BM 中文 English

Ucapan Penggulungan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow di Persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Mesyuarat Pertama Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri Keempat Belas

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri,

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

PENGENALAN

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat yang telah menunjukkan kesungguhan ketika mengambil bahagian dalam sesi perbahasan pada Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Ke-14 kali ini. Meskipun banyak muka-muka baharu, tetapi ia ternyata tidak menjadi penghalang untuk kesemua Ahli-Ahli Yang Berhormat untuk membangkitkan pelbagai isu demi kepentingan awam di KADUN masing-masing. Kerajaan Negeri berjanji akan memberi perhatian sewajarnya terhadap kesemua cadangan dan teguran serta akan berusaha untuk melaksanakan cadangan yang telah dikemukakan.

Seperti mana yang kita semua sedia maklum, Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei yang lalu telah menyaksikan rakyat Malaysia memberi mandat baharu kepada Kerajaan Pakatan Harapan untuk menerajui negara Malaysia. Malah di Pulau Pinang, kita berjaya mengekalkan pentadbiran negeri ini sekali lagi dengan majoriti yang lebih besar.

Tahun ini (2018) menandakan genapnya 10 tahun pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang berlandaskan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT). Masih segar dalam ingatan ketika perubahan kuasa berlaku di Pulau Pinang buat pertama kalinya pada tahun 2008, Pulau Pinang berada dalam keadaan yang kurang mengujakan pada ketika itu. Pulau Pinang diselubungi dengan keadaaan kewangan negeri yang tidak stabil, perbelanjaan Kerajaan yang tinggi melampaui belanjawan tahunan, malah bandar dan pekan kecil kelihatan tidak bermaya dan kotor. Namun, Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran mantan Ketua Menteri ketika itu, Saudara Lim Guan Eng telah bekerja keras untuk membawa perubahan sehingga Pulau Pinang kini gah dipersadanya yang tersendiri. Saudara Lim Guan Eng telah menyediakan landasan yang kukuh untuk Pulau Pinang terus maju. Tanggungjawab itu kini di bahu kita semua bagi memastikan Pulau Pinang terus mengecapi kejayaan.

Sebelum PRU-14 yang lalu, sukar untuk Pulau Pinang untuk menjalinkan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan ketika itu meskipun Pulau Pinang memilik segala kemudahan dan kelengkapan infrastruktur serta merupakan antara negeri penyumbang cukai terbesar di Malaysia. Dalam erti kata lain, Pulau Pinang telah lama dipinggirkan terutama dalam penganjuran program-program Kerajaan Persekutuan dan pemberian peruntukan pembangunan yang telah dikurangkan.

Sebagai contoh, penganjuran Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2018 pada 4 Ogos yang lalu di Padang Kota Lama sememangnya amat bermakna untuk Pulau Pinang. Sudah lama kita menantikan saat-saat ini. Oleh itu, saya berharap agar pemilihan Pulau Pinang oleh YAB Perdana Menteri untuk menjadi tuan rumah untuk program-program berimpak tinggi sedemikian diharap akan menjadi titik permulaan kepada Pulau Pinang untuk terus menjalinkan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan.

Kerenah birokrasi dan ketidaksamaan fahaman politik yang mungkin wujud dan diamalkan sebelum ini diharap dapat dihapuskan berikutan amalan keterbukaan yang menjadi agenda Kerajaan baharu kini. Suka saya tekankan bahawa kita di pihak Kerajaan Negeri harus menggunakan peluang yang terbuka luas untuk menjalinkan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan. Projek ataupun program yang selama ini dilaksanakan secara bersendirian oleh Kerajaan Negeri, kini sudah boleh diusahakan bersama-sama Kerajaan Persekutuan yang mana sudah pasti akan dapat memberi nilai tambah (value added) kepada Pulau Pinang. Jadi, saya ingin menyeru barisan EXCO Kerajaan Negeri dan YB ADUN untuk mengambil peluang keemasan ini.

Saya dan barisan EXCO yang dipilih dalam penggal ini akan memastikan kesemua 68 Janji Pilihan Raya dalam Manifesto “Saya Sayang Pulau Pinang” akan dilaksanakan seperti yang dijanjikan dalam penggal ini juga. Sehingga kini, sebahagiannya telah ditepati, ada yang masih di peringkat perancangan dan beberapa projek yang memerlukan kelulusan di peringkat Kerajaan Persekutuan.

