Geli Hati membaca komen Annuar Musa — kenapa bukan Najib? Kit Siang juga pernah kalah pilihanraya tetapi kekal sebagai penasihat DAP

Saya berasa geli hati membaca kenyataan Setiausaha Agung UMNO Annuar Musa yang menyatakan Kit Siang juga sudah berapa kali kalah pilihanraya tetapi masih kekal sebagai penasihat DAP.

Perkara ini hanya membuktikan tahap kebijakan Annuar Musa yang agak kekurangan.

Dalam mempertahankan pelantikan Najib Razak sebagai pengerusi Badan Penasihat BN, Annuar telah menyifatkan bekas Perdana Menteri yang kini sarat dengan pelbagai masalah tersebut sebagai satu aset yang berharga untuk pakatan mereka.

Beliau berpendapat walaupun BN kalah dalam PRU14 dibawah pimpinan Najib, Najib masih mempunyai banyak pengalaman berguna yang boleh dikongsi bersama.

Beliau berkata, “Kita kena ingat, Lim Kit Siang jadi penasihat, berapa kali dia kalah? Berapa kali DAP kalah dalam 13 kali pilihan raya, Lim Kit Siang yang memimpin DAP berapa kali dia kalah?

“Tiada isu. Kalau sekali kalah takkan terus hilang kelayakan jadi penasihat. Jangan dinafikan beliau punya pengalaman, punya kebolehan. Kalau tidak masakan rakyat sekarang ini memberikan sambutan,”

Jelas sekali, Annuar Musa tidak mempunyai tahap IQ yang mencukupi untuk memahami yang saya tidak pernah membawa kekalahan kepada DAP dengan menjadi seorang kleptokrat yang terkenal di persada dunia seperti Najib.

Pelantikan Najib sebagai penasihat BN, dengan restu UMNO, MCA, dan MIC (tiga parti yang masih ada dalam Barisan Nasional), hanya mengesahkan kemuflisan akhlak parti-parti BN, yang menunjukkan tidak ada seorang pun pemimpin UMNO, MCA, mahupun MIC yang berasa kesal terhadap kerosakan yang berpunca oleh skandal 1MDB — yang telah dilabelkan sebagai contoh terburuk kleptokrasi oleh Jabatan Kehakiman AS — dan gejala rasuah yang berleluasa dalam pemerintahan Najib, yang telah membantutkan pembangunan, kredibiliti, dan masa depan Malaysia.

Saya percaya rakyat Malaysia patut berterima kasih kepada BN untuk pelantikan ini, yang akan menjadi satu peringatan berkekalan untuk kita semua, bahawa BN dan parti-parti komponennya ini UMNO, MCA, dan MIC hanyalah parti 1MDB, yang kekal hanya untuk mempertahankan segala kerosakan, salahguna kuasa, dan pengelapan wang di bawah 1MDB.

Saya harap, Barisan Nasional tidak akan mengubah fikiran mengenai pelantikan Najib sebagai penasihat mereka supaya semua rakyat dapat memperingati keputusan terkebelakang ini.

Biarlah Barisan Nasional, UMNO, MCA, dan MIC menjadi jaguh terkuat kempen “Malu Apa Bossku?”.

AHLI PARLIMEN ISKANDAR PUTERI
Komentari media oleh Lim Kit Siang di Parlimen pada hari Khamis, 11 Julai 2019