Impian Malaysia terus hidup dalam DAP

DAP kekal komited kepada Impian Malaysia yang meraikan kemajmukan dan menghormati maruah manusia, mendukung kebebasan, keadilan, kedaulatan undang-undang, demokrasi, ketelusan dan hak asasi manusia yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. DAP berikrar untuk bekerjasama dengan semua rakyat Malaysia yang bertekad untuk membina sebuah masa depan digital, peluang yang saksama, kemakmuran untuk semua dan melindungi alam sekitar.

Sebagai sebuah parti yang progresif, mengambil jalan sederhana dan inklusif, DAP harus mendengar harapan rakyat bukan hanya dengan minda kita tetapi juga mendengar dengan hati kita. Kita mestilah berkhidmat untuk mereka dengan sepenuh hati dan menyuarakan aspirasi mereka dengan berani.

Kita tidak boleh melakukan ini secara bersendirian tetapi melakukannya bersama-sama. Atas sebab ini, DAP telah bekerjasama dengan rakan gabungan yang berkongsi prinsip dan idealisme kita. Hanya melalui sebuah gabungan parti-parti politik yang mempunyai pemikiran yang sama, DAP telah berubah daripada sebuah parti pembangkang kepada rakan kongsi kuasa dalam beberapa kerajaan negeri dan akhirnya dalam Kerajaan Persekutuan pada 2018.

Malaysia adalah milik rakyat pelbagai lapisan umur, gender, kaum, agama mahupun latarbelakang, sama ada daripada Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak atau sama ada seorang Melayu, Cina, India, Orang Asli, KDM ataupun Dayak. Seharusnya tidak ada diskriminasi atau peminggiran sama ada secara politik, sosial mahupun ekonomi. Setiap rakyat mempunyai hak mereka di atas bumi Malaysia ini.

Sepertimana DAP menyeru semua rakyat Malaysia untuk saling membantu, menghormati perbezaan sesama kita dan menyokong kebenaran melawan kemungkaran, kita perlu berkongsi bukan sahaja kejayaan kita malah berdepan cabaran secara bersama. Hanya melalui cara ini kita boleh mempersiap siagakan anak muda kita untuk masa hadapan.

Semasa pandemik Covid-19 dan kemelesetan ekonomi, Malaysia telah ditekan dengan pelbagai ancaman perpecahan yang disebabkan rasuah, ekstremisme, perkauman dan ketandusan ekonomi dan kemiskinan kewangan. Kita mampu menumpaskan tekanan-tekanan reaksioner ini dengan mengutamakan generasi hadapan kita agar mereka mendapat peluang untuk merealisasikan potensi penuh mereka.

Marilah kita bersatu untuk menggelakkan masa depan anak-anak kita dirompak.

Saya tahu kita semua merasa kecewa dengan Langkah Sheraton yang menyebabkan kita kehilangan kuasa kerajaan Persekutuan dan beberapa buah kerajaan negeri selepas kemenangan bersejarah kita dalam pilihan raya 2018, dan kita kecewa terhadap keputusan PH dalam pilihan raya negeri Melaka, Sarawak dan Johor. Tapi jangan kita lupa bahawa situasi kita semasa menjadi pembangkang sebelum 2008 adalah lebih teruk lagi.

Apabila saya mengambil alih jawatan Setiausaha Agung parti pada September 2004, saya telah membuat sebuah janji yang berani untuk mengemudi DAP daripada menjadi pembangkang yang kekal kepada menjadi rakan kongsi dalam kerajaan. Ketika itu, tidak ada orang yang percaya kepada seorang individu yang telah hilang kelayakan sebagai wakil rakyat setelah dipenjarakan dalam kes berkaitan mangsa rogol yang telah ditahan manakala perogolnya dibebaskan. Tapi kita berjaya melakukannya kerana kita berani untuk mengimpikannya.

