Sokong cadangan undang-undang baru untuk menangani ucapan berunsur kebencian berkaitan agama

Saya menyokong penuh cadangan daripada Timbalan Menteri Perumahan, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin untuk menggubal suatu undang-undang yang baru untuk menangani masalah percakapan yang berunsurkan kebencian di media sosial, terutamanya yang berkaitan dengan agama.

Contoh yang paling baru adalah kenyataan daripada seorang pemimpin NGO Muslim berkenaan isu Pos Malaysia mengeluarkan setem yang memaparkan Gereja St George di Pulau Pinang.

Pemimpin NGO tersebut telah menyiarkan ketidakpuasan hati beliau di Facebook, mengakatakan yang setem ini adalah salah satu lagi contoh Islam dibuli sejak Pakatan Harapan mengambil-alih pemerintahan Mei tahun lepas dan mengatakan kejadian ini boleh mengelirukan orang asing untuk berfikir yang Malaysia sudah menjadi negara Kristian, walhal setem itu sebenarnya sebahagian daripada siri setem rumah ibadat di Malaysia yang dikeluarkan buat pertama kalinya pada tahun 2016, dua tahun sebelum pentadbiran Pakatan Harapan.

Dalam Malaysia Baharu, agama sepatutnya menjadi satu kuasa penyatuan dan sepatutnya tidak ada ruang untuk ahli politik yang menyalahgunakan agama untuk mempertahankan kleptokrasi atau ektremisme dalam sebarang bentuk sekalipun.

Memandangkan Malaysia adalah sebuah komuniti yang mempunyai pelbagai fahaman agama, sepatutnya menjadi kepentingan utama untuk semua rakyat saling menghormati semua agama, malahan, perkara ini adalah prinsip yang pertama di dalam Rukunegara — Kepercayaan kepada Tuhan, yang berasaskan kepada prinsip asas perlembagaan dimana Islam adalah agama rasmi persekutuan dan semua agama dan kepercayaan lain boleh diamalkan dengan bebas dan harmoni tanpa sebarang diskriminasi.

Perkara ini adalah bersesuaian dengan Islam, yang memberikan hak untuk mengikut agama pilihan masing-masing. Al-Quran telah menyatakan “Tidak ada paksaan dalam agama…” (2:256) dan “Bagimu agamamu, bagiku agamaku” (109:6).

Agama dan kepercayaan adalah suatu penyatu sosial yang kuat jika digunakan untuk kebaikan masyarakat dan negara dan seluruh dunia. Tetapi boleh disalahgunakan oleh individu yang tidak bertanggungjawab sebagai suatu kuasa yang memusnah. Agama boleh dengan mudah menaikkan emosi percintaan sesama manusia atau kebencian, emosi konstruktif atau destruktif, keamanan atau peperangan. Semuanya bergantung kepada penggunaan atau penyalahgunaan.

Rakyat Malaysia haruslah dididik sejak daripada bangku sekolah untuk menghormati agama yang lain dan kita perlu ada satu undang-undang untuk menghukum mereka yang menghina agama lain dalam apa cara sekalipun. Termasuklah di internet, penerbitan, seni, dan wayang. Kita mestilah menghormati kebebasan bersuara untuk semua tetapi kebebasan bersuara bukanlah satu lesen untuk menyebarkan kebencian dan penghinaan kepada orang lain.

Dalam bulan Mac tahun ini, persatuan Islam terbesar di Indonesia, Nadhlatul Ulama telah mengeluarkan kenyataan menggesa pemberhentian penggunaan perkataan kafir untuk merujuk kepada individu yang bukan beragama Islam dalam perkara negara dan kewarganegaraan.

Nadhlatul Ulama, yang mempunyai lebih kurang seratus juta ahli telah bersetuju di Persidangan Kebangsaannya bahawa individu bukan Islam tidak patut digelar kafir memandangkan mereka mempunyai hak yang sama dalam urusan negara.

