Segera bentang perancangan rentas sempadan Singapura-Johor berjangka

Saya menggesa Kerajaan Persekutuan untuk segera membentangkan Perancangan Rentas Sempadan Singapura-Johor Berjangka merangkumi jangka pendek, sederhana dan panjang bagi mempermudah proses pergerakan rentas sempadan dalam tempoh penularan Covid-19.

Saya percaya di peringkat Kementerian Luar Negeri telah membincangkan perkara tersebut namun sekiranyanya masih belum, saya mendesak agar Kerajaan kedua-dua negara untuk segera membentuk jawatankuasa teknikal demi kebaikan secara menyeluruh terutama warganegara Malaysia yang bekerja dan terkandas di sana.

Gesaan ini dibuat susulan langkah Kerajaan Singapura meningkatkan kawalan sempadan membabitkan pergerakan warganegara Malaysia. Langkah tersebut juga memerlukan warganegara Malaysia menjalani kuarantin selama 14 hari di pusat kuarantin termasuk melalui inisiatif Pengaturan Ulang Alik Berkala (PCA) dan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) ke republik berkenaan.

Saya amat memahami malah menghormati langkah Kerajaan Singapura meningkatkan kawalan sempadan demi menjaga kepentingan awam. Namun langkah tersebut kini sedang membebankan warganegara kita yang bekerja di republik tersebut terutama dari segi kewangan dan kesihatan mental mereka.

Saya mengambil maklum kenyataan Menteri Kanan Kluster Keselamatan semalam bahawa Kementerian Luar Negeri sedang merundingkan cadangan prosedur operasi standard (SOP) bagi membuka pintu sempadan. Walau bagaimanapun, langkah susulan Kerajaan terlalu perlahan dan lewat bagi melindungi warganegara kita yang bekerja dan terkandas di sana. Malah, terdapat kumpulan warganegara Malaysia berstatus penduduk tetap Singapura tidak mendapat
manfaat inisiatif PCA tersebut.

Lantaran itu, cadangan dan saranan saya kepada jawatankuasa teknikal bagi membantu dan mengurangkan beban warganegara Malaysia yang terkandas di republik tersebut:

LANGKAH JANGKA PENDEK:

  1. Memendekkan tempoh kuarantin selama tujuh (7) hari bagi individu dari negara berisiko rendah seperti Singapura dan Brunei.
  2. Membenarkan warganegara Malaysia berstatus penduduk tetap Singapura untuk menerima manfaat inisiatif PCA.
  3. Tempoh kuarantin bersasar berdasarkan lokaliti warganegara Malaysia yang merentas masuk ke Singapura berbanding mewajibkan seluruh warganegara Malaysia menjalani kuarantin selama tempoh 14 hari.

LANGKAH JANGKA SEDERHANA:

  1. Memudahkan pergerakan pasangan Malaysia-Singapura (berkeluarga/berkahwin) merentas sempadan setelah melalui proses ujian calitan wabak (swab test).
  2. Membenarkan pergerakan pendidikan rentas sempadan membabitkan pelajar, guru, ibu bapa dan penjaga setelah melalui proses ujian calitan wabak (swab test).
  3. Meminda syarat PCA dengan mengurangkan tempoh bekerja warganegara Malaysia di Singapura dari 90 hari kepada 30 hari sahaja.

LANGKAH JANGKA PANJANG – setelah penularan wabak terkawal di kedua-dua negara:

  1. Membenarkan pergerakan ulang-alik warganegara Malaysia yang bekerja di Singapura dengan penetapan syarat ujian calitan wabak (swab test) setiap 14 hari dengan tanggungan sendiri.

Langkah ini secara tidak langsung mampu memulihkan ekonomi negeri Johor khususnya Johor Bahru secara skala besar dan mengurangkan beban penginapan bagi mereka yang bekerja di Singapura.

Hampir sejuta warganegara kita yang bekerja di Singapura memerlukan Kerajaan berfungsi bagi membantu mereka menghadapi kesulitan di kala wabak Covid-19 ini. Lantas, gesaan dan saran yang dikemukakan tersebut perlu dipertimbangkan oleh Kerajaan bagi membantu mereka sekali gus mampu menyuntik kitaran ekonomi dan mengawal penularan wabak.

Tan Hong Pin
Setiausaha DAP Johor & ADUN Skudai
Kenyataan media oleh Tan Hong Pin di Johor Bahru pada hari Selasa, 24 November 2020