BM 中文 English

Adakah para pemimpin PH masih tersangkut dalam “mentaliti pembangkang” kerana selalu mengkritik rakan sekerja yang lain?

Sebagaimana yang dapat dilihat dalam beberapa bulan kebelakangan ini, para wakil rakyat dan pemimpin Pakatan Harapan (PH) tidak gentar untuk mengkritik rakan sekerja atau pemimpin PH yang lain.

Sebagai contoh, pada minggu lepas, saya telah secara terbuka membantah pelaksanaan sistem parkir swasta yang dilakukan secara tiba-tiba dan meluas di kawasan parlimen saya, Kota Melaka. Sudah tentu, saya mengambil tindakan ini dengan penuh kesedaran bahawa pentadbiran kerajaan negeri Melaka adalah di bawah PH.

Di peringkat nasional, pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli parlimen PH juga tidak teragak-agak untuk menyatakan bantahan kami secara terbuka terhadap isu-isu. Contohnya, dalam sesi parlimen yang lepas, ramai ahli parlimen backbencher telah menyatakan bantahan tegas terhadap skema pembayaran balik PTPTN yang dicadangkan oleh kerajaan.

Ekoran itu, ramai orang telah mengkritik PH kerana dikatakan tidak teratur. Ada pula yang berpendapat bahawa kami sepatutnya menyelesaikan isu ini mengikut saluran dalaman dan tidak harus berperangai seperti pembangkang lagi.

Saya sedar dan bersetuju bahawa, sejauh yang mungkin, kita seharusnya cuba untuk menyelesaikan masalah-masalah melalui mekanisme dalaman.

Pada masa yang sama, saya juga berpendapat bahawa peranan terpenting seorang ahli parlimen adalah sebagai pengantara suara rakyat, sama ada di peringkat parlimen ataupun secara umum. Keutamaannya ialah kepetingan rakyat, dan perkara paling minima yang boleh dilakukan oleh seseorang ahli parlimen ialah menyampaikan suara rakyat kepada pihak-pihak yang bertanggungjawab secara jelas dan terbuka.

Kritikan terbuka tidak harus selalunya dilihat sebagai sesuatu yang negatif. Ia wajar dilihat sebagai sebahagian daripada proses demokratik. Jika dilakukan secara baik dan ikhlas, kritikan terbuka boleh menggalakkan ketelusan dan kekuatan dalam sistem pentadiran. Perkara ini membuat sebuah ruang awam yang positif, dimana semua pihak boleh mendapatkan maklumat atau mengambil bahagian dalam menyuarakan pendapat mereka.

Ia juga menggalakkan sistem semak imbang yang lebih kukuh. Bukan semua ahli parlimen bertanggungjawab dalam tugas pelaksanaan eksekutuf, dan oleh itu, kami boleh memainkan peranan yang penting dengan memantau rakan-rakan sekerja lain yang bertanggungjawab.

Lebih-lebih lagi, bukannya lebih baik jika kita menerima maklumbalas dan kritikan daripada rakan-rakan sekerja, berbanding dengan musuh-musuh? Bezanya ialah rakan-rakan sekerja mahukan kita berjaya bersama-sama, sedangkan musuh-musuh inginkan kita untuk gagal.

Jika perkara yang sebaliknya berlaku, dimana masalah-masalah hanya dibincangkan di belakang tabir. Pendekatan sedemikian akan menumpukan kuasa di tangan beberapa orang. Orang ramai akan bertambah hampa dan marah kerana kekurangan akauntabiliti dan ketelusan.

Oleh itu, jika terdapat pilihan, saya akan tetap lantang bersuara demi kepentingan orang ramai.

Khoo Poay Tiong
Ahli Parlimen Kota Melaka
Surat kepada pengarang oleh Khoo Koay Tiong di Melaka pada hari Jumaat, 11 Januari 2019