Perutusan Khas Hari Malaysia ke-57 oleh Ketua Menteri Pulau Pinang di Komtar, Georgetown pada hari Rabu, 16 September 2020

Salam Sejahtera dan Salam Hari Malaysia,

Hari ini rakyat Malaysia meraikan ulang tahun pembentukan Persekutuan Malaysia yang ke-57. Kesinambungan daripada sambutan Hari Kebangsaan yang diraikan pada tanggal 31 Ogos, catatan sejarah Hari Malaysia juga mempunyai keistimewaan dan signifikasinya yang tersendiri. Penyatuan Semenanjung bersama-sama negeri Sabah dan Sarawak yang dimeterai pada tahun 1963 bukan hanya sekadar fakta sejarah, tetapi sebaliknya penyatuan ini adalah lambang kesepakatan dan perpaduan rakyat berbilang kaum ke arah Malaysia yang berdaulat, merdeka, demokrasi, aman dan berprinsip.

Dalam masyarakat majmuk yang diwarnai dengan kepelbagaian budaya dan adat resam, titik perselisihan dan perbezaan bukanlah suatu kecacatan tetapi adalah titik rujukan kepada tonggak dan tunjang utama keharmonian serta kesejahteraan rakyat di negara dan negeri ini. Setiap daripada kita bertanggungjawab untuk menolak segala anasir yang boleh memecahbelahkan keharmonian kita dengan menerapkan nilai-nilai ideologi Rukun Negara sebagai kunci kesejahteraan serta kemakmuran.

Kedatangan tahun 2020 memberi harapan yang cukup besar kepada kita semua. Di sebalik pelbagai pengharapan dan perancangan, hakikatnya pandemik COVID-19 telah mengubah hampir keseluruhan pelan negeri dan negara. Strategik serta tata kelola dirombak dan disusun agar disesuaikan dengan keadaan serta situasi semasa bagi memastikan amanah dan mandat lima (5) tahun yang diberikan oleh rakyat tertunai dengan penuh dedikasi.

Di samping itu, dalam berdepan fasa pemulihan sosio-ekonomi kesan daripada wabak COVID-19, Kerajaan Negeri mengambil peluang meningkatkan prestasi pentadbiran agar transaksi serta sistem penyampaian perkhidmatan menjadi lebih efektif dan berkesan. Dengan penjenamaan dan penyusunan semula portfolio Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) di pertengahan penggal lima (5) tahun, transformasi ini adalah sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri untuk meningkatkan tahap sinergi dengan memanfaatkan sepenuhnya pengalaman bagi menempuhi cabaran dan situasi pasca COVID-19.

Pendek kata, dalam tempoh sukar ini, Kerajaan Negeri telah banyak belajar mengenai kekuatan dan kelemahan yang dimiliki. Sebelum wabak COVID-19 melanda, Kerajaan Negeri sememangnya maklum mengenai kepentingan memanfaatkan Revolusi Industri 4.0. Dalam Visi Penang2030 yang dilancarkan pada bulan Ogos 2018, Kerajaan Negeri telah mensasarkan perkembangan Revolusi Industri 4.0 dalam sedekad yang akan datang. Contohnya, Kerajaan Negeri telah mewujudkan Digital Penang pada awal tahun 2020 untuk menyelaraskan dan mempercepat proses digitalisasi dalam pentadbiran, ekonomi dan masyarakat. Ini berkait rapat dengan Inisiatif Strategik C4 bagi Visi Penang2030 iaitu mempercepat penyampaian program dan pembaharuan institusi.

Tindakan terbabit menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri memahami keperluan bagi meningkatkan kemampuan negeri untuk bertindak dalam situasi pasca COVID-19 khususnya dalam sektor ekonomi dan Revolusi Industri 4.0 membabitkan beberapa langkah serta konteks jangka masa panjang yang lebih menyeluruh iaitu perbincangan dasar harus lebih teliti, luas dan lebih berpandukan kepada pakar; pembuatan dasar adalah perlu lebih berasaskan bukti dan lebih berpengetahuan secara akademik; kerjasama antara jabatan dan agensi Kerajaan perlu lebih dinamik serta sistematik dan pelaksanaan dasar perlu sentiasa dipantau.

Tuntasnya, Kerajaan Negeri akan berusaha untuk meningkatkan tahap sinergi dalam semua proses ini agar ia dapat memanfaatkan sepenuhnya pengalaman daripada krisis COVID-19 bagi menempuhi cabaran masa hadapan dengan berkesan dan agar tiada pihak yang akan dipinggirkan. Pakej Bantuan Rakyat dengan keseluruhan kos sebanyak RM151 juta sebagai rangsangan kepada golongan terkesan adalah antara tindakan awal yang dilaksanakan bagi meningkatkan produktiviti dan kelangsungan ekonomi negeri.

Sebagai tambahan, Pelan Induk Pelancongan Pulau Pinang (PTMP) yang dibentangkan pada 12 September lalu meletakkan tunjang serta panduan dengan memberi tumpuan kepada usaha-usaha agresif membawa seramai mungkin pelancong domestik ke Pulau Pinang. Pelan baharu tersebut akan mempercepatkan lagi proses pemulihan sektor-sektor berkaitan industri pelancongan negeri yang terjejas serta tertangguh ekoran pandemik COVID-19. Malah, penyusunan semula strategi bagi melonjak serta meremajakan kembali sektor pelancongan, tenaga baru, pemikiran baru serta optimisme telah disuntik ke dalam sektor ini dengan meletakkan warisan, seni dan budaya di bawah portfolio baharu dikenali sebagai ‘Ekonomi Kreatif’.

Melihat kepada pencapaian Negeri Pulau Pinang dalam berhadapan dengan pasca COVID-19, saya menzahirkan keyakinan terhadap percambahan positif Negeri Pulau Pinang walaupun berdepan dengan tempoh mencabar yang memberi kesan kepada banyak pihak kini. Kerajaan Negeri amat yakin masa depan Pulau Pinang adalah amat cerah yang mana komitmen barisan kepimpinan sentiasa ke arah usaha membawa transformasi yang mampu membawa kebaikan kepada negeri ini, dan adalah diharapkan perubahan ini dapat disambut baik oleh rakyat demi kecemerlangan generasi Negeri pada masa hadapan.

Selamat Menyambut Hari Malaysia!

Chow Kon Yeow
Ketua Menteri Pulau Pinang
Perutusan Khas Hari Malaysia ke-57 oleh Chow Kon Yeow di Komtar, Georgetown pada hari Rabu, 16 September 2020