Suruhanjaya Pendakwa Raya dan Makhamah Hak Asasi Malaysia

Pindaan Perkara 145 (1) dan (3) Perlembagaan Persekutuan

Kerajaan dan ahli-ahli parlimen perlu melihat secara serius untuk meminda Perkara 145 (1) dan 145(3) Perlembagaan Persekutuan yang di mana Peguam Negara dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, dan Peguam Negara mempunyai kuasa budi bicara yang tidak dikawal untuk memulakan, menjalankan atau menghentikan sebarang prosiding bagi sesuatu kesalahan, selain daripada prosiding di Mahkamah Syariah, Mahkamah Natif atau Mahkamah Tentera.

Apabila ia melibatkan isu pencabulan hak asasi manusia oleh pejawat awam, keadaan ini menjadi penghalang untuk menunaikan keadilan bagi golongan masyarakat bawahan kerana AGC sering mewakili kepentingan pihak berkuasa.

Oleh itu, perkara Perlembagaan Persekutuan tersebut perlu dipinda supaya pemilihan Peguam Negara yang dicadangkan oleh eksekutif perlu diperbincangkan melalui Jawatankuasa Tetap Parlimen dan diluluskan oleh parlimen sebelum dikemukakan untuk perlantikan oleh YDPA.

Suruhanjaya Pendakwa Raya dan Mahkamah Hak Asasi Manusia

Suruhanjaya Pendakwa Raya yang independen diperlukan untuk mengelakkan penumpuan kuasa pendakwaan secara mutlak oleh AGC dan mengelakkan campur tangan oleh cabang eksekutif kerajaan.

Sebaliknya, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Suhakam dan seumpamanya harus diperuntukkan lebih banyak sumber untuk menjalankan siasatan yang melibatkan pejawat agensi kerajaan dan meningkatkan kuasa mereka untuk mengesyorkan pendakwaan kepada Suruhanjaya Pendakwa Raya yang bebas.

Mahkamah Hak Asasi Manusia yang dicontohkan oleh Kesatuan Eropah dan India harus dikajisecara terpeinci untuk refomasi institusi dan undang-undang selanjutnya. Penubuhan Mahkamah Hak Asasi Manusia dan Suruhanjaya Pendakwa Raya yang bebas akan membantu mempercepatkan kes mahkamah yang melibatkan pencabulan hak asasi manusia yang dilakukan oleh pegawai kerajaan dan mana-mana pihak.

Dr. Boo Cheng Hau
Ahli Jawatankuasa DAP Johor
Kenyataan media oleh Dr. Boo Cheng Hau di Johor Bahru pada hari Jumaat, 5 Ogos 2022