Kerajaan Negeri akan meneruskan prestasi yang cemerlang ini untuk menjadikan Negeri Pulau Pinang sebagai negeri contoh setelah Pakatan Harapan Negeri Pulau Pinang diberi mandat ketiga untuk terus memerintah negeri ini. Saya berpandangan bahawa Pentadbiran Kerajaan Negeri telah menunjukkan semangat kecekapan, keharmonian dan keikhlasan dalam menjalankan tugas. Justeru itu, saya yakin Pulau Pinang bakal menjadi negeri pintar yang bertaraf antarabangsa serta terus dikunjungi oleh para pelancong dalam dan luar negara.

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

PENGANGKUTAN

Di bawah portfolio saya berkaitan bidang pengangkutan, ada beberapa perkara yang ingin saya tekankan di sini terutama berkaitan Pelan Induk Pengangkutan (PIP), Projek Tambakan Penang South Reclamation (PSR) dan perkhidmatan bas percuma.

PELAN INDUK PENGANGKUTAN (PIP) PULAU PINANG

PIP telah menjadi isu yang hangat ketika ini selepas Kerajaan Negeri mengumumkan pelaksanaan projek Pan Island Link 1 (PIL1). Pelbagai pihak tampil untuk menentang, mengkritik malah ada yang menyokong projek tersebut. Saya ingin mengulanginya sekali lagi bahawa kajian terperinci masih dijalankan sebelum jajaran dan reka bentuk Pan Island Link 1 (PIL1) dimuktamadkan. Kerajaan Negeri akan memastikan kesemua garis panduan dipatuhi dan diambil kira sebelum sesuatu projek itu dimulakan. Saya ingin tekankan sekali lagi bahawa projek lebuhraya ini sangat diperlukan pada masa hadapan bagi mengalihkan dan mengurangkan kesesakan trafik di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Ee dan Jalan Masjid Negeri.

Perhatian yang sewajarnya akan diberikan berkaitan reka bentuk PIL1 untuk memastikan kesan dan impak yang minimum kepada alam sekitar dan komuniti setempat. Pembinaan jalan pada paras tanah sedia ada (at-grade) telah dikurangkan dan rekabentuk secara bertingkat dan terowong telah digunapakai. Daripada keseluruhan panjang PIL1 sejauh 19.5km, 10.1km panjang atau 52% adalah terowong manakala 7.6km atau 39% adalah bertingkat untuk meminimakan pemotongan bukit. Hanya 1.8km atau 9% adalah embankment.

Pelan mitigasi dirancang untuk menyediakan penghadang bunyi (noise barriers) di kawasan-kawasan yang sensitif serta menaik taraf dua (2) taman rekreasi utama yang berada di sekitar jajaran PIL1 ini malah terdapat perancangan untuk menambahbaik struktur PIL1 ini selaras dengan konsep “greener”. Walau bagaimanapun, perancangan ini hanya akan dilaksanakan setelah lebuhraya ini disiapkan.

Kerajaan Negeri percaya pembinaan lebuhraya masih perlu dilaksanakan meskipun terdapat perancangan pelaksanaan LRT kerana peralihan daripada kenderaan persendirian kepada pengangkutan awam sahaja tidak berupaya menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di Pulau Pinang. Malah perubahan ini tidak boleh dijangka akan berubah dalam tempoh masa yang pendek.

Ini adalah kerana pertambahan kenderaan persendirian tidak dapat dielakkan sepenuhnya walaupun kualiti perkhidmatan pengangkutan awam dipertingkatkan dan penambahan bilangan penduduk serta pembangunan baru akan memerlukan perhubungan jalan-jalan baru dengan jalan-jalan yang sedia ada. Oleh yang demikian, jalan-jalan masih perlu dibina atau dinaiktaraf untuk menampung peningkatan dalam aktiviti perniagaan, perkhidmatan serta pekerjaan.

Seperti yang semua sedia maklum, jumlah penduduk Pulau Pinang adalah seramai 1.7 juta orang dan tidak kesemuanya menunjukkan bantahan terhadap projek ini malah mendapat sokongan daripada sebahagian besar rakyat Pulau Pinang seperti yang telah ditunjukkan pada pagi semalam di luar dewan persidangan yang mulia ini.

Cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat akan dipertimbangkan oleh Kerajaan Negeri. Walau bagaimanapun, peruntukan atau sesuatu model kewangan amatlah penting untuk melaksanakan Pelan Induk Pengangkutan ini secara menyeluruh. Saya juga ingin menarik perhatian Yang Berhormat sekalian bahawa pembangunan mampan sesebuah negeri adalah bergantung kepada sesuatu pelan perancangan yang sistematik dan realistik yang dapat memberi impak positif kepada kadar pertumbuhan ekonomi, liveability dan sustainability sesuatu bandar. Oleh yang demikian, Projek tambakan Penang South Reclamation (PSR) adalah penting dalam membiayai pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang ini.

PENANG SOUTH RECLAMATION (PSR)

Kerajaan Negeri mengucapkan terima kasih kepada YB Bayan Lepas kerana memberi komitmen untuk bekerjasama dalam menjaga kepentingan para nelayan yang dijangka akan terjejas dengan Projek Tambakan PSR secara langsung dan tidak langsung. Untuk makluman, Kerajaan Negeri telah melaksanakan beberapa kajian dalam memastikan pelan-pelan alternatif dicadangkan secara komprehensif dengan mengambil kira kepentingan para nelayan dalam laporan-laporan yang dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan untuk kelulusan. Kerajaan Negeri juga telah memberi komitmen untuk meneruskan sesi penglibatan bersama orang awam sehingga memperolehi kelulusan muktamad daripada Kerajaan Persekutuan.

Projek tambakan PSR ini merupakan projek transformasi ekonomi untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah hab perkhidmatan dan pembuatan antarabangsa yang teguh.

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

BAS PERCUMA CAT

Seperti yang semua sedia maklum, perkhidmatan bas percuma I Love Penang Congestion Alleviation Transport (CAT) telah dilancarkan oleh mantan Ketua Menteri, YB Lim Guan Eng pada 1 April 2018. Perincian kepada perkhidmatan ini telah dijawab dalam beberapa soalan bertulis yang telah dikemukakan oleh Yang Berhormat sekalian antaranya YB Bukit Tengah, Permatang Pasir dan Bukit Tambun manakala beberapa Adun yang lain turut memohon agar perkhidmatan ini dipanjangkan ke kawasan-kawasan mereka termasuk daripada YB Sungai Pinang dan juga YB Sungai Dua. Perkhidmatan ini semakin popular kerana itu permintaan untuk menggunakan perkhidmatan bas awam ini semakin meningkat.

Perkhidmatan CAT akan ditambah baik dan diadakan secara menyeluruh agar perkhidmatan ini dapat digunakan secara optimum oleh seluruh rakyat Pulau Pinang.

FEEDER BUS

Selain itu, perkhidmatan feeder bus untuk menghubungkan first mile and last mile connectivity merupakan salah satu perkara yang turut dititiberatkan oleh Kerajaan Negeri terutama setelah perkhidmatan LRT dilaksanakan kelak. Ini bagi memastikan penggunaan pengangkutan awam berada pada tahap optimum dan orang awam tidak perlu memandu untuk ke stesen-stesen LRT.

Berkenaan dengan isu pengangkutan di Kawasan kampung, cadangan ini bukanlah cadangan baru sebaliknya YB Penanti telah membangkitkan isu ini sejak tahun 2016. Pihak Kerajaan Negeri juga telah mengadakan beberapa siri perbincangan bersama Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan operator van sebagai operator yang berminat dengan perkhidmatan ini. YB Penanti sendiri turut menghadiri perbincangan ini. Namun, dukacita operator telah menarik diri pada saat akhir. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri mengambil maklum dan akan cuba meneliti perkara ini sekali lagi.

Laluan khas bas juga ada dibangkitkan terutama cadangan mengwujudkan laluan khas bas ini di atas Jambatan Pulau Pinang (JPP) dan Jambatan Kedua. Pada ketika ini perkhidmatan BEST FIZ dan BEST KOMTAR telah pun dilaksanakan. Kerajaan Negeri mengambil maklum dan akan meneliti keperluan laluan khas bas di atas jambatan sekiranya perlu.

