Kerajaan PN turut bersalah atas desakan PAS terhadap pilihan raya berdasarkan apartheid kaum dan agama serta Harakah mencetak artikel hasutan yang mencerca orang bukan Melayu atau bukan Islam, terutama orang Kristian, dalam membantu orang Melayu atau orang Islam

Kerajaan PN termasuk MCA, GPS dan MIC, turut bersalah atas desakan PAS terhadap pilihan raya berdasarkan apartheid kaum dan agama, yang bukan hanya mengurangkan tetapi menafikan nilai hak suara orang bukan Islam dan bukan Melayu, seperti yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan. Akhbar Pas Harakah Daily pula, mencetak artikel hasutan dan fitnah yang mencerca orang bukan Melayu atau bukan Islam, terutama mereka yang beragama Kristian, dalam membantu orang Melayu atau orang Islam.

Pensyarah kanan Universiti Utara Malaysia Kamarul Zaman Yusoff memalukan kedudukan akademiknya dengan menulis di Harakah mempersoalkan motif Ahli Parlimen DAP Bukit Mertajam Steven Sim membantu seorang Melayu Islam di kawasan Steven sendiri. Kamarul dengan jahat melabelkan Sim sebagai mubaligh Kristian Cina, walaupun Steven tidak pernah menyampaikan khutbah di mana-mana gereja.

Kamarul malah membandingkan pemberian sebuah motosikal oleh Sim dengan bantuan motosikal yang diberikan oleh seorang Timbalan Menteri Melayu kepada seorang Melayu Islam, walaupun pengguna media sosial sudah menyatakan bahawa Steven Sim bukan lagi seorang Timbalan Menteri dan tidak mempunyai akses kepada dana kerajaan. Mengapakah PAS memberi ruang kepada mereka yang nampaknya membenci dan mencerca orang bukan Melayu atau bukan Islam membantu orang Melayu atau orang Islam dengan melabelkan mereka sebagai mubaligh Kristian Cina?

PAS membawa ekstremisme agama dan perkauman di Malaysia ke tahap yang baru dan berbahaya dengan secara terbuka dan tanpa malu-malu mendiskriminasi, meminggirkan dan mengenepikan orang bukan Islam dan bukan Melayu. Menteri Industri Perladangan dan Komoditi PAS, Khairuddin Aman Razali, tanpa rasa malu mengulangi objektif PN untuk memenangi majoriti dua pertiga pada pilihan raya akan datang, supaya dapat merangka semula sempadan kawasan pilihan raya dengan cara yang akan menguntungkan orang Melayu dan Islam.

Pengakuan jelas terhadap gerrymander kawasan pilihan raya ini nyata tidak berperlembagaan dengan mengorbankan rakyat Malaysia yang menegakkan demokrasi berparlimen, terutamanya orang bukan Melayu dan bukan Islam. PAS dengan jelas mahukan identiti Malaysia yang berbeza, variasi mutan yang tidak mempunyai tempat untuk Malaysia yang pelbagai, inklusif dan berbilang kaum atau berbilang agama.

Tidak ada yang dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa persempadanan semula kawasan pilihan raya boleh dilakukan berdasarkan kaum dan agama. Gerrymander mengikut kaum dan agama seperti ini bertentangan dengan asas prinsip demokrasi bagi perwakilan dan nilai saksama “satu orang, satu undi”.

Khairuddin menjelaskan penyusunan semula sempadan pilihan raya dengan mengikut bias kaum dan agama adalah untuk mengembalikan hak rakyat yang telah terlalu lama ditindas, terutama negeri-negeri di Pantai Timur, Kedah dan Pahang. Sekiranya Khairuddin betul bahawa orang-orang di negeri-negeri ini telah ditindas, dia harus ingat bahawa bukan orang bukan Melayu atau bukan Islam yang telah melakukan penindasan, tetapi pemimpin Melayu dan Islam yang dia sedang bekerjasama dalam Kerajaan PN sekarang. Daripada menghukum penindas, mengapa “menindas” orang bukan Islam dan bukan Melayu dengan menafikan hak perlembagaan mereka?

Jadual 13 Perlembagaan Malaysia secara khusus melarang pembahagian tidak sekata dan gerimander sempadan pilihan raya. Sudah ada pembahagian tidak sekata dan gerimander yang teruk di mana pengundi di kawasan luar bandar mempunyai pemberat pengundi yang lebih besar sehingga 7 kali lebih tinggi berbanding dengan kawasan bandar.

Sekarang PAS ingin melakukan penyelewengan tambahan terhadap nilai satu orang satu undi dan prinsip perwakilan yang saksama dalam demokrasi, dengan memasukkan campuran racun kaum dan agama. Masalahnya ialah orang bukan Islam dan bukan Melayu dalam Kabinet akan terus diam dan tunduk, mengkhianati komuniti mereka sendiri dan Perlembagaan Persekutuan demi kekal memegang kuasa.

SETIAUSAHA AGUNG DAP & AHLI PARLIMEN BAGAN
Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di Kuala Lumpur pada hari Rabu, 21 April 2021