Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohammad salah melabel Dong Zong sebagai “rasis”, tetapi Dong Zong juga tidak betul apabila mendakwa pembelajaran tulisan Jawi bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia Tahun Empat di sekolah rendah Cina/Tamil bermula tahun 2020 sebagai permulaan Islamisasi

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohammad salah melabel Dong Zong sebagai “rasis”, tetapi Dong Zong juga tidak betul apabila mendakwa pembelajaran tulisan Jawi bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia Tahun Empat di sekolah rendah Cina/Tamil bermula tahun 2020 sebagai permulaan Islamisasi.

Kedua-dua insiden ini mengambarkan betapa berat salah faham yang timbul berkenaan tulisan Jawi di sekolah rendah Cina dan Tamil.

Saya berada di Chennai, Salem, Bangalore dan New Dehli ketika kontroversi subjek tulisan Jawi meledak dan taklimat oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching dalam perjumpaan untuk ahli-ahli DAP Melaka semalam merupakan kali pertama saya mengetahui tentang punca sebenar kontroversi berkenaan.

Terdapat teori-teori konspirasi bahawa kontroversi tulisan Jawi ini didalangi oleh sama ada Menteri Pendidikan, Maszlee Malek atau Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad demi tujuan politik.

Pun begitu, hakikatnya, kontroversi subjek itu adalah warisan daripada kerajaan terdahulu kerana keputusan muktamad mengenai buku teks baru untuk sekolah rendah Cina dan Tamil untuk memperkenalkan subjek tulisan Jawi untuk murid-murid Tahun Empat pada tahun 2020 telah dibuat oleh Jawatankuasa Kurikulum Kementerian Pendidikan yang dipengerusikan oleh menteri pendidikan dan dua timbalan menteri pendidikan dalam satu mesyuarat pada 30 September 2015.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, hanya menyedari tentang perkara itu setelah kontroversi itu meledak bulan lalu.

Seperti yang saya katakan di Skudai minggu lalu, jika tidak berlaku pertukaran kerajaan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018, pelaksanaan keputusan Kementerian Pendidikan berhubung kokurikulum baharu pada September 2015 itu mungkin akan menghasilkan “Tiga Kehendak” dalam buku teks terbaharu untuk Tahun Empat sekolah rendah Cina dan Tamil – iaitu wajib, ada peperiksaan dan perlu untuk murid belajar Jawi.

Berikutan interversi DAP dalam Kabinet, “Tiga Kehendak” telah menjadi “Tiga Penafian” – Tidak wajib, tidak perlu peperiksaan dan tidak perlu mempelajari/menulis jawi tetapi hanya sekadar pengenalan.

Terdapat cadangan untuk subjek itu dibatalkan di sekolah rendah Cina dan Tamil, meskipun telah diajar selama bertahun-tahun dalam buku teks murid Tahun Lima sekolah rendah Cina dan Tamil.

Semasa saya berada di Salem, India pada minggu lalu, saya perhatikan kenyataan Kementerian Pendidikan bahawa ia masih “menerima pandangan pelbagai pihak untuk memastikan terdapat pertimbangan yang wajar” sebagai menunjukkan Kementerian Pendidikan masih terbuka untuk pandangan dan rundingan dari semua kumpulan dan pihak yang berkenaan dengan subjek tersebut.

Keterbukaan ini harus digunakan sepenuhnya untuk pertimbangan baharu tentang subjek tulisan Jawi di sekolah rendah Cina dan Tamil.

AHLI PARLIMEN ISKANDAR PUTERI
Kenyataan media oleh Lim Kit Siang di Kuala Lumpur pada Selasa, 13 Ogos 2019