BM 中文 English

Suruhanjaya Orang Asli dan Pelan Pembangunan Orang Asli harus disediakan

Walaupun Orang Asli merupakan sebahagian daripada anggota masyarakat Malaysia dan Negara kita telah mencapai kemerdekaan sejak 61 tahun dahulu, namun masyarakat Orang Asli masih belum dapat merasa nikmat kemajuan yang telah dicapai oleh Negara.

Sebahagian besar masyarakat Orang Asli masih jauh ketinggalan dalam banyak hal berbanding kaum-kaum lain. Keadaan sedemikian bukan semata-mata hanya disebabkan oleh kelemahan atau kekurangan pada masyarakat Orang Asli itu sendiri, akan tetapi ia juga berpunca daripada tindakan dan strategi yang tidak telus yang dilakukan oleh Kerajaan Barisan Nasional yang memegang kuasa selama 61 tahun sebelum ini.

Tinjauan terbaharu rombongan DAP bersama Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang dan ADUN Bilut Pahang ke Kampung Angkek, Gua Musang Kelantan dan Kampung Ulu Tual, Kuala Lipis Pahang menyaksikan pelbagai masalah yang dihadapi oleh masyarakat Orang Asli tempatan dan juga hak-hak mereka yang diabaikan selama ini.

Secara amnya, masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakat Orang Asli boleh dibahagikan dalam 4 aspek iaitu:

1) Isu hak tanah adat – Pencerobohan dan pengambilan tanah

Isu yang berkaitan dengan tanah ini sudah lama berlaku dalam masyarakat orang asli sejak kemerdekaan. Masalah tanah yang wujud ini sebenarnya telah menyukarkan usaha untuk membangunkan dan memajukan sosioekonomi masyarakat Orang Asli kerana aspek-aspek kehidupan masyarakat Orang Asli amat berkait rapat dengan tanah dan ekologi persekitaran mereka.

Pembangunan yang dijalankan oleh pihak kerajaan dan swasta di kawasan tanah adat telah menimbulkan konflik di antara pihak pemaju dan masyarakat setempat. Keadaan ini telah menyebabkan Orang Asli yang terlibat telah kehilangan tempat tinggal dan kawasan pencarian hasil dan sumber hutan bagi menyara kehidupan mereka.

2) Kekurangan kemudahan asas

Kebanyakan masyarakat Orang Asli sukar mendapat kemudahan asas yang sempurna seperti bekalan air bersih, elektrik, jalan raya dan rumah.

Perkhidmatan telekomunikasi seperti liputan talian telefon bimbit dan jalur lebar juga amat kurang sehingga Orang Asli tempatan sukar berhubung dengan dunia luar khususnya berkaitan dengan perkara penting atau ketika berlaku kecemasan.

3) Keciciran dalam pendidikan dan kesihatan

Pendidikan merupakan satu perkara yang penting kerana ia membolehkan sesebuah masyarakat berjaya keluar daripada belenggu kejahilan. Apa yang dilihat kami adalah masih ramai masyarakat Orang Asli terutamanya golongan kanak-kanak masih tidak mendapat hak persekolahan yang baik sehingga tidak dapat menguasai kemahiran mengira, membaca dan menulis.
Antara masalahnya adalah tahap aksesibiliti mereka ke sekolah khususnya kepada mereka yang tinggal di kawasan pedalaman masih rendah disebabkan lokasi perkampungan Orang Asli dengan sekolah yang agak jauh.

Selain itu, masyarakat Orang Asli juga sukar mendapat kemudahan kesihatan yang sempurna kerana pusat kesihatan jauh dari perkampungan selain mengambil masa yang panjang untuk ke sana.

4) Ketidakcekapan dan kelemahan pentadbiran JAKOA

SUHAKAM dalam laporan tahunannya menunjukkan bahawa Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) gagal melindungi kebajikan dan hak Orang Asli.

Ketidakupayaan JAKOA dalam pentadbiran dan pengendalian pelbagai program pembangunan sosioekonomi Orang Asli, termasuklah ketidakcekapan dalam pengendalian dan penyelesaian isu-isu tanah Orang Asli bukan sahaja menimbulkan ketidakpuasan di kalangan masyarakat tersebut, bahkan menjejaskan kepentingan dan hak Orang Asli secara langsung.

Langkah-langkah Penyelesaian Lestari

Untuk memberi jalan penyelesaian lestari kepada masyarakat Orang Asli, saya mencadangkan bahawa kuasa JAKOA harus disemak semula dan satu Suruhanjaya Orang Asli seperti mana yang disyorkan oleh SUHAKAM perlu ditubuhkan bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan untuk menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi oleh Orang Asli khususnya isu tanah adat.

Konvesyen 107 Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO) Mengenai Orang Asli telah menggalakkan setiap pemerintah negara untuk melibatkan Orang Asli di dalam projek pembangunan negara dan telah menyediakan panduan mengenai perlindungan Orang Asli.

Justeru, pihak saya mencadangkan bahawa Kementerian Pembangunan Luar Bandar perlulah merencanakan satu Pelan Pembangunan Masyarakat Orang Asli untuk memberikan satu mekanisme dan penyelesaian lestari kepada masalah-masalah yang dikenal-pasti dari aspek sosio-budaya dan psikologi, ekonomi, politik dan juga alam sekitar.

Chiong Yoke Kong
ADUN Tanah Rata
Kenyataan media oleh Chiong Yoke Kong di Kuala Lumpur pada hari Khamis, 12 Julai 2018