Perutusan Hari Raya Aidilfitri 2020 oleh Ketua Menteri Pulau Pinang

Salam Sejahtera.

Hari ini merupakan hari ke-29 umat Islam menunaikan ibadat puasa di bulan Ramadan, dan sebagaimana yang dijadualkan pada petang ini akan berlangsung acara melihat atau mencerap Anak Bulan Syawal bagi menentukan serta menetapkan tarikh Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.

Meskipun sambutan Aidilfitri kali ini begitu berbeza berbanding kebiasaannya berikutan pandemik COVID-19 yang melanda, saya berharap rakyat Pulau Pinang dapat terus mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini. Kejayaan Pulau Pinang mencatatkan kadar pematuhan PKPB sebanyak 98 peratus dan menjadi antara tiga (3) negeri terbaik dalam kadar pematuhan paling tinggi harus dikekalkan.

Kesabaran rakyat Pulau Pinang dalam mengekalkan momentum sejak hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac 2020 telah membantu Pulau Pinang dalam mengawal penularan wabak COVID-19 sehingga berjaya mencapai status negeri Hijau. Justeru, adalah diharapkan rakyat Pulau Pinang tidak lalai dan leka dengan pengiktirafan ini sebaliknya terus berusaha mengekalkannya.

Acara berbentuk tradisi seperti solat sunat Aidilfitri, aktiviti ziarah-menziarahi sanak-saudara serta taulan dan rumah terbuka masih tidak boleh dilaksanakan sebagai usaha kita untuk memutuskan rantaian wabak COVID-19. Solat sunat Aidilfitri di masjid dan surau juga masih tidak dibenarkan, tetapi umat Islam di negeri ini masih boleh menunaikan solat sunat Aidilfitri di rumah masing-masing tanpa atau dengan khutbah mengikut kemampuan serta kesesuaian, bersama-sama dengan ahli keluarga terdekat sahaja. Ia adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang yang ditetapkan demi keselamatan awam.

Dan sebagaimana yang diumumkan oleh Kerajaan Negeri sebelum ini, had jumlah tetamu yang ditetapkan bagi kediaman jenis flat atau rumah pangsa adalah tidak melebihi tujuh (7) orang tetamu pada satu-satu masa. Walaupun mempunyai kelonggaran sedemikian, kita masih mempunyai pilihan untuk menjaga keselamatan ahli keluarga terutama golongan yang berisiko tinggi seperti warga emas, wanita mengandung, bayi dan kanak-kanak. Setiap daripada kita bertanggungjawab sama ada untuk menerima tetamu atau hanya beraya bersama-sama ahli keluarga yang ada di dalam rumah sendiri.

Sepanjang tempoh PKP dan PKPB ini, Kerajaan Negeri tidak pernah leka sebaliknya komited dengan mendahulukan kepentingan serta keperluan rakyat negeri ini dalam semua inisiatif yang diambil. Menerusi pendekatan seimbang antara kesihatan dan ekonomi, Pulau Pinang yang diiktiraf sebagai antara negeri terbaik dalam menghadapi penularan wabak ini telah mempraktikkan ‘Strategi Pemulihan Secara Berperingkat’ bukan hanya dalam pengoperasian semula perniagaan, malah juga kebenaran untuk makan di dalam premis-premis. Sebagai tambahan, sehingga kini, Kerajaan Negeri telah mengumumkan dua Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang bagi merangsang semula ekonomi negeri yang keseluruhannya berjumlah RM151 juta. Pakej ini adalah disediakan khas kepada golongan-golongan terkesan khususnya sektor perkhidmatan dalam industri pelancongan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mana kedua-dua ini merupakan tulang belakang utama kepada ekonomi negeri Pulau Pinang.

Kita kini berada dalam normal baharu yang mana dalam kita bergembira meraikan Syawal, Kerajaan Negeri ingin mengingatkan rakyat Pulau Pinang agar terus mematuhi tatacara operasi standard (SOP) serta amalkan amalan 4P iaitu, Penjarakan sosial; Pakai pelitup muka; Pencucian tangan dengan sabun/pensanitasi tangan dan Perhatikan gelaja COVID-19. Serentak itu, Kerajaan Negeri juga ingin menyeru agar rakyat Pulau Pinang supaya mematuhi arahan untuk terus kekal di rumah dan tidak merentasi negeri bagi tujuan beraya atau balik kampung.

Setiap daripada kita memainkan peranan penting dalam mengawal penularan wabak COVID-19. Oleh itu, teruskan disiplin dan rasa tanggungjawab ini demi keselamatan serta kesejahteraan bersama. Jangan disebabkan kelalaian serta keangkuhan menyebabkan ada dalam kalangan ahli keluarga kita dijangkiti COVID-19.

Bagi anggota keselamatan serta barisan hadapan yang perlu bertugas semasa musim perayaan ini, doa kami senantiasa bersama anda semua. Anggaplah pengorbanan ini sebagai suatu amalan yang akan dibalas dengan ganjaran setimpal nanti.

Selamat Hari Raya Aidilfitri.

Maaf Zahir dan Batin.

Chow Kon Yeow
Ketua Menteri Pulau Pinang
Perutusan Hari Raya Aidilfitri 2020 oleh Chow Kon Yeow di Komtar, George Town pada hari Jumaat, 22 Mei 2020