Persidangan tersebut memutuskan bahawa orang bukan Islam sepatutnya digelar sebagai “muwathin” ataupun rakyat dengan hak dan tanggungjawab yang sama seperti rakyat Indonesia yang beragama Islam.

Persidangan tersebut juga menekankan yang Indonesia, sebagai sebuah negara, bukanlah ditubuhkan oleh orang Islam sahaja.

Adakah organisasi Muslim yang berdiri diatas prinsip yang inklusif dalam pembinaan negara yang bermasyarakat majmuk bersedia untuk mengambil pandangan yang sama seperti Nadhlatul Ulama?

Sebaliknya, kita ada mufti negeri yang tanpa segan-silu menggelarkan orang bukan Islam sebagai kafir harbi, yang telah dikritik oleh kumpulan pro-reformasi G25 kerana terlalu serupa dengan seruan yang dibuat oleh militan DAESH yang menunggang agama untuk tujuan keganasan.

Ini adalah antara sebabnya tiga tahun lepas, 55 NGO yang mewakili persatuan awam Malaysia yang berbilang kaum dan agama, mengeluarkan kenyataan yang menegaskan bahawa semua rakyat Malaysia adalah rakyat dan tidak ada kafir harbi atau kafir dhimmi.

Kenyataan bersama tersebut menyatakan:

“Penggolongan umat manusia kepada “kafir harbi” (orang bukan Muslim yang menentang pemerintah Muslim) dan “kafir dhimmi” (orang bukan Muslim yang menerima ketuanan dan perlindungan pemerintah Muslim) berlaku pada zaman silam. Dalam konteks silam ini, apabila negara yang berlainan agama berperang, perperangan antara-negara mengambil sifat perperangan antara-agama.

“Malah, terdapat perperangan-perperangan yang tercetus atas nama mempertahankan agama, sungguhpun motivasi paling kuat sering ialah menakluk wilayah demi kuasa dan harta benda.

“Membahagikan orang bukan Muslim kepada dua golongan, iaitu sama ada golongan “kafir harbi” yang harus dibunuh atau golongan “kafir dhimmi” yang mesti menurut pemerintah Muslim, adalah dalam konteks khas permusuhan antara agama yang mendalam.

“Pemikir besar Islam seperti Dr Yusuf al-Qaradawy menyarankan supaya istilah seperti “dhimmi” dipadamkan dan rakyat bukan Muslim dikenali sebagai “muwatinun” (warganegara) sama seperti rakyat Muslim.

“Ini sebenarnya bukan perkara baru. Menurut sarjana Mesir Dr Fathi Osman, orang Muslim dan orang bukan Muslim sememangnya mempunyai status kewarganegaraan yang samarata di Madinah di bawah kepimpinan Rasulallah Muhamad s.a.w. kerana Madinah juga sebuah masyarakat aneka-agama.

“Dilahirkan pada 1963 dengan penggabungan Malaya, Singapore (keluar 1965), Sabah dan Sarawak atas status samarata, Malaysia adalah sebuah persekutuan yang bersifat sivil yang didiami masyarakat majmuk. Hubungan di antara orang Muslim dan orang bukan Muslim adalah hubungan antara warganegara atau “muwatinun” yang berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Mereka bukanlah musuh sesama lain. Mereka juga bukan “si pelindung” di satu pihak dan “si dilindungi” di pihak yang lain.

Menjadi petanda yang rakyat Malaysia masih mempunyai perjalanan yang masih jauh, sama ada orang Islam atau bukan Islam, sebagai rakyat bersama Malaysia, apabila klip video seorang penceramah agama yang memberi amaran bahawa negara ini akan ditimpa bala selepas membacakan senarai jawatan utama kerajaan yang dipikul oleh orang kafir boleh ditularkan secara viral di sosial media — satu kes ucapan berunsurkan kebencian yang jelas bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia.

AHLI PARLIMEN ISKANDAR PUTERI
Ucapan oleh Lim Kit Siang di Majlis Berbuka Puasa DAP di Kuala Lumpur pada hari Jumaat, 24 Mei 2019