Jentera Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands perlu melakukan keajaiban untuk memenangkan Manogaran di Cameron Highlands, yang tewas pada PRU14

Jentera Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands perlu melakukan keajaiban sepanjang dua minggu akan datang untuk memenangkan M. Manogaran di Cameron Highlands.

Ini kerana Pakatan Harapan tewas di Cameron Highlands dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei 2018 yang mana memberi kesan terhadap peralihan kuasa secara aman dan demokratik yang berlaku pertama kali dalam sejarah negara selama enam dekad, yang mana Malaysia diberikan penghargaan dan dianggap sebagai “bright spot” dalam demokrasi Asia Tenggara menerusi Indeks Demokrasi Unit Risikan Ekonomi (EIU) 2018 yang dikeluarkan baru-baru ini.

Dalam Indeks Demokrasi 2018, Malaysia berada di kedudukan lebih tinggi berbanding negara jiran Asia Tenggara yang lain sebagai model negara demokrasi, dengan skor keseluruhan bertambah baik dan keputusan bersejarah PRU14 yang menyaksikan Malaysia meniti tangga ke 52 daripada 165 negara bebas dan dua kawasan, berada 14 tangga di atas Singapura (66) dan satu tangga meninggalkan Filipina (53).

Dalam laporan terbaru EIU, Malaysia disifatkan sebagai “bright spot” dalam rantau tersebut susulan Pilihan Raya 9 Mei tahun lalu, yang menyaksikan Pakatan Harapan menewaskan Barisan Nasional yang memerintah selama 61 tahun.

“Kemenangan calon pembangkang dalam pilihan raya penting di Asia pada 2018 memperkuatkan skor kawasan berkenaan bagi aspek proses pilihan raya dan pluralisme,” kata laporan itu.

Laporan itu menyifatkan kemenangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai “luar biasa” walaupun berlaku amalan gerrymandering.

Walaupun Malaysia mencatatkan peningkatan, negara masih berada di kedudukan “flawed democracy” dengan skor keseluruhan 6.88.

Kedudukan Malaysia dalam Indeks Demokrasi 2018 akan lebih tinggi jika Pakatan Harapan menang di Cameron Highlands pada 9 Mei 2018.

Kemenangan akan lebih sukar dicapai oleh Pakatan Harapan jika Barisan Nasional mempertaruhkan bekas pegawai polis, Ramli Mohd Noor, yang merupakan pegawai polis dari kalangan Orang Asli yang memegang jawatan tertinggi pasukan polis dalam sejarah negara.

Ramli juga adalah orang tempatan dari suku Semai, yang merupakan 22 peratus pengundi Orang Asli di kerusi Parlimen Cameron Highlands.

Adalah menyedihkan dan malang apabila Ramli tidak dicalonkan oleh UMNO semasa UMNO masih berpengaruh, dan seterusnya dilantik menjadi Menteri atau Timbalan Menteri, sekali gus mengakhiri peminggiran masyarakat Orang Asli dan membawa mereka masuk ke dalam arus perdana pembangunan negara.

Sejak enam dekad, JAKOA gagal membebaskan masyarakat Orang Asli daripada kepompong kemiskinan, kemunduran dan peminggiran. Hanya seorang Orang Asli yang dilantik sebagai Ketua Pengarah JAKOA sejak lapan tahun lalu sementara kurang 22% kakitangan JAKAO adalah Orang Asli.

Hari ini, UMNO, dengan sejarah kleptokratik, kini terkapai-kapai, memerlukan sokongan PAS untuk kekal relevan.

Pakatan Harapan adalah masa hadapan dan PRK Cameron Highlands adalah pembukaan kepada pertempuran PRU15 untuk Pakatan Harapan menawan Kerajaan Negeri Pahang, yang mana akan membolehkan masalah tanah adat Orang Asli diselesaikan.

UMNO kini adalah masa lalu, yang rosak akibat ketamakan, penyalahgunaan kuasa dan kleptokrasi, meskipun dengan sokongan PAS, Malaysia tidak boleh kembali ke masa lalu kleptokratik UMNO, kerana masa depan adalah demokrasi, tadbir urus baik, kedaulatan undang-undang dan keadilan untuk semua masyarakat di Malaysia.

Justeru itu, PRK Cameron Highlands bukan hanya pertempuran individu atau gabungan politik, tapi lebih penting lagi, pertempuran antara masa depan dan masa lalu Malaysia, antara sebuah Malaysia Baharu berteraskan demokrasi, urus tadbir baik, kedaulatan undang-undang dan keadilan untuk semua masyarakat di Malaysia dan Malaysia Lama dengan demokrasi yang tempang, kakistrokrasi, negara gagal dan kleptokrasi global.

Inilah sebabnya mengapa jentera Pakatan Harapan di Cameron Highlands perlu melakukan keajaiban – melakukan sesuatu yang lebih ajaib daripada keputusan pada 9 Mei 2018.

AHLI PARLIMEN ISKANDAR PUTERI
Kenyataan media oleh Lim Kit Siang di Brinchang pada hari Khamis, 10 Januari 2019