Sebagai Setiausaha Agung, saya telah menetapkan tiga matlamat untuk DAP, yang masih relevan pada hari ini: Pertama, kita harus membina semula semangat tempur dan semangat parti selepas pilihan raya berturut-turut yang menunjukkan kemajuan yang perlahan dari 1995 ke 2004. Kedua, kita harus menarik ahli muda dan pemimpin yang berpotensi ke dalam parti untuk menyemarakkan semula semangat parti. Akhir sekali, kita harus memaksimakan kekuatan keseluruhan parti dengan menggembleng kekuatan segala pemimpin, sama ada yang muda mahupun yang berpengalaman

Dalam masa kurang daripada 4 tahun, pada 8 Mac 2008, bersama pemimpin dan ahli generasi baru DAP, kita telah mencipta sejarah dengan memenangi kerajaan empat buah negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor dan menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional dalam Parlimen. Dalam pilihan raya tersebut, DAP telah menambahkan kerusi Parlimen kita daripada 12 kepada 28 kerusi. Pada pilihan raya 2013 dan 2018, DAP meningkatkan lagi jumlah kerusi Parlimen kita kepada 38 dan kemudian 42 kerusi.

Ia merupakan bab baharu dalam perjuangan panjang DAP untuk sebuah negara Malaysia yang lebih baik. Pertama kita berjaya memecahkan kuasa hegemoni UMNO. Kita juga mempunyai pentas kerajaan untuk membuktikan bahawa DAP bukan sahaja mampu buat lebih baik berbanding UMNO-Barisan Nasional malah kita boleh mengorak perubahan untuk sebuah Malaysia untuk Rakyat Malaysia yang lebih bersih, lebih adil dan progresif.

Saya berterima kasih kepada ahli-ahli parti di atas keyakinan dan kepercayaan yang diberikan untuk saya berkhidmat sebagai Setiausaha Agung sejak 2004, sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk dua penggal dari 2008 ke 2018 dan sebagai Menteri Kewangan dari 2018-2020. Dalam masa kurang dari 10 tahun, kita telah berjaya mentransformasi Pulau Pinang daripada sebuah pembangunan yang terbantut kepada sebuah negeri yang paling hadapan di Malaysia.

Malangnya, kami tidak mempunyai masa yang cukup untuk melakukan perkara yang sama di peringkat Kerajaan Persekutuan walaupun kita mempunyai kejayaan dalam memerangi rasuah, membersihkan hutang yang dikaitkan dengan 1MDB dan menjimatkan RM50 bilion melalui merasionalisasikan kontrak perolehan kerajaan. PH mengambil langkah pertama untuk memansuhkan tol Lebuhraya Utara-Selatan dengan terlebih dahulu mengurangkan bayaran tol sebanyak 18% dan tidak membenarkan sebarang kenaikan tol sepanjang tempoh konsesi, sekaligus menjimatkan RM42 bilion untuk kerajaan dan rakyat.

Pemimpin dan ahli kita berpegang pada prinsip dan kita menang atas prinsip. Mandat sah PH ini telah dirompak pada awal 2020 daripada rakyat dengan pengkhianatan ahli parlimen oportunis yang ditawarkan jawatan dan dana. Atas sebab ini, kita tidak akan bekerjasama dengan PN yang mengkhianati kita. Jika kita ditikam daripada belakang sekali, itu salah mereka. Jika kita membenarkan mereka menikam belakang kita untuk kali kedua, ini adalah salah kita sendiri.

Dalam tempoh dua tahun selepas Langkah Sheraton, Malaysia serta-merta terjerumus ke dalam tiga krisis kesihatan, ekonomi dan kestabilan politik. Kerajaan BN dan BN mesti dihukum kerana kegagalan dan ketidakcekapan mereka dalam menguruskan COVID-19 yang menyebabkan 4 juta jangkitan dan lebih daripada 34,000 kematian serta lebih RM500 bilion kerugian ekonomi daripada “total lockdown” bersiri yang gagal.

Memenangi Semula Sokongan Rakyat.

Dalam mengutamakan kepentingan negara dan rakyat sebelum kepentingan politik kita sendiri, Pakatan Harapan telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan pentadbiran Ismail Sabri untuk gencatan politik bagi memberi tumpuan kepada menyuntik RM45 bilion untuk menangani pandemik dan kemelesetan ekonomi. Kebanyakan bantuan kewangan untuk individu dan PKS berasal daripada bantuan kewangan tambahan RM45 bilion yang telah dicadangkan oleh PH.

