Marilah kita semua rakyat Malaysia berganding tenaga untuk menjadikan Malaysia sebuah negara bertaraf dunia dalam semua perkara

Sambutan Hari Raya untuk tahun ini berlangsung berlangsung sebulan selepas ulang tahun pertama Pilihanraya Umum ke-14 yang menyaksikan Malaysia diselamatkan daripada keburukan kleptokrasi global dan perubahan hala tuju negara kearah yang lebih baik.

Jika tidak kerana Pilihanraya Umum yang ke-14 ini, kita sudah tentunya akan mendahului Venezuela dari segi kerosakan — dahulunya salah satu daripada 20 negara terkaya di dunia dan Amerika Latin, yang mewah dengan sistem pendidikan dan perubatan percuma untuk rakyatnya tetapi kini miskin, terkebelakang, dan bankrup.

Kita sekarang berada dalam tahun kedua untuk memperbetulkan hala tuju polisi pembangunan negara bagi memenuhi potensi pembangunan negara kita yang berbilang kaum ini, yang merupakan satu pertemuan harmoni pelbagai tamadun, agama, dan budaya dunia.

Kita haruslah mengambil iktibar dan mempelajari segala nilai murni daripada setiap tamadun, budaya, dan agama yang berbilang ini untuk membina suatu Malaysia Baharu yang boleh menjadi tauladan dunia — sebuah negara yang progresif dan makmur yang dibina dengan adunan pelbagai kaum, bahasa, dan budaya.

Biar apa pun perbezaan kita, sama ada bahasa, kaum, agama, ataupun budaya, marilah kita sentiasa bersatu sebagai rakyat Malaysia dan kekal positif, saling sayang-menyayangi antara satu sama lain, dan jauhkan diri kita daripada kebencian, penipuan, intoleransi, dan ekstremisme.

Marilah kita semua berazam untuk menjadikan Malaysia sebuah negara bertaraf dunia dalam semua bidang yang diceburi manusia.

Dan marilah kita semua berganding tenaga untuk merealisasikan matlamat ini.

Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin.

AHLI PARLIMEN ISKANDAR PUTERI
Mesej Hari Raya Aidilfitri oleh Lim Kit Siang pada hari Selasa, 4 Jun 2019