Kerajaan negeri Melaka perlu memberi penjelasan bagaimanakah kelulusan pembangunan boleh dikeluarkan sedangkan insiden cerun runtuh dan hakisan tanah berlaku hanya beberapa bulan projek pembangunan dimulakan

Kenyataan berikut ditulis dengan rujukan kepada laporan media Melaka Hari ini bertajuk “Cerun runtuh, hakisan undang resah penduduk Taman Muzaffar Shah” bertarikh 21 Jun 2022. 【pautan dilampirkan】

Kerajaan negeri Melaka perlu memberi penjelasan bagaimanakah kelulusan pembangunan boleh dikeluarkan sedangkan insiden cerun runtuh dan hakisan tanah berlaku hanya beberapa bulan projek pembangunan dimulakan kerana ini sepatutnya dikaji dan dibangkitkan ketika kelulusan pembangunan diberikan.

Saya memetik kenyataan pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Komuniti (JPKK) Taman Muzaffar Shah dalam laporan media yang berkata “penduduk…mengemukakan aduan dan bantahan mengenai projek pembangunan di kawasan itu sejak awal tahun ini”.

Soalannya, sekiranya JPKK telah dimaklumkan bahawa penduduk membantah projek pembangunan ini sejak awal tahun, ini bermaksud Japerun Ayer Keroh, PBT serta kerajaan negeri Melaka sepatutnya telah mengambil tindakan yang konkrit termasuk membangkitkan pertanyaan teknikal sebelum kelulusan projek pembangunan diberikan dan kerja pembangunan dibenarkan berjalan.

Insiden cerun runtuh ini berlaku walaupun sudah lebih kurang setengah tahun sejak bantahan dikemukakan oleh penduduk kepada JPKK menunjuk bahawa sama ada proses kelulusan tersebut tidak mengambil kira pandangan JPKK dan Japerun, atau JPKK dan Japerun tidak menyampaikan bantahan dan kerisauan penduduk kepada pihak berkuasa.

Dalam mana-mana senario tersebut, ini menunjukkan kelemahan dalam proses kerajaan negeri meluluskan sesebuah projek pembangunan yang berpotensi mengancam keselamatan orang awam.

Japerun Ayer Keroh harus berhenti bertindak seperti pembangkang yang tidak berkuasa dan tidak diberi akses kepada maklumat projek pembangunan dalam DUN Ayer Keroh.

Bagi memulihkan keyakinan penduduk terhadap kerajaan negeri, langkah seterusnya yang harus diambil oleh Japerun Ayer Keroh dan JPKK ialah mendapatkan maklumat penuh tentang projek ini, termasuk laporan risiko cerun runtuh dan kemudian menganjurkan ‘townhall’ untuk memberi taklimat kepada penduduk di Taman Muzaffar Shah.

MHI: Cerun runtuh, hakisan undang resah penduduk Taman Muzaffar Shah

https://www.melakahariini.my/cerun-runtuh-hakisan-undang-resah-peduduk-taman-muzaffar-shah/

Kerk Chee Yee
ADUN Ayer Keroh
Kenyataan media oleh Kerk Chee Yee di Melaka pada hari Rabu, 22 Jun 2022