Seterusnya adalah mengenai pembinaan hub pengangkutan di Kawasan Seberang Perai Selatan (SPS). Walaupun ADUN kawasan telah bertukar, tetapi isu ini masih segar. Seperti yang Dato’ Speaker sedia maklum, perkara ini telah mula dibangkitkan sejak tahun 2016 oleh mantan ADUN Jawi yang kini merupakan Exco Kerajaan Negeri.

Kerajaan Negeri mempunyai perancangan untuk membina sebuah hub pengangkutan awam di Jalan Persekutuan, Nibong Tebal (berdekatan Stesen Keretapi Nibong Tebal). Untuk makluman Yang Berhormat Jawi, Kerajaan Negeri telah mengadakan beberapa siri perbincangan bersama pihak Northen Corridor Implementation Authority (NCIA) mengenai perkara ini.

HAL EHWAL TANAH DAN PEMBANGUNAN TANAH

Kerajaan Negeri komited untuk memastikan kawasan hijau dan hutan simpanan terus kekal dipelihara. Kerajaan Negeri ingin mengekalkan rekod sebelum ini yang mana tiada seinci pun Hutan Simpan Kekal disentuh untuk sebarang bentuk pembangunan. Sebaliknya Kerajaan Negeri kini dalam proses untuk mewartakan pula sebahagian besar Pulau Jerejak sebagai Hutan Simpan Kekal.

Berkaitan isu berkaitan pencerobohan tanah kerajaan di Daerah Barat Daya (DBD) khususnya seperti yang dibangkitkan oleh ADUN Pantai Jerejak, Kerajaan Negeri amat mematuhi Kanun Tanah Negara yang memperuntukkan bahawa Notis Pencerobohan Tanah Kerajaan Seksyen 425 akan dikeluarkan kepada penceroboh tanah kerajaan termasuk tanah rizab pantai, sungai mahupun jalan. Justeru, tindakan penguatkuasaan yang lebih serius akan diambil sekiranya penceroboh gagal mengosongkan tanah yang dimaksudkan.

Saya difahamkan di Daerah Barat Daya, sebanyak 132 notis telah dikeluarkan pada tahun 2017 dan sebanyak 39 notis pada tahun ini (sehingga Julai 2018). Malahan untuk tujuan pemantauan pencerobohan, Pentadbir Tanah juga mengambil tindakan secara berkala dengan mengadakan Mesyuarat Penguatkuasaan, pemantauan oleh Penolong Pegawai Tanah dan melalui aduan yang diterima oleh Jabatan, Agensi dan orang awam. Pada masa ini, arahan telahpun dikeluarkan kepada semua pentadbir tanah supaya mengambil tindakan penguatkuasaan serta-merta ke atas struktur-struktur baru yang telah dibina atau yang dalam proses pembinaan di atas tanah Kerajaan Negeri tanpa perlu merujuk atau mendapat kelulusan daripada Pihak Berkuasa Negeri.

Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga mengambil inisiatif ke atas pencerobohan tanah milik Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) berlandaskan Standard Operating Procedure (SOP) yang telah ditetapkan seperti memberi notis pentadbiran, notis perundangan kepada penceroboh yang masih ingkar dan seterusnya melaksanakan tindakan perobohan atau rampasan. Pemantauan berjadual turut dilaksanakan oleh pihak MBPP yang melantik pegawai kawasan bertanggungjawab untuk memantau kawasan setiap 3 bulan.

Berkaitan dengan pembangunan di Batu Kawan pula, setakat 30 Jun 2018, baki tanah yang masih dimiliki oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) di Batu Kawan adalah 2,849 ekar termasuk tanah industri. PDC merancang untuk membangunkan baki tanah di Bandar Cassia dengan komponen-komponen pembangunan seperti perindustrian, pembangunan bercampur serta kemudahan masyarakat yang akan melengkapi sebuah bandar baharu yang mampan berkonsepkan Eco-City. Manakala pembangunan projek perumahan pula lebih memberi tumpuan kepada semua lapisan masyarakat dengan konsep ‘work, live, learn & play’. Pembangunan di Bandar Cassia ini akan dilaksanakan secara berperingkat dengan mengambilkira faktor ekonomi, kehendak pasaran dan keperluan semasa.

