BM 中文 English

DAPSY: PTPTN mesti pertimbang semula keputusan, jadi fasilitator pembayaran

Pengumuman skim potongan gaji oleh PTPTN telah mengundang kemarahan ramai peminjam-peminjam, termasuk penyokong-penyokong Pakatan Harapan.

Turut mengundang keresahan DAPSY, adalah Pemuda Harapan langsung tidak dilibatkan dalam proses pembuatan dasar ini. Memandangkan dasar baru ini merupakan suatu peralihan daripada Tawaran Pemuda Harapan serta Manifesto Pakatan Harapan, pimpinan pemuda wajar terlibat bagi membawa suara anak muda peminjam PTPTN.

Memandangkan keadaan ekonomi yang semakin menekan, khususnya kepada mereka yang berada di kawasan bandar- PTPTN dan Kementerian Pendidikan sepatutnya mencari dan menawarkan lebih banyak alternatif pembayaran dan bukannya terus ke kaedah pemotongan gaji. Apatah lagi pada kadar 10 peratus daripada gaji tanpa siling.

Dasar baru ini sekiranya dilaksanakan akan mengganggu ribuan pembayar PTPTN yang sekian lama telah membuat bayaran RM200-300 sebulan; mereka terpaksa mengalami pertambahan perbelanjaan berlipat kali ganda. Dari satu sudut yang lain, ia juga akan menidakkan pasaran daripada tuaian pendapatan boleh belanja (disposable income), justeru manambah teruk kelembapan pasaran pengguna.

PTPTN perlu mengambil berat dan mempertimbangkan implikasi politik kepada Pakatan Harapan sekiranya skim ini dilaksanakan. Janji asal manifesto yang menjadi asas sokongan ramai peminjam PTPTN kepada Pakatan Harapan pada PRU14 tidak boleh dipandang rendah. Peralihan daripada RM4000 ke RM 2000 adalah sesuatu yang amat menjejaskan kredibiliti Pakatan Harapan, apatah lagi dengan skim potongan gaji yang menghukum golongan yang sekian lama membantu PTPTN dengan bayaran bulanan yang tetap.

DAPSY menyarankan dengan tegas supaya PTPTN menghentikan segala usaha dalam perlaksanaan skim ini, dan kembali ke meja perundingan dengan semua pihak, termasuk peminjam-peminjam PTPTN, pembayar-pembayar PTPTN dan Pemuda Harapan.

DAPSY berpandangan bahawa, PTPTN seharusnya memainkan peranan pemudah-cara dan fasilitator pembayaran, bukannya peranan penguatkuasa atau pengutip tunggakan. Antara langkah ini termasuklah menggalakkan pembayaran balik secara lump-sum yang seharusnya diberi insentif.

DAPSY mencadangkan skim pembayaran alternatif, iaitu melalui potongan caruman KWSP, dan bukannya daripada gaji. Ramai peminjam dirasakan lebih cenderung membuat pembayaran melalui KWSP setiap bulan yang belum tentu dapat dirasa menjelang hari tua, daripada diperah pendapatan boleh guna mereka yang semakin menguncup nilainya saban hari.

DAPSY juga mencadangkan pindaan kepada Akta KWSP yang menghalang pengeluaran untuk pembayaran PTPTN di kalangan peminjam yang tidak menamatkan pengajian. Ini pastinya akan memberi manfaat kepada PTPTN jika mereka turut memilih untuk melangsaikan bayaran secara sekali gus.

DAPSY mencadangkan supaya skim pemotongan gaji dikekalkan hanya kepada mereka yang memilih untuk berbuat demikian tanpa perlu dipaksa, dengan jadual peratusan pendapatan yang lebih mesra pembayar. Siling jumlah bayaran bulanan juga harus ditetapkan pada satu paras yang mesra pembayar.

DAPSY menegaskan bahawa strategi menambah beban dan menghukum pembayar yang sebelum ini membayar bulanan tetap kepada PTPTN adalah sesuatu yang tidak boleh diterima dan membawa implikasi politik yang amat buruk untuk jangka masa panjang.

Howard Lee Chuan How
KETUA DAPSY KEBANGSAAN & ADUN PASIR PINJI
Kenyataan media oleh Howard Lee Chuan How di Ipoh pada hari Jumaat, 7 Disember 2018