PH juga mendesak kerajaan untuk menggubal Undang-undang Anti Lompat Parti menjelang Mac 2022 untuk menghentikan insiden lompat parti yang telah mencemarkan keseluruhan proses demokrasi. Terdapat beberapa kekeliruan mengenai status perkara ini sekarang, di mana Aturan Urusan Parlimen terkini mendedahkan pembentangan Bacaan Pertama Pindaan Perlembagaan Rang undang-undang esok di Parlimen. Sekiranya Undang-undang Anti Lompat Parti tidak diluluskan seperti yang dijanjikan dalam MOU yang ditandatangani oleh Perdana Menteri, maka MOU itu terbatal dan ditamatkan.

PH perlu melakukan kerja yang lebih baik untuk menyampaikan mesej kita jika kita ingin memenangi semula sokongan rakyat. Untuk berjaya, kita tidak boleh menyalahkan orang lain ke atas kehilangan sokongan popular tetapi melihat kelemahan kita sendiri dan mengapa berlakunya peratusan keluar mengundi yang lebih rendah. Kita perlu berdepan dengan rekod kita semasa berada dalam kerajaan PH.

PH mesti menunjukkan ia bersatu dan bergerak sebagai satu pasukan. Logo bersama dalam PH akan membantu untuk menunjukkan kesatuan dalam tujuan itu. Walaupun DAP teringin untuk menggunakan logo Roket, DAP akan berpegang kepada logo gabungan PH untuk membantu kita menang bersama-sama. Tidak ada satu parti pun yang memenangi pilihanraya umum secara tunggal, hanya parti koalisi yang berjaya memenangi kuasa sejak Merdeka. Kita perlu berkongsi kemenangan dengan sekutu kita melalui logo yang sama supaya kita boleh memenangi lebih banyak kerusi.

DAP telah mengambil pengajaran daripada pilihan raya negeri Melaka dan Sarawak. Usaha kita dalam memperbetulkan kelemahan kita telah menunjukkan sedikit kemajuan dengan DAP mengurangkan kekalahan kita dengan memenangi 10 daripada 14 yang bertanding walaupun peratusan keluar mengundi lebih rendah semasa pilihan raya negeri Johor. Izinkan saya mengucapkan tahniah kepada semua calon DAP yang menang daripada PH dalam pilihan raya negeri Johor, Melaka dan Sarawak.

Walaupun PH mempunyai kelemahan, kita lebih kehadapan daripada segi prestasi berbanding Kerajaan Persekutuan dalam menangani kebimbangan perniagaan, pekerja dan kos sara hidup yang dihadapi rakyat. Contohnya, mengapa tidak ada Dana Penstabilan Harga untuk membantu mengurangkan inflasi atau mengurangkan peningkatan harga makanan dan komoditi. Inflasi hanya akan meningkat lebih tinggi dengan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine yang mendorong harga minyak ke paras tertinggi.

Kedua, kerajaan tidak sepatutnya mengenakan kenaikan tarif elektrik kepada pengguna komersial sehingga 20% dan menghentikan penarikan pengecualian cukai pendapatan yang dibawa balik oleh syarikat ke Malaysia atau Johor dari luar negara atau Singapura.

Ketiga, kerajaan perlu menambah RM500 juta lagi peruntukan untuk Sabah, Sarawak, masyarakat Bumiputera dan masyarakat bukan Bumiputera dalam Belanjawan 2022 bagi menampung kekurangan yang berlaku.

Empat, kerajaan perlu menarik balik AKTA342 di Parlimen yang mencadangkan untuk menaikkan penalti dan kompaun bagi ketidakpatuhan SOP COVID-19 bagi individu daripada RM1,000 kepada RM10,000 dan kepada RM1 juta bagi syarikat, yang akan menyebabkan kesusahan yang besar kepada rakyat dan perniagaan.

