BM 中文 English

Pilihan Raya Kecil Port Dickson adalah susulan kepada pertarungan bersejarah 9 Mei 2018 – sebuah pertarungan masa depan melawan masa lalu sebagai langkah kedua dalam usaha untuk melahirkan Malaysia Baharu bagi memberi rakyat Malaysia peluang kedua untuk membetulkan semula dasar pembinaan negara

Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson adalah PRK paling penting sepanjang 61 tahun sejarah negara.

Ia bukanlah sebuah pertarungan antara calon Pakatan Harapan, Anwar Ibrahim, yang bakal mengambil alih tampuk kepimpinan negara daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri kelapan Malaysia, dan enam calon lain yang menentangnya dalam PRK tersebut.

Ia adalah susulan kepada pertarungan bersejarah 9 Mei 2018 – sebuah pertarungan masa depan melawan masa lalu sebagai langkah kedua dalam usaha untuk melahirkan Malaysia Baharu bagi memberi rakyat Malaysia peluang kedua membetulkan semula dasar pembinaan negara.

Apakah yang akan terjadi kepada Malaysia sekiranya ramalan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 benar-benar berlaku, di mana beliau meramalkan bahawa Umno/BN bukan sahaja menang besar tetapi juga mampu mendapatkan semula majoriti dua pertiga Parlimen yang sebelum ini gagal diperolehi mereka dalam Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008?

Kita akan terjerumus ke arah trajektori demokrasi penyangak, kakistokrasi yang menyaksikan Menteri-menteri Kabinet tidak dapat membezakan antara telur penyu dan telur biasa, kleptokrasi global dan negara penyangak di mana orang boleh hilang begitu sahaja, menemui ajal dari tingkat ke-14 semasa berada di bawah tahanan pihak berkuasa, malah dibunuh tanpa sebarang siasatan mengenai motif sebenar; keadaan di mana mencuri barangan makanan ekoran faktor kemiskinan dianggap sebagai jenayah tetapi kegiatan mencuri puluhan bilion dana awam atas dasar keserakahan dan kebejatan moral tidak pula dianggap jenayah; dan keadaan di mana pemimpin No 1 negara sebenarnya adalah penyangak No 1 negara.

Malaysia adalah medan pertembungan agama dan tamadun dunia yang besar, tetapi ia telah hilang kompas moralnya selepas institusi nasional negara boleh dengan mudah dan tanpa perasaan menerima hakikat bahawa Malaysia telah digelar sebagai kleptokrasi global dan negara penyangak oleh dunia.

Namun, rakyat Malaysia, tidak kira orang Melayu, Cina, India, Kadazan atau Iban sudah muak dengan situasi itu dan membuat keputusan bersejarah pada 9 Mei 2018 untuk menyelamatkan Malaysia dan memberi peluang kedua kepada Malaysia untuk menetapkan semula dasar pembinaan negara untuk menyatukan semula rakyat dan menjadi negara contoh, atau memetik kata-kata Tunku Abdul Rahman, menjadi “suar cahaya dalam dunia yang binggung dan terganggu”.

Oleh itu, pilihan raya kecil Port Dickson pada Sabtu ini adalah sebahagian daripada pemacu pembentukan Malaysia Baharu, yang mana tidak mungkin dapat dilaksanakan dalam tempoh 100 hari atau lima bulan, tetapi akan mengambil tempoh selama satu atau dua dekad.

Rakyat Malaysia yang berfikiran waras harus ada Gambaran Besar dan Visi Jangka Masa Panjang untuk melaksanakan tugas pembentukan Malaysia Baharu. Kita mungkin akan tersandung dan membuat kesalahan dalam perjalanan itu – pun begitu, arah tujunya jelas.

Walaupun masa diperlukan untuk memenuhi janji pilihan raya Pakatan Harapan untuk memansuhkan semua undang-undang yang menindas dan tidak demokratik – tindakan sabotaj oleh Dewan Negara dalam pemansuhan Akta Anti-Berita Tidak Benar sudah cukup untuk menggambarkan masalah yang perlu dihadapi – saya bersetuju dengan Presiden Hakam, Gurdial Singh Nijar bahawa perlu ada moratorium terhadap semua tuduhan di bawah undang-undang menindas serta penggantungan terhadap semua hukuman mati.

AHLI PARLIMEN ISKANDAR PUTERI
Kenyataan media oleh Lim Kit Siang di Port Dickson pada hari Rabu, 10 Oktober 2018