Bagi tahun 2018, PDC juga telah merancang untuk membangunkan tanah di Bandar Cassia melalui jemputan Request for Proposal (RFP). Antara komponen pembangunan yang sedang dibuat pada ketika ini melalui RFP adalah Geriatric Wellness Village, Pembangunan Bercampur dan ‘Linear Park’. PDC juga telah selesai proses pengiklanan tender terbuka untuk membina stesen minyak dan F&B pertama di Bandar Cassia.

PEMBANGUNAN MAMPAN

Sejak 10 tahun yang lalu, Kerajaan Negeri telah berusaha memastikan setiap projek/program yang dilaksanakan menjurus ke arah pengwujudan Bandaraya Pulau Pinang yang mampan dan berdaya saing. Ini termasuklah amalan pentadbiran Kerajaan Negeri yang berasaskan tadbir urus CAT – Cekap, Akauntabiliti & Telus yang menjadikan Pulau Pinang diiktiraf sebagai sebuah negeri yang bersih oleh Ketua Audit Negara. Selain itu, Pulau Pinang juga merupakan negeri pertama dan perintis di Malaysia yang menganjurkan Kempen Hari Tanpa Beg Plastik dan Hari Bebas Kereta selaras dengan inisiatif ke arah Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang Hijau, Bersih , Selamat dan Sihat.

Kerajaan Negeri sangat komited dalam pembangunan mampan dan seimbang. Selaras dengan komitmen tersebut, Kerajaan Negeri akan terus menjalinkan kerjasama dengan UN Habitat (United Nation’s Human Settlements Programme) bagi mencapai hasrat yang ditetapkan di bawah United Nation’s Sustainable Development Goal (SDG). Secara spesifik, Kerajaan Negeri sedang memberikan penumpuan khusus kepada kriteria ke-11 iaitu ke arah mewujudkan sebuah bandaraya yang selamat, berdaya saing dan mampan (safe, resilient & sustainable city).

Ke arah pengwujudan bandaraya yang berdaya saing dan bertaraf antarabangsa, Kerajaan Negeri melalui CMI telah menjalinkan kerjasama dengan Think City iaitu agensi Kerajaan Persekutuan dan Aga Khan Trust, sebuah pertubuhan antarabangsa dan telah mewujudkan sebuah ‘Special Purpose Vehicle’ yang dikenali sebagai George Town Conservation & Development Corporation (GTCDC). GTCDC ini berperanan untuk memastikan pelaksanaan pembangunan seimbang di dalam kawasan tapak Warisan Dunia UNESCO George Town. Dalam masa yang sama, tidak ketinggalan bagi kawasan Bukit Bendera, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Bukit Bendera dengan kerjasama syarikat swasta The Habitat dan USM telah mengenalpasti kawasan untuk penyenaraian di bawah UNESCO bagi mendaftarkan Bukit Bendera sebagai salah satu lokasi di bawah UNESCO Biosphere Reserve.

Selaras dengan hasrat memastikan pembangunan mampan, adalah penting untuk Kerajaan Negeri menandatangani satu Perjanjian Persefahaman (MOU) bersama UN Habitat yang merupakan agensi antarabangsa yang bertanggungjawab untuk menguruskan pembangunan perbandaran di bawah kriteria ‘Sustainable Development Goals’ (SDG) dan Agenda Perbandaran Baru.

Semasa lawatan oleh Pengarah Eksekutif UN Habitat, YBhg. Dato Seri Maimunah Binti Mohd Shariff iaitu mantan Datuk Bandar MBPP telah mengutarakan hasrat beliau untuk bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam menyediakan panduan teknikal, penanda aras dan pemantauan berterusan untuk memastikan Pulau Pinang mencapai matlamat yang telah ditetapkan di bawah SDG Goals. Kerajaan Negeri dengan sukacitanya mengumumkan bahawa MOU ini akan merangkumi pembangunan mampan, capacity building dan perkongsian maklumat antara UN-Habitat dan agensi-agensi di bawah Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Bagi fasa pertama kolaborasi ini, Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang (CMI) akan bekerjasama dengan rakan strategik UN Habitat di Malaysia iaitu Think City dan menyediakan terma dan skop untuk MOU tersebut. Kerajaan Negeri berhasrat untuk mengaplikasikan SDG sebagai rangka framework dan penanda aras untuk mengukur kemampanan sesuatu projek yang dilaksanakan di Pulau Pinang. Sebagai permulaan, semua projek pembangunan di bawah GTCDC akan dijadikan sebagai penanda aras selaras dengan Sustainable Development Goals ditetapkan oleh UN Habitat.