Lima, kerajaan mesti menjelaskan sama ada ia telah secara satu pihak memperluaskan kuota Bumiputera 30% sebelum ini kepada 61%, yang merupakan satu perubahan dasar utama yang harus dilakukan dengan perundingan penuh dengan semua pihak berkepentingan kerana ia menyentuh isu keadilan atau kesaksamaan, menggalakkan daya saing dan sama ada ia membantu dalam usaha ke arah persekitaran yang saksama.

Enam, menggesa kerajaan menghukum mereka yang bertanggungjawab ke atas pembunuhan Muhammad Adib bin Mohd Kassim, Teoh Beng Hock dan kematian dalam tahanan. Dalam mengalu-alukan pampasan kerajaan sebanyak RM1.5 juta kepada keluarga Muhammad Adib, jumlah yang sama perlu dibayar kepada Keluarga Teoh Beng Hock dan mereka yang lain.

Dalam masa yang mencabar ini, DAP perlu berpegang teguh pada prinsip kita, mengamalkan kepimpinan kolektif dan terus mendekati ahli dan rakyat. Beberapa pilihan raya negeri sebelum ini telah menunjukkan bahawa khidmat yang baik kepada pengundi adalah penting untuk menang.

Kita berbangga kerana DAP mempunyai rekod yang dicemburui sebagai satu-satunya parti politik di Malaysia yang memenangi 42 Ahli Parlimen pada pilihan raya umum 2018 dan masih mengekalkan 42 MP yang sama sekarang tanpa seorang pun Ahli Parlimen meletak jawatan atau melompat. Ini adalah bukti terhadap kepimpinan kolektif kita dan kesediaan untuk berinteraksi sesama kita dengan kerap serta mendengar pandangan mereka dengan hati yang terbuka.

Parti kita berada dalam generasi peralihan di mana Setiausaha Agung baru akan dipilih. Ini adalah ucapan terakhir saya sebagai Setiausaha Agung dan saya berterima kasih atas semua sokongan yang diberikan parti kepada saya. Saya berbangga kerana sepanjang tempoh saya sebagai Setiausaha Agung , DAP telah mentransformasi daripada bercita-cita menjadi parti pembangkang terbesar kepada bercita-cita menjadi kerajaan seterusnya. Kita telah menunjukkan bahawa DAP mampu mentadbir Malaysia.

Saya berbangga kerana kita berjaya memupuk dua generasi pemimpin DAP seterusnya yang akan meneruskan legasi kumpulan pertama pemuda dan pemudi yang mengasaskan parti kita 56 tahun lalu. Saya bangga kerana saya menyerahkan DAP yang lebih kuat kepada Setiausaha Agung yang seterusnya kerana DAP kini merupakan parti terbesar di Parlimen. DAP amat bersyukur kerana kita mempunyai pemimpin generasi pertama kita Saudara Lim Kit Siang yang masih bersama kita untuk membimbing kita dengan kebijaksanaan dan pandangan beliau.

Saya akan menyokong Setiausaha Agung yang baharu dan bekerjasama dengan generasi baharu pemimpin DAP untuk membina parti kita, dan bekerjasama dengan rakan sekutu yang berfikiran sama demi sebuah Malaysia untuk rakyat Malaysia yang lebih baik. Kita mahu Setiausaha Agung baharu nanti berjaya supaya parti ini boleh terus berkembang

Penghargaan Ringkas Kepada Sdr Lim Kit Siang

Ketika kita menyambut ulang tahun ke-56 sejak DAP mula ditubuhkan pada 1966, kita mengingati 11 orang pemuda yang mengasaskan parti ini. 11 orang pemuda ini, kebanyakannya dalam lingkungan 30-an, bangkit untuk membuat komitmen dengan visi jitu sebuah negara muda iaitu “Malaysia yang bebas dan demokratik berdasarkan prinsip kesaksamaan kaum, dan keadilan sosial dan ekonomi, dan diasaskan pada institusi demokrasi berparlimen.”

