BM 中文 English

UMNO dan Barisan Nasional bakal hilang undi akibat kenaikan kos sara hidup

Saya merujuk kepada laporan akhbar yang memetik Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya sebagai berkata bahawa dia yakin kemungkinan berlakunya keterbalikan tsunami Melayu, di mana pengundi Melayu yang dahulu menyokong pembangkang kini akan beralih ke UMNO dan Barisan Nasional (BN).[1]

Menurut Shabudin, ramalannya berdasarkan kepada “maklum balas dan sokongan akar umbi yang diperolehnya daripada pengundi Melayu di seluruh negara, khususnya di Tasek Gelugor.”

Kenyataan Shabudin ini hanya membuktikan satu perkara, yakni bahawa pemimpin-pemimpin UMNO langsung tidak memahami realiti sebenar rakyat. Saya baru sahaja menghabiskan tiga hari berkempen di kawasan Melayu di Johor dan maklum balas yang saya terima adalah sama seperti di tempat lain di Malaysia – orang ramai dibebani GST dan inflasi yang berlaku akibat kegagalan dasar Barisan Nasional.

Walau bagaimanapun, adalah tidak munasabah untuk berdebat berdasarkan kisah anekdot. Sebaliknya, mari kita pertimbangkan fakta. Semasa temubual di BFM baru-baru ini, pengarah urusan rantaian pasar raya tempatan, Dato’ Wira Ameer Ali Mydin, menyatakan bahawa sektor runcit di Malaysia dijangka menghadapi masa sukar.[2]

Ini didasarkan hakikat bahawa jualan runcit dan pasar raya telah menurun secara konsisten dalam masa satu tahun yang lalu, walaupun KDNK Malaysia menunjukkan angka pertumbuhan positif. Memandangkan pasar raya besar membentuk separuh daripada jumlah pasaran runcit di Malaysia, dan dengan Mydin menjadi salah satu daripada tiga pemain yang secara kumulatif menguasai 50 peratus bahagian pasaran, ia adalah satu perkara yang serius apabila data mereka mendedahkan pertumbuhan negatif sekitar empat hingga lima peratus peratus dalam tempoh satu tahun lepas.

Menurut Ameer, salah satu sebab utama penguncupan ini adalah inflasi. Merujuk 150 item asas di kedai-kedainya, beliau mendedahkan bahawa harga jualan telah naik lebih daripada 14 peratus dalam tempoh lima tahun yang lalu. Ini termasuk barangan isi rumah asas seperti kubis yang meningkat 29 peratus, ikan kembung hitam (19.5 peratus), sos cili Maggi (38.8%) dan sardin jenama Ayam (30.6 peratus). Ini jauh berbeza berbanding statistik indeks harga pengguna rasmi yang diterbitkan oleh Kerajaan.

Data Mydin adalah paling membimbangkan, kerana ia bermakna bahawa B40 atau 40 peratus isi rumah terbawah di negara kita terhimpit dengan kenaikan kos sara hidup yang diakibatkan secara langsung dan tidak langsung oleh dasar BN sejak lima tahun yang lalu. Ini termasuk pelaksanaan GST pada tahun 2015, pemansuhan subsidi bagi petrol, gas, minyak masak dan gula, serta kelemahan ringgit berikutan skandal kewangan 1MDB.

Dengan keadaan sebenar ekonomi yang mengerikan ini, adalah sangat mengejutkan apabila Shabudin dan pemimpin UMNO lain berani menganggap bahawa mereka akan memenangi lebih banyak undi, terutamanya daripada orang Melayu dan Bumiputera yang membentuk sebahagian besar B40. Sebenarnya, adalah hampir pasti bahawa pengundi secara besar-besaran akan menjauhi BN yang jelas telah menghampakan mereka, dan sebaliknya memilih kerajaan baru yang komited untuk menangani isu sara hidup semua rakyat Malaysia.

PENOLONG SETIAUSAHA PUBLISITI KEBANGSAAN DAP
Kenyataan media oleh Zairil Khir Johari di Kuala Lumpur pada hari Ahad, 15 April 2018