Muhyiddin sepatutnya mendapatkan konsensus Parlimen untuk minda undang-undang yang berkenaan untuk menangguh pelaksanaan PRK Batu Sapi kerana Covid-19 dan bukannya memohon Yang di Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat di Batu Sapi untuk menangguhkan PRK ini

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sepatutnya perlu cuba mendapatkan konsensus Parlimen untuk meminda undang-undang yang berkaitan untuk menangguhkan pelaksanaan Pilihan Raya Kecil Batu Sapi memandangkan situasi semasa wabak Covid-19 yang agak buruk, dan bukannya dengan memohon Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat di Batu Sapi.

Suruhanjaya Pilihan Raya telah mengumumkan hari penamaan calon dan hari pengundian untuk PRK Batu Sapi ini pada 14 Oktober yang lalu, perkara ini bermakna, kerajaan Muhyiddin mempunyai 41 hari untuk meminta Parlimen meminda Perlembagaan dan mana-mana undang-undang Pilihan Raya yang berkaitan untuk menangguhkan pelaksanaan PRK Batu Sapi ini sebelum Hari Penamaan Calon pada 23 November.

Mengapakah Kabinet Muhyiddin berlengah-lengah dengan perkara ini sehingga mesyuarat Kabinet pada hari Rabu lepas, lima hari sebelum hari penamaan calon yang dijadualkan untuk berlangsung pada 23 November?

Malah pada 18 November, semasa perkara ini dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet, masih terdapat masa untuk menjadualkan perkara perundangan mustahak untuk meminda Perlembagaan dan undang-undang berkenaan untuk menangguhkan PRK Batu Sapi ini.

Dewan Negara juga boleh dipanggil bersidang dengan persidangan tergempar untuk meluluskan pindaan-pindaan ini selepas ia diluluskan oleh Dewan Rakyat.

Mengapakah semua pilihan ini tidak dicuba terlebih dahulu?

Adakah Perdana Menteri bersedia untuk muncul di Dewan Rakyat dan menjelaskan sebarang rasional di sebalik tindakan memintas Parlimen dalam menangguhkan PRK Batu Sapi ini?

Kelihatan seakan-akan mesej yang cuba disampaikan oleh Kabinet Muhyiddin adalah untuk cuba menasihatkan Yang di Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat dahulu untuk menangani isu-isu semasa, dan bukannya dengan menggunakan kaedah-kaedah berunding dengan Parlimen untuk meminda apa-apa undang-undang yang berkenaan untuk menangguhkan pelaksanaan PRK Batu Sapi kerana wabak Covid-19.

Perkara ini merupakan satu langkah ke belakang buat demokrasi di Malaysia, memandangkan dengan situasi terkini wabak Covid-19, terutamanya gelombang ketiga yang disebabkan oleh pelaksanaan Pilihan Raya Negeri Sabah, saya yakin sebarang undang-undang yang perlu diluluskan, sama ada pindaan Perlembagaan atau pun undang-undang berkaitan dengan pilihan raya, untuk menangguhkan PRK Batu Sapi ini, tidak akan mendapat banyak tentangan di Parlimen.

Malah, DAP sendiri telah mencadangkan supaya semua parti politik mencapai satu konsensus untuk membiarkan Warisan menang tanpa bertanding dalam PRK Batu Sapi, untuk mengisi kekosongan yang berlaku selepas pemergian mendiang Liew Vui Keong, tetapi satu-satu parti politik yang tidak menyatakan kedudukannya mengenai perkara ini adalah Parti Bersatu Perdana Menteri sendiri.

Mesej kerajaan Muhyiddin amatlah jelas: Pilihan pertamanya adalah untuk perisytiharan darurat oleh Yang di Pertuan Agong dan bukannya dengan mencari penyelesaian melalui Parlimen!

Adakah ini sikap kerajaan terhadap Belanjawan 2021 juga?

Ahli-ahli Parlimen mempunyai dua pilihan apabila Belanjawan 2021 ini perlu diundi untuk bacaan kali kedua pada hari Khamis 26 November 2020 ini:

Pertama, untuk memaksa berlakunya pertarungan pada hari Khamis ini, sama ada untuk menerima atau pun menolak Belanjawan 2021 ini; atau kedua, untuk mencuba semua pilihan yang ada melalui proses parlimen, dengan mencadangkan pindaan dalam peringkat jawatankuasa perbahasan Belanjawan 2021 terhadap peruntukan-peruntukan yang tidak boleh diterima, seperti RM85.5 juta untuk menghidupkan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) sebagai badan pelaksana propaganda negatif kerajaan, yang kemudiannya akan disusuli dengan undian untuk bacaan kali ketiga Belanjawan 2021 pada 15 Disember 2020.

Apakah yang akan berlaku pada hari Khamis hadapan?

AHLI PARLIMEN ISKANDAR PUTERI
Kenyataan media oleh Lim Kit Siang di Gelang Patah pada hari Sabtu, 21 November 2020