BM 中文 English

Penerimaan masuk Jamaluddin Mohd Radzi ke PPBM Perak pada hari pertama lapor kerja YAB Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Dato’ Azumu adalah satu perkara yang tidak harus berlaku

Saya berasa terkilan apabila YAB Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Dato’ Azmi dan PPBM Perak telah menerima permohonan keahlian bekas ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi pada hari ini.

Kita seharusnya mengingatkan diri kita sendiri bahawa Pakatan Harapan bukannya tong sampah untuk menerima dan menyimpan mereka yang terbukti tidak berprinsip, tidak bermaruah dan pernah menjual amanah Rakyat untuk kepentingan dan tujuannya sendiri.

Sejarah Perak pada tahun 2009 merupakan satu sejarah yang pahit bagi kesemua warga Perak. Krisis Perlembagaan pada ketika itu telah berlanjutan lebih daripada 3 tahun dan kesemua ini disebabkan oleh tindakan pengkhianatan 3 orang ADUN Pakatan Rakyat pada ketika itu, termasuk Jamaluddin Mohd Radzi, yang menjatuhkan satu Kerajaan Perak yang mempunyai sokongan majoriti, dan diganti dengan satu pihak yang kalah dalam PRU12. Detik hitam ini tidak pernah dilupai oleh warga Perak.

Warga Perak telah menaruh harapan yang tinggi terhadap Kerajaan baharu yang baru dibentuk dua hari yang lepas. Harapan ini merupakan satu amanah oleh warga Perak. YAB Menteri Basar Perak Ahmad Faizal Daro’ Azumu harus memahami kehendak dan perasaan warga Perak khasnya dalam perkara yang melibatkan krisis negeri Perak pada tahun 2009.

Pakatan Harapan telah memenangi kerusi paling banyak di Negeri Perak pada PRU14 walaupun tidak cukup untuk mencapai sokongan majoriti. Kerajaan Negeri Perak telah dibentuk dengan sokongan daripada 2 orang ADUN UMNO dan ia telah mencukupi. Kita tidak memerlukan mereka yang pernah mengkhianati amanah Rakyat. Perdana Menteri Tun Dr Mahathir turut telah memesan bahawa UMNO tak boleh ada dalam PH.

Penerimaan masuk Jamaluddin Mohd Radzi ke PPBM Perak pada hari pertama lapor kerja YAB Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Dato’ Azumu adalah satu perkara yang tidak harus berlaku.

Wong Kah Woh
KETUA DAPSY KEBANGSAAN & AHLI PARLIMEN IPOH TIMUR
Kenyataan media oleh Wong Kah Woh di Ipoh pada hari Isnin, 14 Mei 2018