BM 中文 English

PAC yang baru haruslah mempu untuk menebus kembali kepercayaan dan keyakinan Rakyat dan melaksanakan tanggungjawab nasional yang diamanahkan.

Parlimen Malaysia telah pada hari ini mencatat sejarah dengan pelantikan seorang Ahli Parlimen Pembangkang, YB Ronald Kiandee selaku Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara. Pelantikan ini juga merupakan satu manifestasi penunaian janji pilihanraya Pakatan Harapan, khasnya Janji Ke-16 Buku HARAPAN yang menyatakan bahawa “Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara akan dilantik di kalangan ahli-ahli parlimen pembangkang”.

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada penggal yang lepas telah lesu dan lalai dalam tanggungjawabnya selaku badan yang memelihara kepentingan kewangan rakyat Malaysia. Dalam skandal 1MDB, walaupun usaha-usaha telah didesak oleh wakil pembangkang di PAC pada ketika itu, PAC telah gagal mengemukakan mengendalikan siasatan semula dan membentangkan satu laporan yang lengkap dan komprehensif, khasnya apabila PAC gagal menjalankan siasatan semula setelah keterangan-keterangan baru yang didedahkan oleh US Department of Justice sejak bulan Julai 2016.

Laporan PAC terhadap siasatan 1MDB yang dibentangkan ke Parlimen pada bulan April 2016 telah dijadikan bahan wakil-wakil Kerajaan pada ketika itu membersihkan nama dan peranan Bekas Perdana Menteri dalam skandal 1MDB, walaupun pada hakikatnya laporan tersebut tidak menyebut berkenaan kesimpulan tersebut. Kredibiliti PAC amatlah terjejas dan sehinggalah Rakyat sudah kehilangan keyakinan terhadap PAC dan lebih cenderung bergantung kepada tindakan-tindakan yang dilaksanakan pihak penguatkuasa luar negara, termasuk US DOJ, untuk mendapatkan kebenaran.

PAC yang baru haruslah mempu untuk menebus kembali kepercayaan dan keyakinan Rakyat dan melaksanakan tanggungjawab nasional yang diamanahkan. PAC ini bertekad untuk melaksanakan tugas kami tanpa belah bahagi. Saya percaya bahawa “Precise, Accountable, Credible” merupakan Tiga (3) tunggak utama untuk PAC baru ini.

PAC ini juga akan mengeratkan hubungan dan kerjasama dengan Jabatan Audit Negara dan melancarkan siasatan terhadap kepincangan dan salah-laku yang dilaporan dalam Laporan Audit Negara. PAC bergantung kepada laporan yang komprehensif dari Jabatan Audit untuk melaksanakan tugas manakala Jabatan Audit juga bergantung kepada PAC untuk memastikan bahawa Jabatan-Jabatan atau Agensi-Agensi Kerajaan memandang serius kepincangan yang dilaporkan dalam laporan audit.

Pada masa yang sama, saya juga akan berbincang dengan Pengerusi PAC supaya pendengaran PAC pada masa hadapan dapat dibuka kepada orang ramai demi menjamin taraf ketelusan yang tinggi, kecuali untuk perkara-perkara yang melibatkan keselamatan negara (national security) atau keadaan-keadaan luar biasa (special circumstances). Ini adalah selaras dengan panduan yang dikemukakan oleh Asia Regional Association of Public Account Committee. PAC juga akan meneliti undang-undang yang sedia ada untuk memastikan bahawa pelindungan undang-undang adalah mencukupi untuk melindungi whistleblower atau saksi-saksi yang melaksanakan tanggungjawab nasionalnya kepada PAC.

Sebagai permulaan kepada tugas yang diamanahkan, saya akan berbincang dengan Pengerusi PAC dan ahli-ahli PAC setelah mereka dilantik supaya penyiasatan PAC terhadap skandal 1MDB dibuka semula dan laporan yang lebih komprehensif dan lengkap dengan mengambil kira keterangan-keterangan baru dapat dibentangkan ke Parliamen.

Wong Kah Woh
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara & AHLI PARLIMEN IPOH TIMUR
Kenyataan media oleh Wong Kah Woh di Dewan Rakyat pada hari Selasa, 7 Ogos 2018