Kerajaan Negeri berharap kolaborasi dengan UN Habitat akan memberikan manfaat kepada rakyat negeri Pulau Pinang amnya.

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

KOMUNIKASI

Bagi portfolio MMK Komunikasi, penugasan utama yang dititikberatkan antaranya adalah membantu membina perhubungan dengan rakyat melalui pendekatan program/ aktiviti kempen, penerbitan rasmi Kerajaan Negeri iaitu Buletin Mutiara, media-media sosial rasmi dan paparan bentuk visual dalam usaha untuk menyampaikan maklumat kerajaan kepada rakyat secara menyeluruh.

Serentak dengan itu, Kerajaan Negeri juga berharap dapat menjalinkan hubungan yang baik di antara pihak media dan pemimpin Kerajaan Negeri dalam usaha untuk menyampaikan maklumat yang berkualiti kepada umum berkaitan dasar serta program Kerajaan Negeri dari semasa ke semasa.

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

SENARIO PELABURAN DI NEGERI PULAU PINANG

Di kesempatan ini, suka ingin saya maklumkan status terkini berkaitan senario pelaburan di Negeri Pulau Pinang. Pada tahun 2017, Pulau Pinang menjadi negeri yang mencatatkan pelaburan asing pembuatan tertinggi di Malaysia. Pelaburan asing yang diluluskan berjumlah RM8.5 bilion. Pelaburan pembuatan diluluskan MIDA adalah berjumlah RM10.8 billion, menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri dengan jumlah pelaburan pembuatan kedua tertinggi di Malaysia. Pelaburan domestik kekal stabil dengan jumlah RM2.3 bilion. Industri elektrik dan elektronik kekal sebagai penyumbang pelaburan tertinggi Pulau Pinang dengan jumlah pelaburan RM6.7 bilion pada 2017.

Rekod pelaburan bagi tahun 2018 turut menunjukkan prestasi memberangsangkan. Pulau Pinang mencatatkan pelaburan sebanyak RM1 bilion pada suku pertama 2018. Pelaburan asing menyumbang sebanyak RM580 juta manakala pelaburan domestik mencatatkan angka RM439 juta.

Pulau Pinang akan terus meningkatkan usaha promosi pelaburan baru dan pelaburan semula walaupun berdepan dengan cabaran-cabaran di peringkat global. Antara perkembangan global yang dipantau rapi kini adalah isu tarif Amerika Syarikat-China yang jika berterusan mungkin akan mengakibatkan kelembapan ekonomi dunia.

Pulau Pinang juga akan terus meningkatkan sinergi dan kerjasama yang lebih erat antara agensi-agensi Persekutuan dan Negeri. MIDA dan agensi-agensi promosi pelaburan negeri perlu terus meningkatkan kerjasama untuk meningkatkan promosi pelaburan bagi Malaysia secara keseluruhannya. Ini termasuklah dalam aktiviti-aktiviti penyatuan polisi pelaburan, promosi pelaburan secara bersama dan perkongsian maklumat bagi meningkatkan kecekapan penggunaan sumber dan mengurangkan lebihan/pembaziran.

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

PENUTUP

Kerajaan Negeri berhasrat untuk terus menerajui dalam semua bidang dan untuk menarik golongan muda yang berinovasi untuk menyumbangkan idea dan kepakaran mereka dalam pembangunan negeri ini. Kerajaan Negeri juga ingin meningkatkan lagi hubungan dengan Kerajaan Persekutuan dan menyeragamkan visi bersama untuk pembangunan masa hadapan Pulau Pinang.

Selepas 100 hari mentadbir, saya ingin mengumumkan satu harapan dan impian untuk Pulau Pinang yang digelar “Penang 2030: A Family Focused Green and Smart State That Inspires the Nation.” Pelan tindakan ini adalah bertujuan untuk membawa Pulau Pinang ke tahap pertumbuhan yang seterusnya, dari segi budaya dan ekonomi.

