BM 中文 English

KDN dan PDRM perlu tegas dalam mengambil tindakan terhadap isu perjudian haram

Pada sesi persidangan parlimen yang sedang berlangsung ini, saya telah membangkitkan isu perjudian haram. Masalah perjudian haram telah lama berleluasa di seluruh negara, dan merupakan suatu masalah yang tidak sihat kerana membawa pelbagai kemudaratan kepada masyarakat. Perkara ini juga bercanggah dengan undang-undang dan berkait rapat dengan kegiatan-kegiatan jenayah yang lain.

Saya menyambut baik maklum balas yang diberikan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah mengambil serius mengenai isu perjudian haram.

Khasnya, PDRM telah menubuhkan bilik gerakan khas di setiap negeri untuk membolehkan orang awam membuat laporan secara khusus tentang kegiatan perjudian haram. Menurut Menteri KDN, PDRM juga telah diarahkan untuk mengemukakan laporan tindakan pembanterasan kepada Menteri KDN dan Perdama Menteri setiap dua minggu.

Tindakan terhadap ketua-ketua sindiket

Saya juga menyambut baik cadangan KDN untuk meminda dan menguatkan undangundang sedia ada supaya sindiket-sindiket tidak mudah terlepas, dan penguatkuasaan boleh dijalankan dengan lebih berkesan.

Saya berharap KDN dan PDRM akan terus mengambil tindakan proaktif, dan ingin menegaskan bahawa tindakan perlu ditumpukan terhadap ketua-ketua sindiket. Jika tidak, kedai-kedai perjudian haram akan dibuka semula selepas beberapa minggu selepas tindakan diambil, dan ini tidak menyelesaikan masalah tersebut.

Saya yakin bahawa pihak PDRM sudah pasti mempunyai maklumat mengenai ketua-ketua sindiket, dan oleh itu menyeru dan menyokong agar PDRM terus berani dan tegas dalam mengambil tindakan terhadap mereka.

Pembanterasan unsur rasuah dan salahguna kuasa

Saya mengalu-alukan dan mengucapkan tahniah kepada Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah atas pelantikan beliau sebagai Ketua Polis Negeri Melaka yang baru. Kerjasama antara pihak polis, masyarakat, dan wakil rakyat adalah amat penting dalam isu-isu keselamatan.

Saya ingin menarik perhatian KDN, PDRM, dan Ketua Polis Negeri Melaka yang baru mengenai “Ops Gopi” yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Melaka pada tahun lepas.

Melalui operasi tersebut, suspek utama, Gopinathan Krishnan, dan beberapa pegawai polis berpangkat tinggi telah ditahan dan disiasat atas tuduhan memberi perlindungan polis kepada pusat perjudian. Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abud Bakar juga pernah menyatakan bahawa beliau mengenali Gopinathan Krishnan.

Malangnya, kes mengenai “Ops Gopi” telah menjadi senyap dan tiada tindakan lanjutan diambil. Oleh itu, saya menyeru kepada SPRM dan PDRM untuk membuka semula penyiasatan terhadap kes “Ops Gopi” demi kepentingan awam.

PDRM dan KDN juga perlu berkerjasama dengan SPRM untuk memastikan tiada unsur-unsur rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam menangangi perjudian haram, terutamanya isu perlindungan polis, berlaku lagi. Perkara ini juga secara tidak langsung akan meningkatkan imej, integrity, dan keyakinan orang awam terhadap PDRM.

Bilik Gerakan Khas dan peranan masyarakat

Saya menyeru kepada masyarakat tempatan, khasnya di Melaka, untuk membantu kerajaan dan PDRM dalam mengatasi isu perjudian haram.

Para penduduk boleh memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat mengenai judi haram secara terus melalui Bilik Gerakan Khas yang baru ditubuhkan oleh PDRM supaya tindakan boleh diambil.

Bilik Gerakan Khas tersebut boleh dihubungi melalui nombor telefon: Melaka 06-2854222; Perlis 04-9082273; Kedah 04-7741379; Pulau Pinang 04-2221722 Perak 05-2451222; Selangor 03-55145168; Negeri Sembilan 06-7682340; Johor 07-2254422; Kelantan 09-7455636; Terengganu 09-6354814; Pahang 09-5052269; Sabah 088-454851; Sarawak 082-274213; Kuala Lumpur 03-21460670; Bukit Aman 03-22666261.

Khoo Poay Tiong
Ahli Parlimen Kota Melaka
Kenyataan media oleh Khoo Poay Tiong di Melaka pada hari Selasa, 7 Ogos 2018