Bank Negara perlu diarahkan untuk membuka siasatan penuh terhadap “Pandora Papers” yang membangkitkan persoalan aliran wang haram keluar dari Malaysia dengan anggaran kerugian hingga USD33.7 bilion

Kementerian Kewangan perlu mengarahkan Bank Negara untuk membuka siasatan penuh terhadap Pandora Papers yang membangkitkan persoalan berkenaan aliran wang haram keluar daripada Malaysia yang dianggarkan berjumlah USD33.7 bilion. Pandora Papers membongkar rahsia pesisir luar negara yang melibatkan golongan elit kaya daripada lebih 200 negara dan wilayah menggunakan lokasi rahsia dan bebas cukai untuk membeli hartanah dan menyembunyikan aset yang membolehkan mereka mengelakkan cukai dan menutup wang yang diperoleh secara haram.

Terdapat lebih daripada 330 ahli politik yang didedahkan oleh Pandora Papers daripada 90 negara, yang malangnya termasuklah beberapa rakyat Malaysia yang terkenal. Pandora Papers adalah sebahagian daripada skandal aliran wang haram (IFF) yang didefinisikan oleh Global Integrity Report (GFI) sebagai dana yang diperoleh, dipindahkan, dan / atau digunakan secara haram merentas sempadan antarabangsa. Dana itu datangnya daripada sumber kegiatan jenayah dan rasuah.

Pengubahan wang haram masih menjadi masalah serius dan GFI menganggarkan bahawa nilai tahunan IFF berkaitan perdagangan di dalam dan di luar negara membangun berjumlah, secara purata, sekitar 20% daripada nilai keseluruhan perdagangan negara tersebut dengan ekonomi maju. Menurut laporan 10 tahun terbaru oleh GFI yang bertajuk Aliran Wang Haram ke dan daripada 148 Negara Membangun: 2006-2015, Malaysia kerugian antara USD22.9 bilion (RM94.22 bilion) dan USD 33.7 bilion (RM138.66 bilion) dalam aliran keluar wang haram dari tahun 2006 hingga 2015.

Sebelum ini kita mempunyai Panama Papers yang mendedahkan bahawa lebih daripada 2,000 warganegara dan syarikat Malaysia mempunyai akaun rahsia di Panama, yang mungkin digunakan untuk menyembunyikan keuntungan mereka daripada sumber yang tidak sah. Tidak seperti negara-negara lain, tidak ada sesiapa yang didakwa untuk pengubahan wang haram dan IFF mungkin disebabkan kerana mereka adalah sebahagian daripada kerajaan memerintah.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sangat mengecewakan apabila terdapat pegawai mereka di peringkat tertinggi terlibat dan dituduh mencuri dana tanpa sebarang akauntabiliti terhadap kesalahan salah laku mereka. Bank Negara perlu menyiasat sepenuhnya untuk menunjukkan bahawa Kerajaan Malaysia bukan sahaja tidak mempunyai apa-apa yang perlu disembunyikan tetapi tiada percubaan menutup Pandora Papers yang melibatkan rakyat Malaysia dan aliran wang haram.

Malang sekali Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun terus menolak usaha Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim untuk membahaskan isu penting ini di Parlimen. Bagi membuktikan bahawa tidak ada yang perlu disembunyikan, siasatan yang dijalankan perlu menghukum mereka yang terlibat dalam IFF dan juga mengesyorkan langkah-langkah ketat untuk mencegah aliran wang haram keluar daripada Malaysia dan bagaimana meningkatkan ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik.

SETIAUSAHA AGUNG DAP & AHLI PARLIMEN BAGAN
Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di Kuala Lumpur pada hari Rabu, 13 Oktober 2021