Kerajaan perlu lebih peka dan serius dalam mengawal harga barang ketika perayaan dalam PKPB

Saya merujuk kepada pengumuman Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi bagi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) bagi perayaan Aidilfitri.

Bagi SHMMP Aidilfitri tahun ini, Kerajaan telah mengumumkan harga maksimum bagi 11 jenis barang antaranya ayam, telur ayam, daging serta kelapa. Senarai 11 barang ini jauh berkurangan dengan senarai barang bagi tahun 2019 iaitu 27 barang di bawah pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan.

Walaupun sambutan Aidilfitri tahun ini akan disambut secara sederhana dan terkawal disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) disebabkan wabak COVID-19, penggunaan barang bagi sambutan ini tetap tinggi sama ada untuk penggunaan isi rumah keluarga mahupun perniagaan sempena Aidilfitri. Ketika pendapatan rakyat yang berkurang dan rakyat mempunyai kurang wang untuk berbelanja, sepatutnya senarai barang kawalan ditambah dan bukannya dikurangkan.

SHMMP Aidilfitri 2020 juga akan dikuatkuasakan dengan tempoh yang lebih singkat iaitu 15 hari bermula 20 Mei hingga 3 Jun. Tempoh ini jauh lebih pendek daripada tempoh kuatkuasa SHMMP Aidilfitri 2019 selama 30 hari dan bermula 15 hari sebelum sambutan Aidilfitri.

Tempoh kuatkuasa yang lebih pendek terutamanya sebelum waktu sambutan akan menyebabkan kegagalan perlaksanaan kawalan harga. Lebih pendek tempoh diberikan kepada golongan peniaga untuk patuh kepada harga maksimum yang ditetapkan terutamanya apabila harga pasaran semasa yang lebih tinggi. Lebih pendek juga tempoh untuk pihak penguatkuasa untuk memastikan kepatuhan golongan peniaga terhadap harga kawalan. Akhirnya ia akan membawa kegagalan kepada SHMMP Aidilfitri kali ini dan membebankan rakyat sendiri.

Adalah diharapkan pihak Kerajaan lebih peka dan serius dalam usaha mengawal harga barang demi kepentingan rakyat. Ini bukan sahaja penting ketika waktu perayaan namun ketika negara masih di dalam PKPB. Jelas berdasarkan pemerhatian dan rungutan rakyat bahawa harga barangan naik melonjak tinggi kerana masalah bekalan barangan yang juga gagal diselesaikan oleh pihak kerajaan ketika krisis COVID-19.

Edry Faizal Eddy Yusof
ADUN DUSUN TUA
Kenyataan media oleh Edry Faizal Eddy Yuso di Hulu Langat pada hari Rabu, 20 Mei 2020