Adakah program e-pembelajaran YTL merupakan revolusi pendidikan Malaysia atau satu lagi bakal projek gajah putih?

Menurut jawapan rasmi Menteri kepada soalan-soalan Parlimen saya, YTL Corporation Bhd dan anak syarikatnya kelihatan mendapat durian runtuh apabila dikurniakan monopoli dalam projek besar Kementerian, seperti berikut:

  1. Pemasangan jalur lebar 4G berkelajuan tinggi di bawah program 1BestariNet ke semua sekolah (RM663 juta bagi kontrak 2.5 tahun);
  2. Pelantar Pembelajaran Maya (VLE) untuk guru-guru, pelajar dan ibu bapa (RM250.5 juta untuk yuran pelesenan bagi suatu jangka masa tetap dan RM262.8 juta bagi kos pengurusan dan penyelenggaraan); dan
  3. Pembekalan komputer riba Chromebook di bawah program “1 Student 1 Device” (RM139.6 juta untuk tempahan 116,399 unit permulaan pada kos RM1,200 setiap unit).

Sebelum ini, saya mempersoalkan rasional menganugerahkan YTL dengan monopoli keseluruhan projek, termasuk membekalkan Chromebooks yang akan berjumlah RM6.6 bilion bagi 5.5 juta unit. Saya juga telah menunjukkan harga Chromebooks seperti yang dibekalkan oleh YTL lebih tinggi daripada kadar pasaran semasa, meskipun jumlah pesanan itu dalam kuantiti yang besar.

Saya kini ingin menumpukan perhatian ke Pelantar Pembelajaran Maya (VLE) yang merupakan satu alat e-pembelajaran yang akan digunakan oleh sekolah-sekolah, guru, murid, ibu bapa dan sesiapa yang diberikan dengan ID dan kata laluan. VLE adalah platform dalam talian yang akan menyediakan akses kepada kelas maya, mata pelajaran, kerja rumah dan sumber-sumber lain.

Menurut jawapan Parlimen yang saya terima pada 9hb Julai 2013, pakej VLE yang akan dibekalkan oleh YTL akan melibatkan 10,000 instances yang merangkumi 5.5 juta murid, 500 ribu guru dan 4.5 juta ibu bapa atau penjaga.

VLE sudah pasti satu inovasi, dan jika dilaksanakan dengan baik, tidak syak lagi akan memperkayakan pengalaman pendidikan murid dan guru-guru yang terdedah kepadanya. Program ini juga bukan baru, kerana telah digunakan di banyak negara di seluruh dunia, dari United Kingdom hingga Korea Selatan. Walau bagaimanapun, persoalan sebenar ialah, adakah sekolah dan guru-guru di Malaysia bersedia untuk melaksanakannya? Persoalan ini bukan sahaja dari segi kemampuan mereka untuk menggunakan dan mengajar dengan VLE, tetapi juga dari segi pemikiran dan kesanggupan untuk menerima pakai teknologi baru.

Seringkali, masalah dengan penggunaan teknologi baru seperti VLE bukanlah berkenaan aspek teknikal (yang boleh dipelajari), tetapi sama ada golongan profesional dalam bidang ini, dalam kes ini guru, bersedia untuk mengubah sepenuhnya pendekatan pengajaran, yang akan dikehendaki. Dalam erti kata lain, ini bukan soal teknologi, tetapi soal pedagogi.

Malah, satu laporan bertajuk “Virtual learning environments: an evaluation of their development in a sample of educational settings” oleh Office for Standards in Education, Children’s Services and Skills (Ofsted) di UK mendapati murid yang terdedah dengan teknologi ini tidak menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan.

Sebagai contoh, laporan itu menyatakan, walaupun banyak usaha telah dibuat dalam memperkenalkan VLE, kesan positif terhadap pembelajaran “belum jelas”. Daripada sampel sebanyak 34 sekolah-sekolah yang dikaji, hanya separuh daripada komen mengenai VLE adalah positif, manakala selebihnya lebih berhati-hati. Laporan ini juga menyatakan bahawa VLE “tidak ketara membantu pembelajaran”.

Laporan itu juga seterusnya menekankan bahawa keberkesanan VLE amat bergantung kepada semangat guru. Walaupun laporan itu menyatakan kefahaman baik terhadap teknologi maklumat tiada hubungan langsung dengan keberkesanan VLE, alat e-pembelajaran ini tidak berguna kecuali guru-guru yakin dan kreatif dalam membangunkan bahan pengajaran dan pembelajaran melalui VLE untuk digunakan dalam kalangan murid mereka.

Secara ringkasnya, tekanan besar adalah kepada guru-guru. Dan jangan kita lupa, sistem pendidikan kita di Malaysia masih belum pulih daripada PPSMI (Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris), kemelut dasar yang telah ditakdirkan untuk gagal dari awal memandangkan Kementerian gagal menyedari hakikat bahawa guru-guru kita tidak mempunyai asas penguasaan Bahasa Inggeris yang kukuh.

Menginsafi bahawa VLE akan memerlukan latihan yang banyak untuk guru-guru bukan sahaja dalam melengkapkan mereka dengan pengetahuan teknikal tetapi juga dalam mengubah kaedah pengajaran mereka, saya amat khuatir cita-cita besar Kementerian Pendidikan untuk mewujudkan persekitaran e-pembelajaran tidak akan diterjemahkan kepada revolusi pendidikan yang diharapkan tetapi berakhir sebagai satu lagi projek gajah putih yang melibatkan kerugian berbilion-bilion ringgit.

Zairil Khir Johari
Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP & Ahli Parlimen Bukit Bendera
Kenyataan media oleh Zairil Khir Johari di Kuala Lumpur pada hari Rabu, 17 Julai 2013