Adakah sumber Kerajaan digunakan untuk wujudkan troll farm?

Meta, syarikat yang memiliki platform media sosial seperti Facebook dan Instagram, telah menerbitkan laporan ‘Quarterly Adversarial Threat Report’[1] hari ini. Laporan tersebut, antara lain, menyatakan bahawa pihak Meta telah mengenalpasti dan mengeluarkan 596 akaun Facebook, 180 page Facebook, 11 kumpulan Facebook (groups) and 72 akaun Instagram yang merupakan sebahagian daripada sebuah troll farm yang ditujukan pada pengguna media sosial dalam negara.

Menurut Meta, troll farm yang dikenalpasti ini aktif dalam Facebook, TikTok, Twitter dan Instagram dan memuatnaik meme dalam bahasa Melayu, mengkritik pembangkang serta membuat dakwaan korupsi terhadap mereka yang mengrkitik Kerajaan. Kegiatan mereka termasuklah menyerupai entiti berita, mempromosikan polis dan menggunakan gambar yang telah dicuri sebagai profil foto. Lebih membimbangkan lagi, menurut siasatan Meta, rangkaian troll farm ini dikaitkan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sekiranya benar, ia mendedahkan suatu usaha bersepadu untuk memanipulasi perbincangan awam dengan menggunakan akaun-akaun dan laman-laman palsu bagi manfaat politik pihak Kerajaan. Walaupun akaun-akaun dan laman-laman ini telah dikenalpasti dan dipadam oleh Meta, laporan ini menunjukkan bahawa Kerajaan membiayai trolls dan cybertroopers menggunakan dana dan sumber awam demi kepentingan politik mereka. Tidak keterlaluan untuk membuat kesimpulan bahawa selain daripada akaun-akaun dan laman-laman ini, terdapat akaun-akaun dan laman-laman lain, merentasi pelbagai platform media sosial, yang juga menjalankan kegiatan yang sama. Sumber-sumbar awam, termasuklah badan yang sepatutnya berkhidmat untuk semua rakyat Malaysia, tidak sepatutnya digunakan untuk tujuan politik seperti ini.

Pihak Kerajaan dituntut untuk memberi penjelasan telus dan terperinci mengenai apa yang terkandung di dalam laporan Meta tersebut. Sekiranya tidak, ia akan memberikan persepsi negatif bahawa badan-badan dan sumber-sumber awam telah digunakan untuk tujuan politik Kerajaan hari ini.

Syahredzan Johan
PENGERUSI BIRO MEDIA SOSIAL DAP
Kenyataan media oleh Syahredzan Johan di Kuala Lumpur pada hari Jumaat, 5 Ogos 2022