Deklarasi Malaysia Baharu

Mukadimah
Persidangan Kebangsaan DAP yang berlangsung pada 5hb Mei 2019 ini adalah perhimpunan pertama Delegasi Kebangsaan, badan pembuat-keputusan tertinggi parti sejak kemenangan Pakatan Harapan dalam Pilihanraya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018. Pada hari ini, DAP menerima Deklarasi Malaysia Baharu sebagai panduan hala tuju masa hadapan dan sebagai panduan menghadapi cabaran-cabaran yang mendatang.

Deklarasi-deklarasi Parti sebelum ini adalah seperti berikut; Deklarasi Setapak (1967), Deklarasi Petaling Jaya (1981, sempena ulang tahun ke-25 DAP), Deklarasi Tanjong (1991), Deklarasi Shah Alam (2012), dan Deklarasi [email protected] (2016, sempena ulang tahun parti yang ke-50).

Antara dokumen-dokumen polisi utama yang lain yang berkaitan dengan isu-isu khusus termasuklah; Deklarasi mengenai Demokrasi Budaya (1968), Deklarasi Wanita DAP Tanjong (1992), Deklarasi DAPSY (1992), Deklarasi Anti-Rasuah Kulai (1993), Deklarasi Gelang Patah (2013, mengenai cabaran yang dihadapi kaum India Malaysia), dan Deklarasi Bintulu (2014, mengenai isu-isu berkaitan Negeri Sarawak).

Kami, wakil-wakil Kebangsaan DAP, berhimpun di Shah Alam, Selangor, pada 5 Mei 2019, dengan kata-kata ringkas Deklarasi ini berhasrat untuk menegakkan visi, dasar-dasar bimbingan dan prinsip parti, dalam menghadapi cabaran-cabaran dalam Malaysia Baharu, selepas setahun berkuasa sebagai komponen Kerajaan Pakatan Harapan.

  1. DAP sebagai rakan perkongsian kuasa yang bertanggungjawab
    DAP telah ditubuhkan pada 18hb Mac 1966. Hanya setelah 52 tahun menempuhi perjuangan yang amat sukar dan menyakitkan, DAP bersama dengan rakan-rakan dalam Pakatan Harapan berjaya menumbangkan Barisan Nasional buat pertama kalinya dalam sejarah pada tahun 2018. Berkat izin rakyat Malaysia, Pakatan Harapan kini menjadi kerajaan.

    Hari Rabu, 9 Mei 2018 merupakan satu detik kebangkitan aman rakyat Malaysia. Sejak Pilihanraya Umum ke-12 pada 2008, DAP berazam untuk menjadi rakan berkongsi kuasa yang bertangungjawab, berdasarkan prinsip-prinsip demokrasi, keadilan, kedaulatan undang-undang, maruah individu, dan kebebasan.

    Kami berpandukan kepada prinsip-prinsip berikut:

    • Bahawa DAP berhasrat untuk memegang kuasa bukan kerana gilakan berkuasa, atau demi wang ringgit, mahupun untuk kepuasan diri sendiri, tetapi semata-mata untuk sebuah Malaysia yang lebih baik, yang kita semua boleh banggakan, daripada rakyat untuk rakyat dan berteraskan kepada cita-cita sosial demokrasi yang dikongsi bersama.
    • DAP berhasrat untuk memegang kuasa melalui pemuafakatan dan dengan menjadi rakan kongsi yang bertanggungjawab. Tidak ada mana-mana satu parti pun boleh mentadbir Malaysia secara bersendirian.

    Setahun selepas PRU14, kita akui realiti bahawa pembinaan Malaysia Baharu adalah suatu tugas mencabar yang kita perlu jalankan bersama dengan penuh kesabaran dan ketekunan.

  2. Perkembangan Ekonomi yang Mantap
    Keadaan ekonomi semasa menunjukkan kadar pertumbuhan yang memberansangkan dan Kerajaan menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk berkembang sebanyak 4.9%, mengatasi perkembangan 4.7% bagi tahun yang lepas. Kejelasan dan konsistensi polisi kerajaan telah meningkatkan keyakinan di kalangan komuniti perniagaan, pasaran saham, dan pelabur.

