BM 中文 English

Pilihan raya pihak berkuasa tempatan wajar diperkenalkan semula

Saya merujuk kepada kenyataan-kenyataan oleh NGO-NGO MyPJ, dan Penang Forum Coalition, dan BERSIH2.0 yang menuntut agar pilihan raya peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diperkenalkan semula.

Secara prinsipnya, saya menyokong inisiatif untuk memperkenalkan semula pilihan raya PBT. Perkara ini adalah selaras dengan Janji 25 Manifesto Pakatan Harapan, iaitu untuk memperkukuh peranan PBT, demokrasi setempat, dan akauntabiliti.

Saya juga telah menerima maklum balas dari penduduk Melaka yang menginginkan pilihan raya PBT. Di Melaka, terdapat empat PBT iaitu: Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ)

Sebagai seorang bekas ADUN selama dua penggal untuk DUN Ayer Keroh di Melaka, saya mengalami sendiri peranan penting PBT dalam memastikan kesejahteraan rakyat. PBT bertanggungjawab dalam isu-isu kehidupan seharian rakyat seperti pembangunan tempatan, perdagangan, dan perkhidmatan asas.

Oleh itu, penambahbaikan sistem PBT amat diperlukan. Pilihan raya peringkat PBT akan meningkatkan akauntabiliti dan ketulusan dalam sistem pentadbiran PBT, dan mengembalikan kuasa kepada rakyat untuk memilih Datuk Bandar/Yang di-Pertua dan Ahli Majlis mereka.

Saya juga menyambut baik kenyataan YB Zuraida Kamaruddin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), bahawa kerajaan dijangka melaksanakan pilihan raya PBT dalam tempoh tiga tahun akan datang. Namun, saya mencadangkan agar rancangan ini dilaksanakan secepat mungkin.

Sementara menunggu pelaksaan pilihan raya PBT, prestasi Datuk Bandar/Yang di-Pertua, dan Ahli Majlis yang dilantik perlu dipantau dengan teliti melalui KPI-KPI yang ditetapkan. Mereka yang tidak menjalankan tugas dengan baik perlu ditukar agar tidak menjejaskan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.

Khoo Poay Tiong
Ahli Parlimen Kota Melaka
Kenyataan media oleh Khoo Poay Tiong di Melaka pada hari Rabu, 13 Jun 2018