Kerajaan Johor harus segerakan usaha merealisasikan Unid-18

Pada 24 November 2021, kami telah membangkitkan soalan lisan dalam Sidang DUN Johor – Mesyuarat Kedua (Belanjawan 2022) Bagi Penggal Persidangan Keempat, Dewan Negeri Johor Yang Keempat Belas.

Soalan kami, apakah persediaan dan perancangan Kerajaan Negeri dalam menyambut keputusan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan dasar Undi-18.

Jawapan oleh YAB Menteri Besar Johor; Jika Persekutuan telah bersedia untuk perlaksanaan Undi-18, maka Johor akan menerima ketetapan berkenaan dan bersedia melaksanakannya.

Namun begitu, YAB MB mengakui bahawa isu berkaitan ‘calon berumur 18 tahun’ memerlukan pindaan berkaitan fasal 16 Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895. Kerajaan Negeri sedang memperhalusi mekanisme yang bersesuaian dari sudut undang-undang sekiranya terdapat keperluan terhadap pindaan itu, tertakluk kepada persetujuan Kerajaan Negeri.

Pada hemat kami, pindaan berkaitan Undi-18 di peringkat persekutuan telah melibatkan 3 elemen; Pertama, pendaftaran secara automatik pengundi berumur 18 tahun dan keatas. Kedua, membenarkan had umur pengundi bermula dari 18 tahun keatas. Ketiga, membenarkan had umur menjadi calon pilihan raya bermula seawal 18 tahun.

Merujuk elemen yang ketiga berkaitan had umur calon pilihan raya seawal 18 tahun, satu pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri terhadap fasal 16 mesti dilakukan menerusi badan legislatif tertinggi negeri iaitu Dewan Negeri Johor.

Justeru, kami berharap agar perkara ini mendapat perhatian dan tindakan bagi mengelakkan percanggahan antara Kerajaan Negeri dengan pindaan Perlembagaan di peringkat Persekutuan.

Hal ini juga perlu disegerakan apatah lagi untuk memangkin amalan demokrasi yang sihat menerusi partisipasi dikalangan anak-anak muda.

Sheikh ‘Umar Bagharib Bin Ali
KETUA DAPSY JOHOR & ADUN PALOH
Tan Hong Pin
ADUN SKUDAI
Kenyataan media bersama oleh Sheikh ‘Umar Bagharib Bin Ali dan Tan Hong Pin di Johor Bahru pada hari Khamis, 25 November 2021