Maksimum 3 bulan untuk membaiki kerosakan kabel di Jambatan Pulau Pinang

Pagi ini pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah mengunjungi Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang bagi memberi penjelasan mengenai insiden kebakaran kabel elektrik di bawah kilometer 3.2 Jambatan Pulau Pinang yang telah berlaku kira-kira jam 4.23 petang semalam.

Kebakaran tersebut telah menjejaskan ketiga-tiga litar di bawah jambatan lantas mengakibatkan gangguan bekalan elektrik selama 35 saat di beberapa kawasan, namun bekalan pulih dan stabil kembali kerana terdapat punca-punca bekalan lain.

Secara umumnya, permintaan bekalan elektrik di bahagian Pulau adalah maksimum 700MW, dan buat masa ini terdapat 4 litar lain melalui kabel submarin dengan kapasiti bekalan sebanyak 1180MW manakala Stesen Janakuasa Gelugor mampu membekal sebanyak 310MW. Ini bermaksud masih terdapat kapasiti bekalan lebih kurang 1,490MW di bahagian Pulau iaitu jauh mencukupi untuk memenuhi permintaan.

Kerajaan Negeri mengambil maklum bahawa punca kebakaran masih di bawah siasatan oleh pihak TNB dan garis masa pembaikan hanya akan diketahui secara muktamad selepas penilaian dibuat secara terperinci hari ini.

Walaupun masa pembaikan akan bergantung kepada tahap kerosakan serta rundingan bersama pihak PLUS berkenaan keperluan penutupan jalan bagi membenarkan kerja pembaikan, pihak TNB yakin ianya tidak akan melebihi tiga (3) bukan.

Kerajaan Negeri mengambil maklum dan terus menyokong usaha TNB untuk memastikan kestabilan bekalan elektrik kepada rakyat Pulau Pinang.

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan Negeri Pulau Pinang
Kenyataan media oleh Zairil Khir Johari di George Town pada hari Selasa, 23 Februari 2021