    Reformasi institusi amat penting bagi membina asas yang tepat bagi membolehkan Malaysia mengambil semula tempatnya di kalangan kuasa besar ekonomi Asia, sekaligus memberikan manfaat yang dapat dirasai oleh semua rakyat. Negara ini tidak lagi boleh bergantung kepada projek mega; kini kualiti pertumbuhan ekonomi yang seharusnya menjadi fokus utama.

    DAP perlu memastikan kejayaan Kerajaan Pakatan Harapan dalam menjana pertumbuhan berkualiti tinggi and mencipta peluang pekerjaan bermutu. Sebagai salah satu parti komponen Pakatan Harapan, DAP perlu menumpukan ke arah perpaduan negara; kemakmuran bersama yang memberikan peluang saksama dalam bidang pekerjaan, pendidikan, dan perniagaan; menjadi kerajaan yang bersih dan membanteras rasuah; menghormati kedaulatan undang-undang dan memberikan keadilan untuk semua; urus tadbir yang baik yang berpaksikan rakyat dan berteraskan prestasi; dan melindungi alam sekitar serta hak asasi setiap rakyat Malaysia untuk hidup dengan bermaruah.

  3. Naratif Malaysia Baharu yang tidak berteraskan kaum
    Kita perlu membina satu naratif baru yang melangkaui rangka perkauman bagi Malaysia Baharu yang akan menyatukan semua rakyat Malaysia bersama ke satu aras yang lebih tinggi sebagai sebuah negara. Pakatan Harapan perlu bangkit untuk membawa suatu wawasan moderat yang akan menyatukan semua kaum. Dan kita perlukan kerjasama yang jujur, ikhlas, dan kukuh di antara rakyat di Sabah, Sarawak, dan Semenanjung Malaysia. Titik tengah ini perlu dipertahankan.

    Dalam Deklarasi Shah Alam pada 2012 dan Deklarasi [email protected] pada 2016, DAP telah menegaskan prinsip-prinsip berikut:

    • Untuk mempertahankan dan mendukung sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan kita, di mana Yang di-Pertuan Agong merupakan Ketua Negara berserta dengan Raja-Raja Melayu; dan mendukung Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi di negara ini dan menghormatinya dengan semangat Kemerdekaan 1957 dan Perjanjian Malaysia 1963;
    • Untuk memelihara kedudukan istimewa Melayu dan Bumiputera seiringan dengan perlindungan hak-hak sah kaum lain seperti mana yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan;
    • Untuk melindungi kedudukan Islam sebagai Agama Rasmi dan pada masa yang sama, memperjuangkan hak-hak agama lain untuk diamalkan dengan aman dan harmoni, seperti mana yang termaktub dalam Perkara 3 dan 11 Perlembagaan Persekutuan;
    • Untuk memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan seperti mana yang termaktub di dalam Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan seiring dengan penggalakkan penggunaan dan pembelajaran bahasa ibunda yang lain.

    Namun begitu, selain daripada melindungi jaminan-jaminan perlembagaan yang sedia ada, Pakatan Harapan perlu menawarkan wawasan baru untuk Malaysia. DAP mempunyai peranan yang amat penting dalam menjayakan visi ini.

    DAP tidak mahu dianggap sebagai parti bukan Melayu ataupun parti kaum Cina. Di kalangan DAP, kita mempunyai ahli dan pemimpin daripada kaum Melayu, Cina, India, Kadazandusun, Dayak, dan Orang Asli. Kita mempunyai ahli dari semua kaum sejak penubuhan parti ini pada 1966. Jangan kita lupa bahawa dalam PRU pertama yang disertai DAP pada 1969, Ibrahim Singgeh berjaya dipilih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri yang pertama di kalangan Melayu bagi pihak parti di DUN Tapah Road.

    Ahli-ahli dan pemimpin-pemimpin akar umbi kita perlu beraspirasi untuk mewakili semua rakyat merentasi identiti kaum. Perkara ini selaras dengan harapan kita agar rakan-rakan komponen Pakatan Harapan juga tidak hanya mewakili kepentingan orang Melayu sahaja. Malah, kita mesti memikirkan melangkaui kepentingan Semenanjung sahaja bagi membolehkan kita untuk berkongsi wawasan baharu ini dengan saudara-saudara kita di Sabah dan Sarawak.

