BM 中文 English

Kerajaan perlu menangguhkan PGB PTPTN atas 2 sebab

Semalam, pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Wan Saiful mengumumkan bahawa pelaksanaan Potongan Gaji Berjadual (PGB) akan mula berkuatkuasa pada Januari 2019 dengan potongan berdasarkan peratusan gaji peminjam.

Namun demikian, Kerajaan perlu menangguhkan pelaksanaan tersebut atas 2 sebab.

Pertama, pelaksanaan tersebut telah melanggar semangat perjanjian (Spirit of Contract) antara peminjam dengan pihak PTPTN.

Wan Saiful menjelaskan bahawa melalui perjanjian yang mereka tandatangani tersebut, peminjam telahpun bersetuju untuk membuat bayaran balik mengikut apa-apa skim yang ditetapkan oleh PTPTN, termasuk potongan gaji melalui majikan.

Namun begitu, saya ingin mengingatkan Wan Saiful bahawa kadar bayaran balik oleh peminjam juga telah ditetapkan dalam perjanjian.

Sesungguhnya PTPTN berhak mengubah sebarang skim dan mekanisme bayaran balik tetapi tidak termasuk mengubah kadar bayaran balik sesuka hati atas sebab kekangan kedudukan kewangan negara. Tindakan sedemikian jelas melanggar semangat perjanjian.

Kedua, skim PGB yang jelas membebankan golongan M40 akan mengurangkan Pendapatan Boleh Guna (Disposable Income) golongan tersebut seterusnya menjejaskan pertumbuhan keseluruhan ekonomi negara.

Sememangnya golongan M40 adalah penjana utama ekonomi negara dengan kuasa berbelanja yang mampu memberi sumbangan besar kepada pasaran ekonomi. Kadar bayaran balik yang meningkat terhadap peminjam PTPTN golongan M40 pasti memberi kesan kepada pengurangan keupayaan berbelanja pengguna.

Selain itu, kekurangan pendapatan boleh guna akan mendorong sebahagian mereka mendapatkan pinjaman peribadi atau menggunakan kad kredit untuk membiayai perbelanjaan bulanan sekali gus menyebabkan kadar hutang isi rumah meningkat.

Oleh itu, Kerajaan perlu menangguhkan pelaksanaan PGB dan mengkaji semula skim tersebut secara menyeluruh tanpa menjejaskan ekonomi negara.

Chiong Yoke Kong
Timbalan Ketua DAPSY Kebangsaan & ADUN Tanah Rata
Kenyataan media oleh Chiong Yoke Kong di Cameron Highlands pada hari Jumaat, 7 Disember 2018