan. Ini adalah kerana Pulau Pinang hanya mengalami monsun pada tahun 2013 yang melibatkan sejumlah 71 keluarga yang terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara. Manakala pada tahun 2014 sehinggalah 2016 tiada kejadian banjir monsun yang melanda negeri ini kecuali kejadian-kejadian banjir kilat sahaja.

Ketua Menteri Pulau Pinang
Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di Komtar, George Town pada hari Selasa, 13 Mac 2018