Profesionalisme dalam pasukan tentera dan polis pastinya akan ditambahbaik apabila Pakatan Harapan menang dalam pilihan raya umum akan datang

Selain daripada skandal antarabangsa 1MDB, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebenarnya tiada apa-apa untuk dibanggakan sangat sejak menjadi PM sejak 9 tahun lalu.

Ini sebabnya kenapa Najib hanya mampu menyerang Pakatan Harapan dengan tipudaya dan fitnah; terutamanya terhadap DAP.

Baru sahaja kelmarin, Najib berbohong di hadapan pimpinan tertinggi angkatan tentera dan pasukan polis bahawa konsep ‘Malaysian Malaysia’ DAP mungkin akan membubarkan Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), manakala kemenangan Pakatan Harapan akan membawa kepada pengecilan saiz pasukan tentera dan polis.

Profesionalisme dalam pasukan tentera dan polis pastinya akan ditambahbaik apabila Pakatan Harapan menang dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang. Negara memerlukan anggota polis dan tentera yang terlatih secara profesional bagi mempertahankan tanahair dan memelihara kesejahteraan rakyat.

Kita juga memerlukan bilangan anggota yang mencukupi untuk masuk ke kawasan pedalaman bagi membantu mereka pada saat-saat memerlukan.

Najib telah menghina integriti pasukan tentera dan polis, dan cuba menakut-nakutkan dua pasukan beruniform itu melalui permainan politik kotor dan perkauman menjelang PRU ke-14.

Najib memandang rendah pasukan tentera dan polis, seolah-olah mereka itu seperti Jho Low dan Riza Aziz.

Jika rakyat memberikan mandat kepada Pakatan Harapan dalam PRU akan datang, pasukan Rejimen Askar Melayu Diraja dan pasukan Gerak Khas polis pastinya akan diberikan peluang latihan dan peralatan yang selayaknya untuk menjadi pasukan operasi khas setaraf SEAL dan SWAT terbaik di rantau Asia Tenggara.

Lim Lip Eng
AHLI PARLIMEN SEGAMBUT
Kenyataan media oleh Lim Lip Eng di Kuala Lumpur pada hari Ahad, 1 April 2018