6 sebab mengapa kombinasi DAP, Warisan dan Pakatan Harapan mendapat kemenangan besar yang mengejutkan di Sandakan

DAP terkejut dengan kemenangan besar calon DAP Vivian Wong dengan majoriti undi sebanyak 11,521, meskipun terdapat pengurangan yang nyata dalam peratusan keluar mengundi sebanyak 18% daripada 72% pada Pilihanraya Umum 2018 kepada 54%, lebih besar daripada majoriti undi 10,098 yang diperoleh bapa beliau Stephen Wong di dalam Pilihanraya Umum 2018. DAP dan Vivian Wong melakar sejarah dengan mendapat majoriti kemenangan terbesar dalam sejarah pilihan raya Sandakan. Tambahan lagi, DAP menang di semua daerah pengundian di Sandakan, termasuk kubu kuat Barisan Nasional (BN) iaitu undi pos, Pulau Berhala, dan Kampung Sim Sim.

Kemenangan ini milik rakyat Sabah, atas keyakinan dan sokongan mereka terhadap kombinasi politik Warisan, DAP dan Pakatan Harapan. Terdapat 6 sebab mengapa kombinasi DAP, Warisan dan Pakatan Harapan mendapat kejayaan besar yang mengejutkan di Sandakan.

Pertama, keyakinan dan sokongan penuh daripada pengundi Sandakan untuk “Bossku Sabah”, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Shafie Apdal, yang telah bersama-sama turun berkempen dari rumah ke rumah selama berhari-hari dan berucap di dalam banyak ceramah DAP, termasuk 45 minit di ceramah finale di dalam hujan lebat tanpa berpayung. Ramai pengundi Sandakan, termasuk pengundi Melayu dan Muslim, tersentuh dengan semangat beliau untuk berkhidmat, membangunkan dan membawa perubahan untuk menjadikan Sabah lebih baik, lebih makmur dan bersih untuk semua tanpa mengira bangsa atau agama.

Kedua, keyakinan dan sokongan penuh untuk kepimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Shafie Apdal, sebagai pemimpin satu-satunya gabungan yang berkebolehan dan layak untuk menyatukan, mentadbir dan mewakili semua rakyat Malaysia secara geografi dan demografi. Seperti dibuktikan keputusan Pilihanraya Kecil Sandakan, pembangkang tidak mampu menandingi kombinasi Warisan, DAP dan Pakatan Harapan dalam mengutamakan kesederhanaan dan menyatukan rakyat Malaysia dengan mewakili semua kaum, agama, dan kawasan. Penolakan politik perkauman yang memecah-belah dan merosakkan, ekstremisme agama, dan korupsi pembangkang ini adalah hadiah terbaik sempena ulang tahun pertama Warisan dan PH memenangi kuasa di peringkat negeri dan kerajaan persekutuan.

Ketiga, sokongan untuk pembangunan berpaksikan rakyat berbanding kapitalisme kroni, untuk menjadikan ekonomi Sandakan dinamik semula. Janji-janji kosong dan kelemahan dalam pelaksanaan yang berlaku dahulu mesti diganti dengan tindakan dan perubahan sebenar yang dapat dilihat, disentuh dan dirasa oleh rakyat. Membina Harapan, Dinamik Sandakan.

Keempat, penolakan korupsi dan kerajaan kleptokrasi untuk diganti dengan pentadbiran secara baik dan bersih. Rakyat sudah letih dan bosan dengan rasuah dan ini merupakan penolakan secara sepenuhnya ahli politik korup yang berkempen di Sandakan, seperti ahli Parlimen Kinabatangan dan mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kelima, sokongan bagi kerja baik yang dilakukan oleh mendiang Stephen Wong, idealisme dan keutuhan prinsip DAP, dan Vivian Wong sebagai calon yang baik, yang melambangkan masa hadapan, dan pemerkasaan wanita dan orang muda.

Keenam, jentera pilihanraya DAP dan mobilisasi pemimpin dan ahli mendapat sokongan kuat daripada Warisan dan PH, membenarkan berlakunya kempen yang menyeluruh diisi dengan tenaga, kepantasan, dan capaian pengundi yang meliputi keseluruhan kawasan parlimen. DAP ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pemimpin dan ahli Warisan, PH, dan DAP yang telah meluangkan masa untuk memberi sokongan dan memungkinkan kemenangan besar yang bersejarah ini berlaku.

Masa untuk meraikan kemenangan hanyalah sebentar. Rakyat Sandakan mengharapkan kita bekerja keras untuk membawa perubahan. DAP percaya bahawa di bawah kepimpinan berkebolehan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal, kita dapat menyampaikan apa yang telah dijanjikan.

SETIAUSAHA AGUNG DAP & AHLI PARLIMEN BAGAN
Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di Kuala Lumpur dan Sandakan pada hari Ahad, 12 Mei 2019