Ucapan oleh Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP dan Ahli Parlimen Bagan semasa Pemukiman Politik Jawatankuasa Negeri DAP Perak di Cameron Highlands pada 12.1.2022

Manifesto Pilihan Raya Umum Ke-15 akan menjadi salah satu faktor kritikal kejayaan bagi menentukan sama ada kita berjaya membentuk kerajaan seterusnya. Kita bukan sahaja harus menegakkan dan mempertahankan hak asasi dalam Perlembagaan Persekutuan tetapi juga melakukan reformasi untuk membetulkan kegagalan teruk Kerajaan Persekutuan sekarang dalam menangani empat krisis negara iaitu wabak COVID-19, kemelesetan ekonomi, bencana banjir dan melawan endemik rasuah dalam kerajaan serta salah guna kuasa dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tidak dinafikan bahawa kita boleh melakukan tugas yang lebih baik daripada kerajaan sekarang dalam mengurus dan mengatasi empat krisis negara ini. Semasa PH berada dalam kerajaan selama 22 bulan, kita telah mengambil langkah konkrit untuk melaksanakan Manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 yang sememangnya akan dapat dilaksanakan sepenuhnya jika diberi peluang untuk memenuhi mandat lima tahun.

Malangnya, kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa sukar untuk menunaikan janji-janji dalam Manifesto tidak memberikan gambaran sebenar kemajuan yang dicapai dalam pelaksanaan janji-janji tersebut. Satu contoh ialah memansuhkan tol Lebuhraya Utara-Selatan dengan mengambil langkah progresif pertama untuk mengurangkan kadar tol sebanyak 18% pada 1 Februari 2020. Mahathir pernah mengancam untuk memecat saya sebagai Menteri Kewangan kerana saya bertegas dalam usaha serta mendesak untuk melaksanakan peringkat pertama pengurangan tol.

Di sebalik ancaman tersebut, kami terus mendesak dan akhirnya berjaya mendapat kelulusan Kabinet dengan persetujuan muktamad Mahathir untuk mengurangkan kadar tol sebanyak 18%. Itulah sebabnya penting bagi kita untuk menyelesaikan tugas dengan memasukkan dalam Manifesto akan datang untuk memansuhkan kadar tol seperti yang dijanjikan dan lebih penting lagi memenuhi janji Malaysia untuk menghormati antara satu sama lain, menerima semua orang sebagai rakyat Malaysia dan memberi ganjaran kepada mereka yang bekerja keras ke arah kemakmuran bersama untuk semua.

Tidak dinafikan bahawa DAP telah secara konsisten membuktikan kecekapan dan integriti kita dalam mengendalikan perolehan kerajaan dan memerangi rasuah. Kita perlu menerangkan dengan lebih baik bahawa DAP menyokong tadbir urus yang baik dengan memperjuangkan hak setiap rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.

SETIAUSAHA AGUNG DAP & AHLI PARLIMEN BAGAN
Ucapan oleh Lim Guan Eng semasa Pemukiman Politik Jawatankuasa Negeri DAP Perak di Cameron Highlands pada hari Rabu, 12 Januari 2022