DAP ketika itu masih muda. Saudara Dr Chen Man Hin Pengerusi Kebangsaan kita yang pertama, mungkin yang paling tua dalam lingkungan empat puluhan. Pada tahun 1967, seorang pemuda berusia 26 tahun Saudara Lim Kit Siang, telah dilantik ke dalam CEC. Tiada yang dapat menjangka ketika itu, bahawa Lim Kit Siang akan menjadi seorang gergasi di kalangan ahli politik Malaysia kerana kebijaksanaan, keberanian, kegigihan semangatnya dan kesetiaannya kepada idealisme dan prinsip.

Selama beberapa dekad, Perdana Menteri dan Menteri-menteri menganggap Lim Kit Siang adalah satu-satunya lawan mereka yang digeruni. Sebagai Ketua Pembangkang Parlimen paling lama berkhidmat, wartawan antarabangsa menganggap beliau sebagai Perdana Menteri terbaik yang tidak akan pernah dimiliki Malaysia disebabkan etniknya. Mungkin inilah sebab beliau juga telah difitnah dan terus difitnah sebagai orang yang bertanggungjawab terhadap rusuhan 13 Mei 1969 di Kuala Lumpur sedangkan beliau berada di Kota Kinabalu, sebagai anti-Melayu, anti-Cina dan anti-India. Kit adalah simbol terhadap perjuangan sunyi DAP dalam pembangkang dan kejayaan besar dalam memenangi kuasa.

Pendedahan Lim Kit Siang mengenai skandal rasuah boleh dianggap sebagai satu lagenda, begitu juga dengan tindakan perundangan terhadapnya kerana keberaniannya menentang mereka yang berkuasa. Belia sanggup untuk melepaskan kebebasannya dan membahayakan nyawanya dengan ancaman yang tidak terkira banyaknya terhadap nyawanya dan dua penahanan besar di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri. Tetapi perbuatan yang benar-benar membezakan beliau dengan pemimpin-pemimpin lain adalah apa yang beliau tidak lakukan berbanding apa yang beliau lakukan. Selepas pilihan raya umum 2018 di mana PH menang dan buat pertama kalinya memecahkan hegemoni UMNO ke atas politik Malaysia, beliau mengumumkan bahawa beliau tidak akan meminta sebarang kuasa atau jawatan Kabinet yang sudah pasti akan ditawarkan kepadanya, tetapi memilih untuk memberi laluan kepada pemimpin-pemimpin yang lebih muda.

Beliau adalah rakyat Malaysia ulung kerana keyakinannya yang tidak terhingga kepada rakyat bahawa mereka akan memilih yang betul berbanding yang salah. Lim Kit Siang dilihat oleh rakyat Malaysia biasa sebagai seorang negarawan dan seorang yang berwawasan yang sanggup mengambil jalan yang kurang popular dengan berani membuat keputusan bukan untuk pilihanraya raya-pilihan raya akan datang tetapi untuk generasi akan datang. DAP adalah penerima kasih sayangnya dengan menjadikan DAP sebagai wahana yang membawa masa depan yang lebih baik untuk anak-anak kita.

Keluarga kami mencemburui masa yang telah diambil DAP daripadanya dan kami perlu berkongsi kasih sayangnya dengan DAP. Kami menghormati dan menyokong penuh keazaman sepanjang hayat beliau untuk menjadikan kehidupan rakyat Malaysia lebih baik. Bagi kebanyakan kita yang sedar bahawa tanpa Kit mengetuai pemimpin veteran kita, tidak akan ada DAP hari ini, begitu juga dengan ramai di antara kita yang kekal dalam DAP semasa zaman perit sebagai pembangkang kerana melihat contoh Kit atau pemimpin muda di sini yang menyertai DAP kerana diilhamkan oleh Kit, kita mahu ucapkan terima kasih kepada Kit atas semua yang telah anda lakukan.

Bagi pihak DAP dan keluarga DAP, kita mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dari lubuk hati yang paling dalam. Sewajarnya kita menjemput penjaga jiwa dan nurani kita untuk mengucapkan sepatah dua kata mengenai Impian Malaysianya.

SETIAUSAHA AGUNG DAP & AHLI PARLIMEN BAGAN
Ucapan oleh Lim Guan Eng di Kongres Kebangsaan DAP di Selangor pada hari Ahad, 20 Mac 2022