Dilahirkan di Pulau Pinang pada 28 Jun 1940, Karpal Singh a/l Ram Singh adalah seorang ahli politik dan seorang peguam.

Karpal mempelajari bidang undang-undang di Universiti Kebangsaan Singapura, beliau diterima masuk ke profesyen peguam pada tahun 1969. Karpal merupakan antara peguam tersohor di negara setelah terlibat dalam pelbagai kes berprofil tinggi seperti pertuduhan dadah Barlow & Chambers pada tahun 1986 dan perbicaraan kes liwat bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998.

Pada thaun 1977, Karpal berjaya mendapatkan pengampunan diRaja untuk seorang anak muda berketurunan Cina berusia 14 tahun yang dijatuhkan hukuman mati di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana memiliki senjata api. Beliau merupakan seorang yang kuat menentang hukuman mati.

Kerjaya politik Karpal bermula pada tahun 1970 apabila beliau menyertai DAP. beliau memenangi kerusi DUN di Kedah pada tahun 1974. Beliau dilantik ke Parlimen buat pertama kali pada tahun 1978 sebagai Ahli Parlimen Jelutong, Pulau Pinang dan kekal di kawasan tersebut sehingga 1999. Beliau kembali ke Parlimen dalam PRU 2004 setelah memenangi kerusi Bukit Gelugor. Karpal kekal di kerusi tersebut pada PRU 2008 dan 2013 dan kini merupakan Pengerusi Kebangsaan DAP.

Karpal dikenali sebagai sosok yang penuh kontroveri dan berprinsip tegas di mahkamah dan juga di Parlimen. Beliau telah digantung dari Parlimen berkali-kali, selain dituduh menghasut serta ditahan di bawah ISA selama 15 bulan antara 1987 dan 1989. Reputasi beliau itu memberikan gelaran ‘Tiger of Jelutong’ kepadanya.

Insiden kemalangan jalan raya pada tahun 2005 mengakibatkan Karpal kini menggunakan kerusi roda dan mengalama masalah neuromotor di lengan kanan. Begitu pun beliau masih kuat berjuang tanpa putus asa di kedua-dua lapangan politik dan undang-undang.

Bukunya, ‘Karpal Singh: Tiger of Jelutong’ tulisan wartawan veteran New Zealand, Tim Donoghue diterbitkan pada September 2013.