BM 中文 English

Perutusan Hari Raya Aidilfitri daripada Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng

Tanpa GST Tetapi Masih Mampu Membayar Bantuan Sara Hidup Rakyat (Dahulunya BR1M)

Sejarah telah dilakar oleh rakyat Malaysia pada 9 Mei 2018 apabila sebuah kerajaan baharu dibentuk. Kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad telah membuka lembaran baru untuk keadilan, demokrasi dan kesejahteraan rakyat.

Pada 1 Jun lalu, kerajaan telah berjaya menguatkuasakan pemansuhan cukai GST walaupun sebelum ini banyak pihak mendakwa cukai yang membebankan rakyat ini kononnya tidak boleh diletakkan pada kadar sifar. Membeli-belah tanpa GST pastinya memeriahkan lagi suasana sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelma. BR1M yang kini dikenali sebagai Bantuan Sara Hidup Rakyat (BSHR) juga tetap dibayar sekaligus menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa tanpa GST, negara akan bankrap. Kerajaan telah membuktikan negara tidak jadi bankrap.

Pada masa yang sama, kerajaan tetap melaksanakan pelbagai program kebajikan untuk rakyat. Antaranya termasuklah bantuan Hari Raya Aidilfitri yang bernilai RM400 seorang kepada guru Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa), imam, bilal dan siak di seluruh negara.

Kerajaan juga memberi Bantuan Khas Aidilfitri sebanyak RM400 untuk 1.2 juta penjawat awam serta RM200 kepada pesara kerajaan. Ini belum mengambilkira perbelanjaan RM3 bilion untuk menstabilkan harga minyak RON95 dan diesel pada masing-masing RM2.20 dan RM2.18 seliter. Peneroka Felda juga mendapat perhatian daripada Kerajaan di mana setiap peneroka dapat menikmati insentif Hari Raya Aidilfitri berjumlah RM450.

Kerajaan juga amat terharu dan berterima kasih atas sikap prihatin rakyat Malaysia yang sanggup menyumbang wang ringgit melalui Tabung Harapan Negara kepada kerajaan untuk meringankan beban hutang Kerajaan Perseketuan RM1 trilion ekoran skandal kewangan kerajaan terdahulu seperti 1MDB.

Sempena Aidilfitri yang mulia ini, marilah kita menjadikan kerajaan baharu Pakatan Harapan sebagai wadah untuk rakyat bersuara bagi membolehkan kita serta anak cucu kita untuk sama-sama menikmati hasil negara dan menyelamatkan masa depan mereka daripada tergadai. Bak kata pepatah, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.

Setiausaha Agung DAP
Perutusan Hari Raya Aidilfitri daripada Lim Guan Eng di Kuala Lumpur pada hari Rabu, 13 Jun 2018