Aturan Urusan pertama Dewan Rakyat apabila bersidang semula pada 25 Oktober perlulah untuk meminda Peraturan Mesyuarat bagi membolehkan Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains, dan Inovasi untuk mengadakan pendengaran terbuka secara mingguan mengenai respons kerajaan terhadap wabak Covid-19

Aturan Urusan pertama Dewan Rakyat apabila bersidang semula pada 25 Oktober untuk sidang Belanjawan 2022 perlulah untuk meminda Peraturan Mesyuarat bagi membolehkan Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains, dan Inovasi untuk mengadakan pendengaran terbuka secara mingguan mengenai respons kerajaan terhadap wabak Covid-19.

Parlimen Australia mempunyai sebuah jawatankuasa pilihan khas Covid-19 sejak daripada bulan April 2020 lagi, yang telah mengadakan lebih daripada lima puluh pendengaran awam dalam tempoh 18 bulan yang lepas mengenai respons kerajaan Australia terhadap wabak Covid-19, inilah amalan terbaik yang patut dicontohi oleh Parlimen Malaysia.

Mungkin, sekiranya amalan terbaik seperti ini dilaksanakan untuk memastikan terdapatnya semak imbang terhadap tindakan pihak Eksekutif sebelum ini, Malaysia tidak akan berhadapan dengan 10 bulan yang mengerikan sejak daripada proklamasi darurat pada 11 Januari 2021 untuk melawan wabak Covid-19.

Pengisytiharan darurat dan penggantungan sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri sejak 11 Januari ini adalah satu keputusan yang amat merosakkan untuk negara kita, sehinggakan kita masih belum berjaya untuk kembali ke situasi seperti sebelum darurat selepas hampir dua bulan bertukar Perdana Menteri.

Kita mencatatkan sejumlah 138,224 kes dan 555 kematian akibat Covid-19 pada 11 Januari 2021, yang kini telah meningkat kepada 2,361,529 kes dan 27,593 kematian semalam.

Pada 11 Januari 2021, kita mencatatkan 2,232 kes baharu dan empat kematian baharu. Semalam kita mencatatkan 7,950 kes dan 68 kematian akibat Covid-19.

Adakah kita akan dapat kembali ke situasi seperti sebelum darurat dari segi kes harian dan kematian pada hari ke-100 Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri ke-9 pada 28 November 2021?

Kita juga perlu adakan pendengaran untuk mengenal pasti mengapa Malaysia menjadi negara dengan prestasi terburuk dalam mengendalikan wabak Covid-19 di kawasan serantau ASEAN.

Semalam adalah satu lagi hari di mana kita terus kalah dengan Indonesia dari segi kes baharu dan kematian baharu, di mana Indonesia hanya mencatatkan 1,233 kes baharu dan 48 kematian akibat Covid-19 berbanding dengan 7,950 kes dan 68 kematian di Malaysia.

AHLI PARLIMEN ISKANDAR PUTERI
Kenyataan media oleh Lim Kit Siang di Gelang Patah pada hari Khamis, 14 Oktober 2021