Sepanjang sedekad yang lalu, memang telah ada banyak perancangan, strategi dan blueprint bagi tujuan penambahbaikan untuk Negeri Pulau Pinang. Terdapat keperluan untuk meneruskan bidang pelaburan bagi meningkatkan kualiti pembangunan bandar, memelihara persekitaran, menarik bakat-bakat baru dan meningkatkan bidang pengetahuan dan industri kreatif. Kerajaan Negeri percaya bidang pelaburan seharusnya tidak boleh berjalan sendirian tetapi perlu mengambilkira perkembangan global semasa, ekonomi serantau dan juga sistem pembangunan negara.

Selain itu, terdapat juga pelbagai penambahbaikan untuk meningkatkan kualiti hidup di Pulau Pinang. Tidak dapat dinafikan sektor pembuatan dan pelaburan menjadi antara yang paling tinggi di negara ini. Sektor pelancongan juga telah meningkat dengan ketara manakala sektor hartanah terus kekal utuh. Namun, Pulau Pinang sama seperti negeri lain, masih belum dapat keluar daripada perangkap pendapatan kelas menengah (middle-income trap). Walaupun kita dapat mencegah aliran pelaburan kepada pesaing serantau yang tinggi, tetapi kadar pertumbuhan pendapatan masih perlahan, manakala peluang pekerjaan dan perkembangan ekonomi masih boleh dibangunkan. Kadar pertumbuhan pekerjaan dan populasi yang masih di tahap sederhana, dan adanya halangan dalam bidang pelaburan serta pendapatan yang rendah inilah yang menjadi penghalang untuk bakat-bakat baru di negeri ini.

Dengan pembentukan Kerajaan Persekutuan yang baru ini, perubahan di peringkat Kerajaan Negeri dan perkembangan pelbagai projek, inilah masanya untuk kita sintesis dokumen-dokumen terdahulu, menjalinkan kerjasama dengan kepakaran baru dan mengenalpasti keutamaan dan seterusnya melaksanakan projek-projek utama untuk membolehkan Pulau Pinang mencapai dan membentuk syarat-syarat untuk kepelbagaian ekonomi, pembabitan sosial dan persekitaran yang berdaya tahan.

Negeri Pulau Pinang akan terus berkembang dan membina reputasinya sebagai pusat kecemerlangan untuk menarik bakat-bakat terbaik, di mana revolusi digital selaras dengan IR 4.0, pelaburan dalam bidang baharu meningkat dan merealisasikan impian untuk keluarga hidup di dalam persekitaran yang bersih dan hijau, selamat serta memiliki peluang pendidikan dan pekerjaan.

Kerajaan Negeri akan menggunakan empat (4) teras utama berdasarkan people centric iaitu menekankan kepada:-

  1. Meningkatkan dayahuni untuk meningkatkan kualiti kehidupan (Increase liveability to enhance quality of life);
  2. Menaiktaraf ekonomi dengan meningkatkan pendapatan isirumah (Upgrade the economy to raise household income);
  3. Memperkasa rakyat untuk meningkatkan penyertaan masyarakat (Empower people to strengthen civic participation); dan
  4. Melabur dalam persekitaran infrastruktur dan kemudahan awam untuk meningkatkan daya tahan dalam pelbagai keadaan (Invest in the built environment to improve resilience).

Inisiatif strategik ini akan dilaksanakan berdasarkan kepada empat (4) pendekatan tersebut dan diharapkan jentera Kerajaan Negeri yang terlibat secara langsung dapat menjadikan visi ini satu realiti. Marilah kita menggembeleng tenaga demi negeri tercinta dan terus berasa bangga sebagai anak Pulau Pinang, di mana kita berada.

Sebelum saya mengakhiri ucapan penggulungan ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia ke-61 dan Selamat Menyambut Hari Raya Korban kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat yang beragama Islam.

Sayangi Malaysiaku.

Malaysia Baharu, Pulau Pinang Maju.

Sekian, Yang Berhormat Dato’ Speaker, saya mohon menyokong.

Terima kasih.

Chow Kon Yeow
Ketua Menteri Pulau Pinang
Ucapan Penggulungan Chow Kon Yeow di Persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Mesyuarat Pertama Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri Keempat Belas pada hari Jumaat, 10 Ogos 2018