BM 中文 English

Perbahasan Wong Kah Woh, Ahli Parlimen Ipoh Timor berkenaan dengan Rang Undang-Undang Cukai Jualan 2018, Rang Undang-Undang Cukai Perkhidmatan 2018 dan Rang Undang-Undang Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pemansuhan) 2018

Tuan Yang Di-Pertua,

Di hadapan Dewan yang mulia ini kita bahas berkenaan dengan Rang Undang-Undang Cukai Perkhidmatan 2018 dan sebentar lagi kita akan berbahas berkenaan dengan Rang Undang-Undang Cukai Jualan 2018, yang mana kedua-duanya boleh dirumuskan sebagai SST. Kedua-dua RUU ini adalah bertujuan untuk menggantikan Akta Cukai Barangan dan Perkhidmatan 2014.

Pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) merupakan Janji No. 1 Pakatan Harapan dalam PRU14 yang lepas. Kita sekian maklum bahawa sejak pelaksaan GST pada bulan April 2015, kehidupan Rakyat telah menjadi begitu susah, dan beban hidup Rakyat telah bertambah berat.

Apabila Kerajaan membuat keputusan untuk menghapuskan GST yang membawa anggaran hasil cukai sebanyak RM44 billion setahun, sudah tentunya kita memerlukan satu hasil alternatif, dan SST sudah tentu harus dikembalikan. Ini juga selaras dengan Janji No. 1 dalam Buku HARAPAN, yang mana Pakatan Harapan telah menyatakan akan memperkenalkan semula SST sebagai gantian kepada GST.

Berbanding dengan GST yang bukan sahaja mengenakan cukai ke atas mereka yang berupaya, tetapi juga terhadap rakyat yang berpendapatan rendah dan tidak berupaya, SST sudah tentu tidak begitu membebankan rakyat secara keseluruhan. Ini dapat dibuktikan dengan kenyataan YB Menteri Kewangan 60% daripada Barang-Barangan dalam bakul Indeks Harga Pengguna (Consumer Price Index Basket) adalah terlibat dalam GST, manakala dalam cukai SST pula hanya 38% sahaja yang terlibat.

Pihak di sebelah sini tidak pernah menafikan bahawa GST mungkin merupakan satu sistem cukai yang lebih efisien, walau bagaimanapun “efisien” bermakna ia adalah memihak lebih kepada pihak pemerintah (iaitu Kerajaan) dan membebankan rakyat jelata.

Dalam perkara ini, KPMG Tax Services Sdn Bhd telah memberikan komen pada bulan Jun 2018 bahawa SST sememangnya adalah kurang membebankan pengguna, dan Rakyat akan mempunyai kemampuan pembelian yang lebih kuat.

Sememangnya dengan GDP per kapita yang sedia ada, sistem SST adalah jauh lebih sesuai digunapakai di Malaysia. Apabila GST diperkenalkan pada tahun 2015 di Malaysia, GDP per kapita rakyat Malaysia hanya sebanyak USD$9,505.00 berbanding dengan negara-negara lain yang mana mempunyai GDP per kapita yang jauh lebih tinggi apabila GST diperkenalkan:-

1993 Singapore USD$18,302.00
2000 Australia USD$21,669.00
1991 Canada USD$21,665.00
1989 Japan USD$24,831.00
1990 Iceland USD$25,009.00
1995 Switzerland USD$48,662.00

Pada tahun 2017, GDP per kapita rakyat Malaysia hanya berada di paras USD$9.813.00 dan jelas ia bukannya satu paras yang mana rakyat adalah mampu untuk membayar GST.

Pada masa yang sama, berbanding dengan GST yang mencukai rakyat miskin dengan lebih jika berbanding dengan cukai terhadap golongan berpendapatan tinggi dari segi “proportion to income”, kesan SST adalah sebaliknya.

Adalah harus diingatkan bahawa “Income Inequality” di Malaysia adalah amat tinggi berbanding dengan negara-negara lain di Asia Timur. Pengarah World Bank untuk Malaysia, Thailand dan kawasan-kawasan serantau, Dr. Ulrich Zachau pernah melaporkan bahawa 10% rakyat Malaysia yang paling miskin membelanjakan 70% pendapatan untuk tujuan makan dan perumahan, dan peningkat kos sara hidup akan menjejaskan golongan miskin bandar dengan paling serius. Jumlah pendapatan B40 hanya merupakan 16.4% daripada jumlah pendapatan keseluruhan, yang mana T20 menguasai 46.2% daripada jumlah pendapatan.

Tambahan pula, menurut Jabatan Statistik Malaysia, B40 membelanjakan 80% daripada pendapatan sekeluarga untuk tujuan perbelanjaan asas, yang mana T20 hanya membelanjakan 64% dan M40 membelanjaan 48%.

Adalah juga penting ditegaskan bahawa berbanding dengan GST, dalam sistem SST peniaga adalah tidak perlu memfailkan apa-apa tuntutan pemulangan cukai, yang mana bermaksud bahawa pembayaran cukai SST kepada perbendaharaan adalah dianggap sebagai tanggungjawab muktamad (their payment to the treasury will be considered final). Dalam perkara ini, Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS) dalam paparan Policy Brief-nya pada bulan Jun 2018 telah menyatakan bahawa ini akan dapat meningkatkan working capital bagi firma-firma, khasnya SMEs, dan sekaligus memudahkan perniagaan mereka.

Kesimpulan:

SST bukannya satu sistem cukai yang sempurna, tetapi merupakan satu sistem cukai yang kurang membebankan rakyat dan pada masa yang sama boleh membawa hasil kepada negara. Pengenalan RUU Cukai Perkhidmatan 2018 berserta dengan RUU Cukai Jualan 2018 merupakan satu manifestasi pelaksanaan janji-janji Buku HARAPAN. Walaupun pendapatan dalam bentuk hasil cukai adalah jauh lebih rendah daripada era GST, namun adalah menjadi tanggungjawab satu Kerajaan yang baik untuk memikirkan Rakyat terlebih dahulu dan bukannya memikirkan keselesaan pihak pemerintah sendiri.

Pemansuhan GST dan pelaksanan SST adalah tepat pada masanya, dan saya memohon menyokong.

Sekian, terima kasih.

Wong Kah Woh
AHLI PARLIMEN IPOH TIMUR
Perbahasan oleh Wong Kah Woh berkenaan dengan Rang Undang-Undang Cukai Jualan 2018, Rang Undang-Undang Cukai Perkhidmatan 2018 dan Rang Undang-Undang Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pemansuhan) 2018 di Dewan Rakyat pada hari Selasa, 7 Ogos 2018