BM 中文 English

Mendesak PTPTN mengkaji semula keseluruhan skim PGB agar ia lebih komprehensif dan tidak membebankan anak muda dan golongan M40

Kami terkejut dengan pengumuman dasar pembayaran balik pinjaman yang diumumkan oleh Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Encik Wan Saiful Wan Jan semalam di mana beliau telah memperkenal skim potongan gaji di antara 2% sehingga 15% berdasarkan pendapatan peminjam atau dikenali sebagai PGB.

Dasar ini telah menimbulkan pelbagai reaksi negatif di kalangan anak muda dan peminjam PTPTN kerana potongan gaji ini jelas membebankan para peminjam. Skim PGB ini secara langsung mengganggu pelan pembayaran PTPTN sedia ada dan bakal membebankan mereka yang patuh membayar PTPTN secara konsisten selama ini.

Kadar yang diperkenalkan itu hanya bersandarkan kepada gaji semata-mata. Skim PGB ini tidak mengambilkira komitmen lain peminjam antaranya potongan KWSP, pinjaman perumahan, pinjaman kereta dan kos pendidikan anak-anak dan lain-lain. Tambahan pula, kebanyakan mereka yang mendapat gaji sebanyak RM5000 ke atas, mempunyai keluarga yang perlu diambil kira dalam menetapkan kadar optimum pembayaran semula PTPTN.

Perlu diingatkan bahawa kebanyakan peminjam ini adalah mereka yang tinggal di bandar dan berada dalam kumpulan M40. Mereka ini adalah golongan yang tidak mendapat subsidi bersasar dan pada masa yang sama terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi. Skim PGB ini bakal mengurangkan pendapatan boleh guna (disposable income) mereka dan membawa malapetakan kepada kewangan mereka.

Skim PGB ini jelas bermasalah dan perlu dikaji semula. Kadar pembayaran sebanyak 5% ke atas adalah terlalu tinggi dan bakal membebankan pembayar. Kumpulan gaji yang ditetapkan juga terlalu sempit. Setelah menjanjikan penangguhan bayaran PTPTN bagi yang berpendapatan RM4000 ke bawah di dalam Manifesto Pakatan Harapan, golongan ini sepatutnya sekurang-kurangnya dikenakan kadar bayaran balik yang lebih rendah sebanyak 2%. Skim PGB juga perlu mengambil kira faktor-faktor lain yang tidak menghukum pembayar patuh PTPTN selama ini.

Kita memahami kewangan semasa negara dan hutang yang tinggi ditanggung oleh PTPTN, namun ia bukan alasan untuk mereka dipaksa membayar lebih. Hal ini jelas bercanggah dengan manifesto asal PH yang mahu memastikan pembayaran balik dilunaskan tanpa menzalimi peminjam. Sekiranya kita tidak mampu melaksanakan janji PTPTN seperti di dalam manifesto, sekurang-kurangnya kita mestilah berpegang kepada semangat dan tujuan janji kita.

Kami faham bahawa setiap hutang perlu dibayar semula. Namun pinjaman PTPTN bukanlah seperti pinjaman lain. Ia adalah pinjaman pendidikan yang perlu diambil oleh pelajar jika mereka tidak mampu untuk melanjutkan pelajaran di peringkat tinggi. Pinjaman PTPTN bukanlah satu pilihan tetapi satu keperluan.

Kami mendesak PTPTN mengkaji semula keseluruhan skim PGB ini agar ia lebih komprehensif dan tidak membebankan anak muda dan golongan M40. Kami menyeru pertimbangan wajar dari Pengerusi PTPTN untuk mengambil langkah segera untuk menangguhkan skim ini dan berbincang dengan pemegang-pemegang taruh sebelum mengumumkan polisi baru yang lebih adil.

Edry Faizal Eddy Yusof
ADUN DUSUN TUA
Young Syefura Binti Othman
ADUN Ketari
Lim Yi Wei
ADN Kampung Tunku
Kenyataan media bersama oleh Edry Faizal Eddy Yusof, Young Syefura Binti Othman dan Lim Yi Wei di Kuala Lumpur pada hari Khamis, 6 Disember 2018