Laporan PAC Parlimen berhubung Amanah Raya Berhad di bawah Kementerian Kewangan (MOF) dan Amanah Raya Berhad (ARB)

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) hari ini, membentangkan Laporan PAC berhubung Amanah Raya Berhad di bawah Kementerian Kewangan dan Amanah Raya Berhad.

Isu ini dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2019 Siri 1 yang dibentangkan di Parlimen pada 24 Ogos 2020.

PAC Parlimen mengadakan Prosiding berhubung isu ini pada 3 Ogos 2021 dengan memanggil pihak berkepentingan dalam isu ini iaitu:

  1. Jabatan Audit Negara: YBhg Datuk Nik Azman bin Nik Abdul Majid, Ketua Audit Negara;
  2. Kementerian Kewangan: YBhg. Dato’ Asri bin Hamidon, Ketua Setiausaha Perbendaharaan: dan
  3. Amanah Raya Berhad: YBrs Encik Azmeen bin Adnan Pengarah Urusan ARB.

Berdasarkan prosiding berkenaan PAC Parlimen membuat rumusan bahawa:

  1. Terdapat polisi-polisi yang tersenarai dalam MKD Handbook tidak diamalkan oleh ARB. Sebanyak tujuh (7) pindaan polisi telah dicadangkan oleh Jawatankuasa Arahan Syarikat ARB, namun sehingga sekarang hanya dua (2) pindaan polisi telah diluluskan oleh Lembaga Pengarah. Kemajuan untuk lima (5) pindaan polisi yang lain adalah amat lambat dan tidak memuaskan;
  2. ARB tidak mempunyai suatu polisi pelaburan yang lengkap dan Lembaga Pengarah tidak mempunyai kawalan terhadap pelaburan yang bakal dibuat. Berlaku juga pelaburan yang dilaksanakan tanpa melalui kelulusan Jawatankuasa Pelaburan. Ketiadaan penanda aras dalam pelaburan menyumbang kepada kelemahan ARB dalam menilai setiap satu pelaburan sehingga menyebabkan kerugian;
  3. Prestasi pelaburan dana KWB oleh ARB adalah tidak memberangsangkan dan telah menyumbang kepada kerugian terkumpul KWB tahun 2019 sebanyak RM1.023 bilion. Antaranya, ARB mengalami kerugian sebanyak RM114.34 juta dalam pelaburan projek pembangunan 56 unit Keppel Bay Properties di Singapura di mana Gross Development Value (GDV) projek tidak mencukupi untuk menampung kos pelaburan. Tidak ada dokumen yang membuktikan due diligence atau feasibility study dilaksanakan sebelum pelaburan dibuat. ARB didapati telah cuai dalam proses membuat keputusan pelaburan dengan menganggarkan GDV terlalu tinggi berbanding harga pasaran;
  4. Agihan pendapatan kepada pemegang dana tidak mengambil kira kemampuan KWB dan tidak selaras dengan Seksyen 27 Akta 532. Keputusan agihan pendapatan hanya dibuat oleh Pengarah Urusan Kumpulan (GMD) ARB tanpa merujuk kepada Lembaga Pengarah;

Sehubungan itu, sebagai langkah penambahbaikan terhadap Amanah Raya Berhad, PAC Parlimen mengesyorkan kepada Kerajaan supaya:

  1. Polisi-polisi yang tersenarai dalam MKD Handbook wajib dipatuhi oleh ARB. Kesemua pindaan polisi yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Arahan Syarikat ARB hendaklah diputuskan oleh Lembaga Pengarah dengan segera;
  2. ARB perlu mempunyai suatu polisi pelaburan yang lengkap demi memaksimumkan impak pelaburan selaras dengan objektif penubuhannya. Jawatankuasa Pelaburan perlu dibantu oleh barisan pakar pelaburan dan hendaklah bertanggungjawab sepenuhnya kepada Lembaga Pengarah selari dengan kepentingan organisasi;
  3. ARB hendaklah melaksanakan audit ke atas kerugian terkumpul KWB khususnya dalam pelaburan projek pembangunan 56 unit Keppel Bay Properties di Singapura; dan
  4. Agihan pendapatan kepada pemegang dana hendaklah mematuhi Seksyen 27 Akta 532 dan diputuskan oleh Lembaga Pengarah.

Orang ramai yang berminat untuk membaca dan meneliti Laporan PAC Parlimen berhubung Amanah Raya Berhad di bawah Kementerian Kewangan dan ARB (download) laporan berkenaan di laman web PAC di alamat www.parlimen.gov.my/pac

Wong Kah Woh
Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Parlimen & Ahli Parlimen Ipoh Timor
Kenyataan media oleh Wong Kah Woh di Parlimen pada hari Selasa, 12 Oktober 2021