Soalan yang perlu dijawab oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak mengenai operasi memusnahkan kebun di Sungai Ichat

Satu operasi penguatkuasaan oleh Kerajaan Negeri bermula 25 Februari lalu. Dalam operasi tersebut, sebanyak 61 buah kebun dengan keluasan 55 hektar terbabit dalam operasi itu melibatkan dua fasa. Sebanyak 11 kebun terlibat bagi fasa pertama yang dijangka berakhir pada pertengahan bulan ini. Fasa kedua pula akan melibatkan 50 kebun dan operasi penguatkuasaannya bermula pada April depan.

Bagi menjawab persoalan mengenai Operasi penguatkuasaan yang dijalankan ke atas kebun-kebun di Sungai Ichat, Kuala Terla, Cameron Highlands, beberapa tuduhan telah dilontarkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak terhadap pekebun-pekebun di situ.

Antaranya, Dr Sallehuddin Ishak mendakwa bahawa kebun-kebun itu berada di muka sauk empangan Sungai Ichat yang 70 peratus air bersihnya disalurkan kepada penduduk Cameron Highlands. Beliau juga mendakwa bahawa pekebun itu sudah diberi notis pengosongan tanah sejak 2009 maka tiada isu tidak memberikan masa untuk berpindah.

Namun demikian, menurut Memorandum yang disediakan oleh pekebun di situ, tuduhan Dr Sallehuddin Ishak adalah kurang tepat dan tidak benar. Oleh itu, beberapa soalan wajib dijelaskan oleh Kerajaan Negeri Pahang sebelum meneruskan Operasi di situ untuk mengelakkan sebarang kekeliruan.

Pada akhir tahun 2009, satu sesi dialog antara Pihak Berkuasa Negeri bersama pekebun telah diadakan dan turut dihadiri oleh bekas Ahli Parlimen SK Devamany dan Bekas Exco Negeri Pahang Hoh Khai Mun. Keputusan daripada sesi dialog tersebut membenarkan pekebun itu terus mengusahakan aktiviti pertanian di Sungai Ichat.

Pada tahun 2012, Jabatan Bekalan Air mengarahkan pekebun-pekebun supaya mengosongkan rizab 15 kaki dari sungai ke kawasan kebun, menjaga kebersihan sungai dan membina tangki kumbahan di setiap kebun.

  1. Menurut memorandum, tuduhan Datuk Seri Sallehuddin Ishak bahawa pekebun-pekebun itu sudah diberi notis pengosongan tanah sejak 2009 adalah tidak benar sedangkan dialog bersama pekebun-pekebun berlangsung sampai tahun 2012. Beliau perlu memberi penjelasan kenapanya terdapat 2 versi keterangan yang berlainan.
  2. Kenapa Kerajaan Negeri tidak menangani punca pencemaran sumber air di hulu Sungai Terla terlebih dahulu yang membekalkan air kepada Loji Rawatan Air Kuala Terla buat masa sekarang?
  3. Perlu difahamkan bahawa pencemaran sumber air di hulu Sungai Terla adalah lebih kritikal berbanding dengan Sungai Ichat. Adakah tindakan sedemikian merupakan penguatkuasaan secara pilihan (Selective Enforcement)?

Operasi ini melibatkan 61 buah kebun dan beratusan keluarga yang telah mengusahakan kegiatan pertanian di situ turun-temurun, pihak Kerajaan Negeri perlu lebih berperikemanusian dan memberikan jalan keluar seperti penempatan semula kepada pekebun-pekebun itu. Saya menyeru kepada Kerajaan Negeri supaya menghentikan Operasi Khas terhadap kebun-kebun di Sungai Ichat buat sementara dan mengadakan dialog bersama pekebun di situ untuk mencari “win-win solution” atau memberikan tempoh notis yang lebih panjang supaya pekebun boleh mengutip hasil terlebih dahulu.

Chiong Yoke Kong
ADUN Tanah Rata
Kenyataan media oleh Chiong Yoke Kong di Cameron Highlands pada hari Rabu, 13 Mac 2019