DAP meminta SPRM untuk menjelaskan mengapa wakil rakyat pembangkang seperti Ahli Parlimen Warisan untuk Labuan Rozman Isli didakwa tetapi bukan wakil rakyat pro-kerajaan yang telah menukar sokongan mereka daripada pembangkang dengan melompat menyokong kerajaan atau Perdana Menteri

DAP meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjelaskan mengapa wakil rakyat pembangkang seperti Ahli Parlimen Warisan untuk Labuan Rozman Isli didakwa tetapi bukan wakil rakyat pro-kerajaan yang telah menukar sokongan mereka daripada pembangkang dengan melompat menyokong kerajaan atau Perdana Menteri. Rozman hari ini mengaku tidak bersalah atas tuduhan rasuah yang dikaitkan semasa dia memegang jawatan Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan (LPA) tiga tahun lalu.

Ketua Pesuruhjaya Azam Baki berkata, SPRM telah membuka 687 kertas siasatan antara Januari dan Ogos tahun ini, termasuk 149 kertas siasatan dalam kategori “berprofil tinggi, berkepentingan awam dan sensitif”, sementara 538 dalam kategori biasa. Bagaimanapun, SPRM dan Pejabat Peguam Negara secara konsisten dan selektif hanya mendakwa mereka yang menentang kerajaan atau Perdana Menteri.

Ini telah membuktikan pernyataan Majlis Presiden PH bahawa SPRM telah dijadikan senjata sebagai alat politik untuk mengancam dan mengugut wakil rakyat pembangkang bagi mendorong mereka untuk menyokong kerajaan, terutama ketika mereka memiliki majoriti Parlimen yang lemah dan tidak stabil. Di bawah Kerajaan PN, SPRM tidak lagi dilihat sebagai organisasi yang adil, bebas dan profesional yang memerangi rasuah di peringkat tertinggi, tanpa rasa takut atau pilih kasih.

Malah bekas Ketua Polis Negara turut mendedahkan kegagalan SPRM bertindak menentang rasuah politik yang melibatkan Ahli Parlimen yang melompat menyokong kerajaan. Kegagalan SPRM untuk bertindak hanya mengesahkan bahawa pernyataan yang dibuat oleh PH bahawa agensi kerajaan, termasuk SPRM, telah dijadikan senjata politik terhadap pembangkang. SPRM perlu menjelaskan lima kes rasuah politik yang melibatkan Ahli Parlimen yang lompat parti berikutan dorongan atau ugutan, di mana siasatan SPRM telah berakhir begitu sahaja setelah mereka melompat untuk menyokong kerajaan, di mana tidak ada tindakan yang diambil oleh SPRM.

  1. Kes lompat parti beramai-ramai Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah tahun lalu, yang telah didalangi oleh Tan Sri Musa Aman. Percubaan untuk membentuk kerajaan melalui pintu belakang di Sabah ini akhirnya menyebabkan pembubaran Dewan Undangan Negeri Sabah dan pilihan raya umum negeri, yang mengakibatkan gelombang kedua lonjakan jangkitan COVID-19 di seluruh negara. Tan Sri Musa Aman kemudiannya dilantik sebagai Menteri Negeri Sabah;
  2. Bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah dirakam secara audio, menawarkan jawatan dan kedudukan politik di Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) sebagai pertukaran sokongan politik. Ahli Parlimen UMNO Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah mendedahkan bahawa dia telah menolak tawaran untuk menjadi Pengerusi Petronas kerana ia tidak mengikut perlembagaan. Timbalan Presiden UMNO Mohamad Hasan telah menolak tawaran untuk menjadi Pengerusi Tenaga Nasional Bhd;
  3. Siasatan SPRM terhadap Ahli Parlimen Kuala Langat Dr Xavier Jayakumar menjadi senyap setelah Xavier melompat dan menyokong Muhyiddin, yang menurut bekas Perdana Menteri Najib Tun Razak melibatkan RM78.2 juta;
  4. 5 Ahli Parlimen PKR yang telah menolak dorongan atau ugutan supaya melompat dan menyokong Muhyiddin iaitu Ahli Parlimen Putatan Awang Husaini Sahari, M. Karupaiya (Padang Serai), S. Kesavan (Sg Siput), Michael Teo Yu Leong (Miri) dan Ahli Parlimen Sekijang Natrah Ismail. Tidak ada tindakan terhadap pihak yang cuba menarik 5 MP PKR itu melompat;
  5. Ahli Parlimen Tebrau Steven Choong, yang telah melompat keluar daripada PKR untuk menyokong Muhyiddin, mengakui bahawa Muhyiddin telah menjanjikannya kedudukan rasmi yang akan memberi dia platform untuk membangun semula ekonomi negara. Apakah ini bukan satu bentuk dorongan untuk Steven Choong melompat?

Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International turun daripada tangga 51 pada 2019 hingga ke tangga 57 pada tahun 2020. Kegagalan SPRM menjalankan tugas mereka secara profesional dan bertanggungjawab apabila aduan itu datang daripada bekas KPN sendiri, hanya akan menyebabkan kedudukan CPI Malaysia akan merosot lebih jauh pada tahun ini.

SETIAUSAHA AGUNG DAP & AHLI PARLIMEN BAGAN
Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di Kuala Lumpur pada hari Khamis,14 Oktober 2021