Perutusan Sambutan Perayaan Ponggal oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow di KOMTAR, George Town pada 14 Januari 2022

Hari ini masyarakat India di negara ini menyambut perayaan Ponggal yang merupakan salah satu sambutan penting selepas Thaipusam dan Deepavali. Ketibaan bulan ‘Thai’ dalam kalendar India tahun ini amat dinantikan dan disambut dengan pelbagai upacara kesyukuran yang signifikan.

Sepertimana pengertian Ponggal yang membawa maksud ‘melimpah’, begitu juga harapan kita semua di Pulau Pinang untuk melihat permulaan baharu ke arah mempercepatkan pencapaian Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Harapan ini tidak hanya terhenti di situ, saya mengambil kesempatan ini untuk terus menyeru semua rakyat negeri ini agar menghargai perpaduan dan nilai keharmonian yang dinikmati kini. Tanpa mengira agama, bangsa dan latar belakang, sama-sama kita dedikasikan serta laksanakan tanggungjawab masing-masing dalam merealisasikan segala dasar dan pendekatan yang direncanakan oleh Kerajaan Negeri sama ada secara langsung mahupun tidak. Inilah kunci kedaulatan, kemajuan, kestabilan dan keharmonian yang perlu dititikberatkan.

Semoga kedatangan Ponggal tahun ini akan memperteguhkan lagi iltizam dan membawa kemakmuran serta kejayaan yang melimpah ruah untuk dinikmati oleh seluruh rakyat Pulau Pinang.

Selamat Hari Ponggal. Ponggal Nal Valthukal.

Chow Kon Yeow
Ketua Menteri Pulau Pinang
Perutusan Sambutan Perayaan Ponggal oleh Chow Kon Yeow di KOMTAR, George Town pada hari Jumaat, 14 Januari 2022