Ketua Setiausaha Negara hendaklah segera bertindak terhadap ketua-ketua jabatan yang melanggar undang-undang apabila mereka menetapkan cara berpakaian orang ramai sebelum perkhidmatan boleh diberikan kepada mereka

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Bin Ali mesti mengambil tindakan segera terhadap ketua jabatan yang bertindak di luar kuasa mereka dalam menetapkan pakaian yang mesti dipakai oleh orang ramai sebelum perkhidmatan boleh diberikan kepada mereka.

Saya telah menerima beberapa aduan bahawa beberapa pejabat kerajaan kini menetapkan kod pakaian untuk dipakai oleh orang awam sebelum mereka dibenarkan masuk ke pejabat untuk perkhidmatan yang akan diberikan kepada mereka. Ketua jabatan tidak mempunyai kuasa untuk membuat peraturan sedemikian dan dengan jelas telah bertindak secara tidak sah dan menyalahi undang-undang.

Menteri kabinet dan pegawai kerajaan memperoleh kuasa mereka daripada undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen. Akta Parlimen sering memberi kuasa kepada menteri untuk membuat peraturan atau perundangan subsidiari. Namun, jika seorang menteri membuat peraturan di luar skop kuasa (ultra vires) yang diberikan oleh Akta Parlimen, peraturan sebegini adalah menyalahi undang-undang dan tidak sah. Sejauh pengetahuan saya, tidak ada mana-mana undang-undang yang memberikan kuasa kepada pegawai kerajaan untuk menetapkan pakaian yang mesti dipakai oleh orang ramai sebelum perkhidmatan boleh diberikan kepada mereka. Jika peraturan-peraturan yang dibuat oleh seorang menteri adalah tidak sah dan terbatal jika ia diluar kuasa yang diberikan kepada seorang menteri a fortiori (lebih-lebih lagi) peraturan yang dibuat oleh ketua jabatan yang tidak diberi kuasa untuk membuat peraturan menghendaki orang ramai mematuhi pakaian tertentu adalah tidak sah dan terbatal. Tindakan mesti diambil terhadap ketua-ketua jabatan yang telah melanggari undang-undang.

Pakaian untuk murid-murid sekolah atau badan beruniform berbeza kerana terdapat undang-undang yang menentukan pakaian mereka. Pakaian untuk persatuan dan pertubuhan swasta juga berbeza kerana ahli-ahli mereka telah bersetuju dengan peraturan berkenaan dengan pemakaian pakaian mereka.

Setiap insan adalah tertakluk kepada undang-undang. Kerabat Diraja, Perdana Menteri, ahli-ahli Parliman dan semua orang yang lain adalah tertakluk kepada undang-undang. Mereka akan dihukum jika melanggar undang-undang. Bagitu juga, ketua jabatan yang melanggar undang-undang mesti dihukum. Penjawat awam perlu diingatkan bahawa mereka adalah orang yang digaji untuk memberikan perkhidmatan kepada orang awam dan gaji mereka dibayar oleh orang ramai. Mereka bertanggungjawab kepada orang ramai. Seorang petani berseluar pendek dan singlet atau orang Asli dalam berpakaian tradisional, berhak untuk dilayan oleh penjawat-penjawat awam. Seorang miskin yang tidak mampu membeli seluar panjang juga berhak untuk dilayan oleh penjawat awam. Fungsi penjawat awam adalah sebagai pemberi khidmat kepada orang ramai dan penjawat-penjawat awam tidak pada bila-bila masa menjadi tuan kepada orang ramai.

Melainkan seseorang itu menyebabkan kacau ganggu di tempat awam, yang merupakan satu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan, perkhidmatan awam mesti diberikan kepada semua rakyat. Jika pun, seseorang itu menyebabkan kacau ganggu ditempat awam, kuasa untuk bertindak terhadap orang tersebut adalah pada pihak polis dan bukannya pegawai penjawat awam yang lain.

Ketua Setiausaha Negara hendaklah mengingatkan ketua-ketua jabatan supaya menumpukan perhatian mereka dalam memperbaiki banyak lagi kelemahan-kelemahan dalam jabatan masing-masing. Sebagai contoh, banyak Pejabat Imigresen, pejabat Pengangkutan Jalan dan pejabat Sumber Manusia mengehadkan bilangan orang yang mereka akan layani setiap hari walaupun terdapat banyak kes tertunggak yang memerlukan perhatian mereka. Tindakan mesti diambil dalam jabatan-jabatan ini untuk memastikan orang ramai dilayan dengan efisien.

Ngeh Koo Ham
Jurucakap bagi Ahli-ahli Parlimen DAP Mengenai Undang-undang dan Parlimen & Ahli Parlimen Beruas
Kenyataan media oleh Ngeh Koo Ham di Ipoh pada hari Jumaat, 20 Mei 2022