    • Malaysia Baharu perlu meyakinkan semua rakyat Malaysia bahawa masa depan politik, ekonomi, dan kebudayaan kita semua adalah terjamin. Kita mesti buang kepercayaan yang menganggap kita akan didominasi oleh kaum tertentu. Ini adalah satu pembohongan dan ini hanya menguntungkan mereka yang bermain dengan politik perkauman.
    • Malaysia Baharu perlu mempunyai satu wawasan utama yang praktikal bagi membimbing semua rakyat Malaysia ke arah masa hadapan yang lebih baik.
  4. Solidariti Antarabangsa
    Sementara kita menumpukan kepada isu-isu Malaysia, DAP tidak pernah mengabaikan isu-isu antarabangsa. Dengan ketegangan semasa berkaitan keganasan, DAP telah menyatakan solidaritinya dengan Sri Lanka dan New Zealand berikutan malapetaka pengeboman dan penembakan beramai-ramai terhadap rakyat mereka.

    Semua negara dan umat manusia harus bersatu demi mencapai keamanan, kehormatan terhadap kebebasan beragama dan kepelbagaian, toleransi, keharmonian, dan belas kasihan sesama manusia. Tamadun manusia berkembang bukan melalui kebencian, sebaliknya melalui kasih sayang antara satu sama lain.

    Kita rakyat Malaysia perlu bekerjasama dalam melawan anasir-anasir pemecahbelahan, rasisme, dan pelampau agama dengan memilih untuk bekerjasama dan bukannya berkonflik, berunding dan bukannya berkonfrontasi, dan melahirkan satu masyarakat inklusif yang dikongsi bersama dan bukannya masyarakat yang saling membenci.

    Mengulangi pendirian kami, DAP berpegang kukuh kepada prinsip solidariti kerana ia adalah senjata paling ampuh melawan penindasan dan ketidakadilan, dan ia merangkumi semua umat manusia dalam dunia ini. Semua yang berpegang kepada prinsip asas ini adalah rakan sekutu kami dalam melawan kezaliman, kediktatoran, kerosakan, eksploitasi, dan penindasan.

    Kami berpegang secara konsisten dengan solidariti antarabangsa untuk bersama dengan semua warga global berjuang demi hak demokrasi, termasuk perjuangan pembebesan rakyat Palestin.

  5. Memenuhi Janji, Menuju Masa Hadapan
    Mahatma Gandhi pernah berkata, “Kamu jadilah perubahan yang kamu mahu lihat dalam dunia ini”. Bercakap mengenai perubahan memang lebih mudah daripada melaksanakannya. DAP sendiri perlu melakukan perubahan bagi menghadapi cabaran dalam Malaysia Baharu serta untuk menjadi rakan sekutu yang efektif dan bertanggungjawab dalam Pakatan Harapan.

    Proses pemulihan Malaysia, seperti yang telah kita nyatakan di dalam deklarasi ulangtahun ke-50 DAP pada 2016, perlu melibatkan usaha yang serius dalam membentuk “institusi yang bersih, termasuklah pilihanraya yang bersih dan adil, parlimen bertaraf dunia yang mewakili suara dan keresahan semua rakyat Malaysia, media yang bebas, badan kehakiman yang bebas serta perkhidmatan awam yang neutral dan berkesan”.

    Kita perlu mengingatkan diri sendiri dan semua rakyat Malaysia bahawa Pakatan Harapan adalah satu-satunya gabungan parti yang boleh mewakili semua rakyat Malaysia, tanpa mengira demografi atau geografi.

    Selain daripada reformasi institusi dan demokrasi, kita mesti bekerja keras bagi meningkatkan taraf kehidupan rakyat. Kita harus berusaha untuk memenuhi janji-janji manifesto kita seiring dengan usaha menambah peluang pekerjaan, menaikkan taraf pendapatan isi rumah, dan mengawal kos sara hidup, bagi membolehkan rakyat Malaysia menikmati kehidupan yang lebih baik.

    DAP komited untuk membantu Kerajaan Pakatan Harapan dalam memenuhi janji ini kepada rakyat serta janji-janji Manifesto Pilihanraya Umum Pakatan Harapan. Kita tidak perlu takut untuk bersendirian dalam mewakili rakyat daripada semua kaum dan agama bagi memberikan kestabilan politik yang diperlukan untuk pembangunan ekonomi. Marilah kita bersatu sebagai satu Bangsa Malaysia dan marilah kita saling membantu antara satu sama lain.