Mana moral kompas FELDA dan Kerajaan dalam meluluskan RM180,000 kenaikan elaun Pengerusi FGV ketika peneroka dan rakyat menghadapi kenaikan kos sara hidup?

Melalui satu dokumen yang telah saya perolehi berkaitan dengan keputusan mesyuarat yang telah dijalankan pada hari ini, pemegang-pemegang saham FGV telah meluluskan usul-usul berkaitan dengan pindaan menaikkan kadar elaun Pengerusi dan ahli lembaga pengarah yang lain seramai 6 orang seperti yang saya kongsi semalam.

Melalui pindaan itu, elaun bulanan yang diterima oleh pengerusi kini berjumlah sebanyak RM 480,000.00 setahun atau RM40,000.00 sebulan manakala untuk ahli lembaga pengarah yang lain, elaun bulanan yang diterima berjumlah sebanyak RM 150,000.00 setahun atau RM12,500.00 sebulan untuk seorang ahli lembaga pengarah.

Jumlah keseluruhan elaun yang telah diluluskan bagi ahli lembaga pengarah FGV di dalam mesyuarat pada petang ini adalah sebanyak RM1.38 juta, tidak termasuk elaun-elaun jawatankuasa yang lain.

Di kala rakyat kini terhimpit dengan masalah kos kehidupan yang semakin meningkat, kenaikan elaun ini adalah tidak munasabah dan tidak patut. Ini adalah kerana walaupun prestasi FGV kini semakin pulih dari masalah yang dihadapi sebelum ini dan mula mencatatkan keuntungan, ia bukanlah satu tanda aras yang membenarkan kenaikan elaun pengerusi dan para ahli lembaga pengarah.

Bahkan kenaikan ini telah menjadikan elaun yang diterima oleh pengerusi dan ahli lembaga pengarah FGV lebih tinggi daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang lain. Elaun Pengerusi bagi GLC besar yang adalah: Tenaga Nasional – RM30,000.00 sebulan; Telekom Malaysia – RM30,000.00 sebulan dan Petronas Chemical Group – RM24,000.00 sebulan. Macam mana FGV boleh naikkan elaun Pengerusi mereka daripada RM25,000.00 sebulan kepada RM40,000.00 sebulan?

Bagaimana kerajaan melalui FELDA yang memegang kepentingan saham terbesar FGV boleh membenarkan kenaikan seperti ini tatkala rakyat kini termasuklah peneroka berhadapan dengan masalah kos kehidupan yang tinggi. Bahkan peneroka juga terpaksa menanggung kos-kos yang lain seperti kos racun dan kos baja serta kos menyelenggara yang kini kian meningkat.

Mesyuarat Agung FGV pada petang ini sepatutnya berkisar mengenai kebajikan peneroka sebagai pemegang taruh terbesar FGV. Mereka sepatutnya menerima faedah yang tinggi hasil dari keuntungan yang dicatatkan oleh FGV, bukan ahli lembaga pengarah ataupun pengerusi.

FGV sepatutnya perlu peka dengan keadaan semasa dan bukan sibuk memenuhkan kantung poket pengerusi dan ahli lembaga pengarahnya apabila syarikat mula membuat keuntungan. Banyak lagi faedah dan perkara yang boleh diberikan kepada peneroka untuk meningkatkan kesejahteraan hidup mereka menggunakan wang kenaikan elaun itu.

Young Syefura Binti Othman
Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP & ADUN Ketari
Kenyataan media oleh Young Syefura Othman di Bentong pada hari Khamis, 23 Jun 2022